Supaya sebelum kita mati, kita ada suatu saham untuk ditinggalkan…
Untuk pejuang agama.. belajarlah menulis. Tulislah apa yang baik hari ini, supaya esok ia membentengi kita dari api neraka.
Allah bersumpah, ‘Nun.. Wal qalami wama yasturun..’
Yakni ‘ Demi pena, dan demi apa yang dituliskan..’ .
Allah tidak pernah bersumpah dengan benda yang remeh-temeh. Allah bersumpah dengan perkara yang hebat-hebat belaka. Dengan matahari, dengan bintang, dengan bulan dan dengan masa. Dengan pena, kerana mata pena lebih tajam daripada mata pedang.
Kalau anda seorang yang bijak berpidato, ucapan anda boleh didengar oleh orang-orang yang hadir sahaja. Selebihnya yang tidak mendengar, mereka tidak tahu apa yang anda uar-uarkan. Menulis, hasil tulisan anda boleh dibaca walaupun setelah anda mati.
Bayangkan kalau karya anda mempunyai impak besar, ia akan diulang-cetak berkali-kali dan dibaca oleh ramai orang. Seperti karya Richie Rachman, ‘ Skandal’ yang telah diulang-cetak sebanyak 9 kali. Karya ini menceritakan dengan detail skandal-skandal yang berlaku di kalangan golongan berkolar putih.
Percayalah, menulis amat hebat kesannya. Kalau tidak, masakan Syed Qutb mati di tali gantung kerana penulisan!
Kalau anda tiada bakat, belajarlah. Belajarlah berdikit-dikit menulis artikel, jurnal, cerpen, novel ataupun puisi. Ramai anak muda yang menulis cerpen, tapi nilai tumpuan mereka terlalu klise, lebih kepada cinta muda-mudi. Mengapa tidak anda yang ‘tahu’ agama menggilap permata itu melalui pena.
Bangkitkan jiwa umat Islam khususnya di watan kita. Kita ummat Muhammad. Kita patut berbangga menjadi ummat Muhammad. Nabi yang teristimewa dari ratusan ribu nabi. Baginda disambut sendiri oleh Allah di Sidratul Muntaha semasa baginda dimi’rajkan. Allah yang memberi salam kepada baginda,
“ Assalamu alaika ayyuhan nabiyyu warahmatullahi wa barakatuh”
(“Selamat ke atas kamu wahai nabi dan rahmat Allah serta barakahNya ke atasmu..”)
Nabi menjawab dengan penuh bijaksana,
“ Assalamualaina wa ‘ala ibadillahs solihin”
(“Selamatlah ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yan soleh..”)
Baginda nabi mengimamkan solat yang dimakmumi nabi-nabi lain semasa di Masjidil Aqsa pada malam Isra’ dan Mi’raj. Bahkan Nabi Musa yang begitu gembira bertemu dengan baginda memohon untuk menjadi ummat Muhammad. Betapa hebatnya Nabi kita. Maka kita kena jadi ummat yang hebat.
Bagaimana mahu bangkit sedangkan jiwa kita lebur. Kita ralik menonton wanita yang berpakaian tapi telanjang.
Tulislah. Belajarlah menulis supaya kita mampu menyedarkan ummat ini tentang agenda musuh untuk menjahannamkan Islam. Mereka merosakkan sistem pendidikan kita sehingga kita lupa adaNya Allah dalam Biologi, Fizik dan Kimia.
Kita terlupa sel-sel ditubuh kita setiap hari bekerja. Kita terlupa membayar mereka. Kita sangka mereka berkerja secara semulajadi tanpa arahan sesiapa. Kita lupa bahawa mereka patuh kepada Allah kerana itulah yang disogokkan ke dalam mentaliti kita.
Islam Liberal berkembang dengan pesatnya melalui tulisan pendokongnya. Nak terima apapun perlu dengan akal logik sahaja. Yang bercanggah dengan akal ditolak ke tepi. Mereka menterjemah al-Quran ikut nafsu.
Kita insaf apabila berita di kaca televisyen memaparkan kekejaman ke atas Palestin dan Lubnan. Tetapi apabila habis berita, kita ralik dengan Dunia Anita, Pearl Screen, Mega Movie,
Kita terlupa seharusnya kita berdoa qunut nazilah untuk mereka. Kita patut bersolat hajat beramai-ramai dan menyuburkan semangat jihad yang sudah dibuang daripada sistem pendidikan kita. Kerana mereka saudara kita. Kerana darah mereka darah kita dan maruah mereka adalah maruah kita.
Inilah tugas kita, untuk sedar dan menyedarkan.
Samhani Ismail
Timbalan Presiden 3
Persatuan Alumni Maahad Muhammadi Negeri Kelantan (AMAL)
No comments:
Post a Comment