Bahaya nikotin kepada bayi
Nikotin adalah kandungan utama dalam rokok. Tanpa nikotin, tiadalah kenikmatan menghisap rokok. Lantaran nikmatnya mengulum puntung rokok, ramai yang tidak ambil peduli tentang bahaya rokok kepada diri. Mudarat yang di bawa oleh rokok lebih besar daripada manfaat. Lantas, rokok difatwakan haram. Namun, akibat kedegilan, masih kurang yang berhenti merokok. Sukar. Memang sukar berhenti merokok.
Pada kotak rokok dilabel ‘ Merokok membahayakan kesihatan’ – amaran Kementerian Kesihatan Malaysia. Umpama menyiram air ke daun keladi, amaran itu tiada guna, malah seolah-olah orang mengantuk disorong bantal. Penagih rokok yang sedang gian tidak akan endah akan amaran itu. Ini sebab diri mereka telah dikuasai oleh ketagihan rokok.
Namun, perlu diingat. Walaupun tidak mampu untuk berhenti merokok secara mendadak, cubalah hadkan pengambilan rokok. Ini terutamanya kepada ibu-ibu yang sedang mengandung. Bayi yang lahir dari kandungan si ibu perokok biasanya mempunyai masalah. Nikotin boleh mengecutkan saluran darah. Maka , aliran darah akan menjadi perlahan. Sedikit sahaja darah akan sampai kepada fetus. Maka Oksigen yang diangkut oleh darah akan berkurangan. Bayi mengalami kekurangan oksigen biasanya sebanyak 700-1200 gram berbanding bayi dari kalangan ibu bukan perokok.
Hasilnya, pertumbuhhan bayi akan terencat, perkembangan mental pun turut terganggu. Kecacatan jantung juga mungkin berlaku. Malah ada di kalangan bayi lahir dengan sindrom bibir sumbing. Justeru, para ibu mengandung dinasihatkan agar menjauhi rokok. Biarlah anak yang dikandung dapat lahir dengan keadaan yang sempurna dan normal. Jangan biarkan mereka menangis di kemudian hari kerana kecewa dengan kecacatan yang sebenarnya boleh dielak.
Samhani Ismail
No 2, Jalan Murni 2, Taman Murni, 34200 Perak.
No comments:
Post a Comment