Hujan lebat membebat. Awan berselindung cair satu-persatu dipaksa menjadi air. Terjurai airmata awan. Simbah ke bumi menyembah laluan sungai. Aku masih kaku di bawah selimut. Tidur. Aku demam ayam. Tidak panas tidak sejuk. Tapi kepala memberat. Setelah menulis hampir separuh cerpen, aku keletihan. Aku tidur. Sedar saja sudah empat jam aku di alam mimpi yang penuh teka teki. Wow dahsyat…
Sudah tiga hari aku bersedih. Mujurlah kesedihan itu luput setelahku bangkit dalam kepayahan menyembahNya. Jam 3 pagi.. aku mohon padaNya bantuan di kala memerlukan, kekuatan di kala aku kelemahan. Kadang-kadang serasa tidak mampu.
Aku runsing benar. Barangku dipinjam orang, belum dipulangkan. Aku memerlukan barang itu. Aku perlu sangat. Sudah lama benar barang berharga itu dipinjaminya, sudah lebih dua tahun, mungkin sekarang sudah hampir tiga tahun. Bila mahu pulangkan? Takkanlah aku mahu merayau-rayau dan berterbangan di sekitar rumahnya umpama
Barangku cuma satu. Tapi tanpa aku sengaja aku telah meminjamkannya. Dia mengambilnya tapi tiba-tiba kami terputus hubungan secara mendadak. Pada mulanya aku biarkan saja, tapi baru aku sedar barangku tiada bersamaku rupanya. Aku runsing benar. Barangku kehilangan dari tangan. Aku telah simpannya di tempat paling selamat. Tiada siapa aku benar menyentuhnya. Tapi dia seorang ini bijak benar memujuk. Tanpa sedar aku telah meminjamkannya.
Aku dihujani mesej dari seorang sahabat. Aku berduka dengannya, sudah putuskan tali persahabatan. Tidak mahu mengakui aku kawan? Ahh.. maafkan aku kawan. Aku sahabat jahat. Tidak mampu memenuhi segala permintaan. Hanya mampu mengintai dari kejauhan. Dia memesejku. Minta dikembalikan novel ‘Tunggu Teduh Dulu’. Aku akan pulangkannya segera, tapi maafkan aku, sekarang aku di negeri orang. Nanti pulang ke Kelantan, akan ku jejak Bukit Marak menghulur kembali novel yang telah aku pinjam sambil menghulur tali persahabatan. Aku malu alah. Memujuk orang yang tak sudi. Tiadakah maaf untukku kawan? Jika kau tahu keadaanku sebenar, mungkin kau sudi memaafkan..
Ya, aku akan pulangkan novel itu. Aku akan memberinya dengan cara yang paling baik sekali. Supaya tiada luka kembali terhiris. Dan menjahit jurang yang menitiskan airmatanya.
Barangnya boleh aku pulangkan. Kalau novel, baju , kain, buku masih boleh kupulangkan. Tapi bagaimana dengan barang aku. Mahukah kawan aku yang sorang itu memulangkan kembali padaku. Bagaimana mungkin. Aku tidak pasti. Perbalahan antara aku dengannya akibat fitnah berjela-jela dari seorang perempuan bongak. Lalu aku mempercayai kata-katanya. Aku keliru siapa penipu. Lalu tiba-tiba datang banjir besar membawa aku ke sini. Aku tidak mampu melawan, umpama tsunami hebatnya. Aku terputus dengannya sebelum dia sempat memulangkan barangku.
Pulangkanlah.. kerana aku tidak mampu bergembira tanpanya.
Pulangkanlah.. kerana barang itu cuma satu, tiada ganti.
Pulangkanlah.. tolong pulangkan.. tiada upaya aku meminta lagi.
No comments:
Post a Comment