LONDON: Hizbullah terbukti saingan sengit Israel kerana pergerakan
itu menggunakan sistem pertahanan ala Viet-Cong yang membabitkan
rangkaian terowong di selatan Lubnan, menurut laporan majalah Jane's
Defence Weekly kelmarin.
Kumpulan pejuang berkenaan melancarkan beratus-ratus bedilan roket
ke atas bandar di utara Israel dan masih mampu menyerang dengan
roket walaupun dibom bertalu-talu oleh rejim Zionis itu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menyedari bilangan kematian di pihak
Hizbullah rendah, dianggarkan tidak sampai beberapa puluh orang
daripada lebih 300 penduduk yang maut di Lubnan sejak pertempuran
meletus.
Selepas lebih 3,000 serangan udara ke atas sasaran di Lubnan,
menurut kiraan majalah itu, unit darat IDF kini memulakan operasi di
sempadan utara Lubnan dalam usaha mereka untuk memusnahkan
pertahanan utama Hizbullah.
Koresponden Jane's Defense Weekly, Alon Ben-Davis, berkata serangan
udara bertalu-talu Israel gagal memusnahkan pertahanan Hizbullah
walaupun pasukan khas IDF melancarkan serangan kecil di wilayah
Lubnan.
"Tentera Israel menyedari Hizbullah menggunakan cara Viet-Cong
membabitkan rangkaian terowong dan parit berhampiran sempadan
Israel, yang menyediakan perlindungan bagi operasi dan senjata
mereka.
"IDF berdepan tentangan sengit Hizbullah dan setakat ini mengalami
banyak kematian di pihaknya," kata Ben-David.
Seorang sumber pertahanan kanan yang tidak dinamakan memberitahu
majalah itu: "Kita perlu menyedari bahawa apa yang kita hadapi di
Lubnan bukan sekadar militia tetapi briged pasukan khas tentera Iran.
"Mereka terlatih dan dilengkapi serta disuntik motivasi tinggi untuk
meneruskan perjuangan." - AFP
No comments:
Post a Comment