Wednesday, January 25, 2012

Ladies Nite Got Talent' 2012


'Banner' Ladies Nite yang menimbulkan kontroversi


'Banner' Wanita Kelantan Got Talent



“Ladies Nite?”
“Wanita Kelantan Got Talent?”


“Apa sudah jadi dengan Kelantan loni? Makin banyak nampaknya program-program hiburan. Tak habis-habis lagi ke Kelantan dengan Mawi, dengan Nora, dengan Aisyah? Kini nak dibuatnya lagi program Ladies Nite dan Wanita Kelantan Got Talent!”

“Got Talent itu satu hal. Ladies Nite itu hal lain pula.... huhuhu ‘complikated’nya.”
“Bukan setakat mahu menjemput Nana, Black yang lelaki itu apa halnya mahu dibawa ke program wanita?”
“Kerajaan Kelantan sudah lupa suara itu aurat? Mahu diasah ke mana penyanyi-penyanyi hasil Got Talent ini?

“Semenjak Negara Islam bertukar kepada Negara Berkebajikan, Negeri Kelantan pun mahu menukar matlamat kah? Apa mereka ingat dengan menjemput artis masuk ke negeri ini, makin ramai orang akan sokong mereka?”
Semenjak pengumuman mengenai dua buah program ini dibuat dan sepanduk-sepanduk serta ‘banner’ dinaikkan ke sudut-sudut strategik, ke Facebook dan ke laman-laman sesawang, bermacam-macam spekulasi timbul. Panggilan telefon bertalu-talu ke Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan. Tak cukup tangan mengangkat telefon, serangan-serangan fitnah makin berapi-api di Facebook. 
“bx8-=2****xxx” ........      Booooooommmm!!!! Meletup.


Perkara ini memang sudah diduga akan berlaku. Ya, bagaikan bom jangka ia meledak ke serata alam membawa kepulan-kepulan asap tebal dan hitam. Masuk ke rongga hingga menyengat tajam. Perit jua terasa akhirnya.. 

Walaupun berterima kasih kepada krisis yang meminjamkan promosi hangat percuma kepada pihak urusetia, krisis itu perlu ditangani segera agar nama buruk yang mahu berpalit akan segera berundur langkah demi langkah.
Dengan mengambil kira sensitiviti rakyat Kelantan yang ‘sangat suci’, Yang Berhormat tampil membuat perubahan. Membatalkan Black namun tetap bertegas dengan Nana dan Got Talent. Berita hangat kendur seketika, ura-ura hangit kini sunyi sepi...



Akhirnya begini...

Sreeeeetttttt..... 
Video promo program dimainkan sebagai pembuka tirai majlis Got Talent jam 2.30 petang. Kerusi-kerusi di Dewan KTC masih belum penuh. Yang ramai adalah peserta pertandingan kesenian Wanita Kelantan Got Talent. 38 buah penyertaan kesemuanya. Mereka terdiri daripada wanita Kelantan, ada Melayu dan India. Ada yang muda berusia belasan tahun, dua puluhan, tiga puluhan, dan menakjubkan ada yang sudah berusia namun masih bertenaga. Rata-rata yang menyertai secara berkumpulan adalah daripada persatuan seni mereka sendiri. Seni tari, nyanyian, malah ada juga yang sudah ‘establish’ mengajar tarian dan menjadi penyanyi latar di radio. Ada yang datang membawa gitarnya, bagaikan Yuna anggun di pentas dengan tudung simpulnya, mengheret penonton asyik dengan alunan lunak merdu. Ada yang semacam Siti Nurhaliza, lengguk menari dengan lemah gemalai, ada yang menyanyi lagu rock, lagu Inggeris dengan pakaian ala wanita Cowboy, puisi Inggeris, dan bervariasi lagi. Bukan hanya menyanyi dan menari, yang datang berceramah tentang aurat juga ada. Penceramah cilik dari sekolah Arab, berdegar degar melaungkan tentang azab akibat membuka aurat.. tersentak semua....

Peserta dua beradik yang mendendangkan lagu. Masih dalam mode menutup aurat.

Majlis berlangsung dengan meriah, mengujakan namun tetap sopan dan dalam batasan syarak. Tiada pekikan dan bersalaman lelaki-perempuan sepertimana dalam konsert-konsert hiburan lain, tiada pakaian yang mengghairahkan. Tiada dangdut tiang, tiada siulan sumbang, malah kebanyakan peserta adalah bertudung, sopan santun dan penuh bergaya membuat persembahan.

Beliau mempertandingkan sebuah sajak yang bersemangat.




Peserta berkumpulan yang mempertandingkan 'Coral Speaking' yang sangat mencuit hati dan kreatif berunsurkan cinta remaja. 



Sungguh, saya terpegun! Saya baru perasan, Kelantan punya mereka sebagai anak  jati negeri. Kelantan punya ramai  rakyat yang berbakat dan berminat dengan seni, namun apa khabar dengan mereka? Tersisihkan mereka apabila Kelantan diterajui pemerintahan ulama’? Apakah mereka akan memberontak jika minat itu dihalang terus? Adilkan muzik menjadi haram sedangkan al-Quran juga beritma muzikal? Sedangkan jantung kita berdegup ada rentaknya, dan nadi mengusung darah dengan iramanya nan tersendiri? Bagaimana mungkin semua ini boleh disucikan dengan Islam? Bagaimana sebuah irama dan lagu itu menjadi halal dan memicu kepada pertumbuhan sihat pada jiwa, rohani, fizikal dan mental manusia? Bagaimana kerajaan Negeri Kelantan mengapresiasi fitrah kemanusiaan yang satu ini...? Bagaimana ya....

Melalui Got Talent ini, sekurang-kurangnya kita berkenalan dengan mereka.. kita menghubungkan silaturrahim kepada golongan ini. Golongan pencinta seni ada kelompok mereka yang tersendiri. Mereka punya rangkaian berjuta-juta, namun mereka agak jauh daripada ceramah-ceramah agama dan urusan kemasyarakatan. Lalu bagaimana untuk menyentuh hati mereka? Sekurang-kurangnya langkah ini adalah yang pertama, akan ada susulannya dan pengakhiran yang baik.. insya Allah.
Apabila ditanya, mereka menjawab;
“Kami selalu buat ‘show’ dan kali ini kami rasa sungguh bertuah kerana apa yang kami usahakan selama ini diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Kelantan.”
“Jika diberi ruang dan saluran yang betul, apa salahnya? Terima kasih kepada UPWKK dan Kerajaan Negeri Kelantan.”
Hasrat Urusetia Pembangunan Wanita untuk mendekati golongan pencinta seni nampaknya berhasil. Syabas!
*******
Berehat seketika menunggu Ladies Nite yang akan bermula jam 9.00 malam. Saya melangkah keluar mencari makanan, mujur makan malam untuk petugas disediakan dan sebenarnya itulah makan tengah hari dan makan malam saya. Alhamdulillah....
Berdiri di luar pintu, saya melihat sekumpulan lelaki-lelaki berkemeja merah menunggu dari siang tadi lagi di luar pintu kaca dewan Kelantan Trade Center. Merekalah tentera-tentera merah yang berkawal bagi menghalang mana-mana lelaki mumayyiz masuk ke dalam dewan. Malah pintu utama dewan dikawal ketat agar lantunan suara tidak tersebar hingga ke luar dewan. Terasa betapa rahmat dan selamatnya apabila wanita-wanita begitu dikawal rapi. Di hadapan pintu masuk pula, tertera arahan tegas ‘Dilarang Merakam  Gambar atau Video!’ Larangan dibuat untuk mereka yang suka merakam audio/visual di sepanjang majlis, supaya tiada sebarang ‘upload’ haram di internet. Malah jika ada, surat saman akan sampai ke pintu rumah.  
Itu secara tegas. 
Mind your step. AWAS!!



Kedua-dua program ini hanya untuk wanita. Wanita mahu menyanyi ke, mahu menari ke, malam ini disediakan untuk wanita berhibur dengan rasa selesa dan selamat. 
Selang  setiap dua barisan kerusi, di setiap penjurunya ada penjaga keselamatan yang juga wanita. Menakjubkan lagi, pengawal ‘PA system’ juga wanita, bahagian teknikal atas pentas dan jurukamera juga wanita. Semuanya wanita...... tidak syak lagi. 

                                         Team IT Muslimat di bahagian teknikal dan PA System. Syabas!


..... dan tidak mustahil, artis jemputan, Siti Nurdiana ataupun Nana membuat pengakuan kepada Harakahdaily yang beliau rasa bertuah dan selesa membuat persembahan enam buah lagu pada malam itu. Malam yang penuh meriah dengan persembahan pelbagai versi lagu daripada Uzbekistan, juara Wanita Kelantan Got Talent (Nik Farah Aina binti Hariman, 19 tahun), artis Youtube Ainan Tasneem dan persembahan tarian kebudayaan. Malah Maahad Muhammadi Perempuan turut menghantar seorang pemain biola. Sungguh takjub, di celah-celah hafalan Al-Quran dan kitab-kitab, beliau sudah membawa biola serta jubahnya hingga ke peringkat nasional dan antarabangsa. Masya Allah... 
Di dunia yang langitnya terbuka luas, tiada satu pun perkara yang mustahil untuk  kita runsingkan. Yang ada hanya kita perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan menangani kepelbagaian dalam segala versi kerana Islam itu tetap  prinsipnya namun anjal pada pelaksanaannya. Yang pasti, segala sesuatu itu perlu mengikut lunas-lunas yang Allah telah tetapkan. Kepada Dia bertasbih segala makhluk di bumi dan di langit, kepada Dia tempat kembali segala tumpuan.. dia yang adil lagi Maha Mengetahui. Subhanallah, inilah Islam di bumi Kelantan. Syukur alhamdulillah.
Cetusan hati, mata dan telinga serta medula oblongataku....
Samhani Ismail
Jurukamera rasmi wanita,
Ladies Nite dan Wanita Kelantan Got Talent’ 2012