Saturday, February 07, 2009

Membina masjid di puncak cinta..


Masuk hari kelima, saya sudah menjadi tukang match maker pula... Tak sangka betul!

Baru je berkenalan dengan akak seorang ini. Selama ini dia sangat sibuk dengan kerja-kerjanya di kelas dan makmal-makmal. Saya selalu nampak akak ni dan menegurnya jika dia ada di mejanya. Dan suatu hari, iaitu hari Khamis, hari kelima saya di sini, kami sudah mula berbual panjang..ye panjang sungguh...sehingga dia mengheret saya makan tengah hari bersama-sama di sebuah cafe yang sangat 'privacy'.

Dia ingatkan saya belum kahwin. Tetapi bila saya sebut 'sudah', dia terlopong. Dan saya ingatkan dia sudah kahwin tetapi sebaliknya, tetapi sedang hanyut angau-angau mabuk kepayang. Tetapi situasinya tidak mudah, mendapat perhatian sang lelaki yang 10 tahun lebih muda darinya. Dan lelaki itu mungkin tidak berani, lalu memohon kerja lain dan keluar bekerja di Kuala Lumpur meninggalkan dia terpinga-pinga tanpa sebarang declaration mahupun sepatah ucapan 'selamat tinggal'.

Saya dalam mendengar, cuba memberikan pandangan. Mungkin benar mungkin salah. Lelaki, adakalanya cukup segan melamar wanita idamannya kerana bimbang dirinya akan ditolak sedangkan perempuan kalau dia suka sekalipun, sukar benar mengungkapkannya, kerana fitrah malu pada perempuan itu nyata.


Berpasangan dengan lelaki yang jauh lebih muda tidak salah dan tidak menjanjikan masalah kepada keharmonian rumahtangga. Asalkan apabila sudah bersama-sama melayari bahtera yang kadangkala dilanda ombak menggila, kadangkala dibelai lembut sang bayu, kedua-duanya harus sentiasa berlapang dada menerima pasangan seadanya. Saya selalu memegang kata-kata, "Terimalah dia seadanya sebagaimana dirinya."



Berkahwin bukan untuk merubah dia menjadi seperti yang kita mahukan, tetapi cantuman perbezaan dua mahkluk yang begitu berbeza ini saling melengkapkan dan membawa kita melalui kehidupan dengan ketenangan, sesuai dengan firmanNya yang bermaksud

"Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Ar-Rum 21)


Yang kedua, umur bukanlah peghalang tetapi kekadang menentukan corak interaksi di antara keduanya.

"Kahwinlah dengan wanita yang lebih muda darimu atau yang lebih tua darimu, tetapi jangan dengan yang sama umur."

Saya teringat kembali kata-kata yang pernah saya dengar ini lalu saya menyuakan kepada akak yang setia mendengar omelan saya pagi itu.

Kalau si isteri lebih muda, dia akan memandang suami sebagai abang, atau ayah, atau tempat bergantung yang kejap dan kukuh. Kalau isteri lebih berumur, dia akan memandang suami selain sebagai suami yang wajib dia taati, malah sikap keibuan dan penyayang itu lebih terserlah. Dia akan melayan sang suami sebagaimana lagaknya seorang ibu yang sangat kasih kepada anaknya, dari belaian dan tutur kata.

Tetapi mengikut orang tua-tua, elakkan berkahwin dengan yang sama umur kerana kemungkinan timbul konflik pada isteri untuk mentaati suami dan mengasihinya. Kerana perasaan hormat inilah punca komunikasi di antara keduanya.

"Setuju!"

Akak itu menyampuk. Terkejut saya, tiba-tiba saja dia mencelah. Dengan bersemangat dia menambah,

" Betul. Betul. Bila sama umur, dua-dua akan mahu menang dan inilah yang menyebabkan gaduh sana-sini."

Banyak lagi yang kami bisikkan pagi-pagi itu. Walau apapun, yang paling manis, harus menggunakan orang tengah yang boleh mengatur dan menguruskan pembinaan sebuah masjid itu. Betapa besar pahala bagi mereka. Tidak perlu pasangan itu berjiwang-jiwang, bersayang-sayang dalam telefon uhuk uhuk..tersedak saya. Saya minta maaf kalau ada yang terasa.

Dan saya mengesyorkan dengan berzikir. Zikir banyak-banyak biar kita tenggelam dalam zikir. Saya pernah diberitahu, " Tok Guru itu, ada dua tasbih di tangannya, dibawa ke mana-mana. Sebelah tangan sebut 'Allah' dan sebelahlagi 'la ilaha illah,' Dari pondoknya hingga ke kelas pagi-pagi, sudah beribu-ribu zikir la ilaha illah yang dibacanya. Kita, naik kereta, berjalan, buat lab, bekerja, sebutlah, zikirlah. Kalau terlalai, heret balik hati itu supaya sentiasa dengan zikir. Kalau selalu diamalkan, zikir itu akan datang mengingatkan kita jika kita terlupa membacanya. Maha Suci Allah.

Kadang-kadang, kita berdoa, dan kadang-kadang kita terlupa untuk berdoa. Apabila Allah menggerakkan hati kita untuk berdoa, bermakna Allah mahu mengabulkan doa-doa kita. Doalah selalu di masa senang supaya Allah tidak keberatan mengabulkan doa di waktu kita susah. Dalam kita berzikir, mungkin otak kita terfikir-fikir, terimpi, dan teringin akan sesuatu. Kita tidak sedar yang kita telah berdoa, kerana hanya sekadar lintasan hati, tetapi tiba-tiba doa yang tdak terungkap itu makbul.

Inilah tandanya Allah Maha Mendengar. Allah Maha Pengasih dan dengan zikir itu kita menjadi lebih dekat denganNya. Ingat akanNya selalu, bergantung harap padaNya. Kita adalah hambaNya, yang selalu dipandangNya. Mungkin kekadang kita terlupa tetapi Dia tidak pernah melupakan kita. Berzikirlah, Allah akan memudahkan segala urusan kita, Allah akan membantu kita..

Ehehe..saya doakan kalian bertemu jodoh jua. SMSlah, bertanya khabar, tapi ingat, jangan SMS berkarat-karat. Itu sudah dosa namanya..wallahu a'lam
Post a Comment