NUR PENGABDIAN
Dalam kerudung bumantara dinihari, dia melihat resah dalam gumpalan otak kecilnya. Kemudian menganyam jalur-jalur gundah dalam cerminan akur, lalu dijahitnya dengan benang penyesalan. Seterusnya diukirnya pula sebentuk makrifat, lalu tertatahlah kilauan hakikat. Dari kilauan hakikat, dia tekun pula menggilap-gilap cincin tareqat, cahaya perhiasan menuju lorong sufi.
“Sifat Ilahi itu mesti difahami. Pertamanya sifat zat. Contohnya ialah salah satu nama Allah iaitu Al Ahad. Adapun yang kedua ialah sifat Jamal. Manakala yang ketiga sifat Jalal. Dan yang keempat pula ialah Kamal.”
“Kewujudan Allah itu nyata. Bukan khayalan. Alam ini adalah bukti Allah itu ada. Cakerawala yang beredaran. Angin yang berhembusan. Ombak yang bertarian dan bintang yang bergemerlapan.”
“Yakin?”
“Ya!”
“Sepenuh hati?”
“Ya!”
Pun, jegil matanya masih tertumpah pada diagonal langit. Lara hati masih ada. Dilihatnya pula cahaya rembulan yang tersenyum sejuk. Memerhati kalau-kalau cahayanya berlirih pudar. Menyimpan sebening harap agar teduh silaunya terkesan para abid yang khusuk bertahajjud.
“Pintu taubat senantisa terbuka. Hatta kita membunuh seratus orang yang tidak berdosa, Allah tetap mengampuni. Selagi kita tidak memilih jalan menduakanNya,” pesan guru tua melegari bening otaknya.
Rembulan masih lagi mengambang. Angin sejuk sesekali berzikir ketelinganya.
Dia segera membuka kasut yang sudah sedikit rompong. Lantas kemas pula menyusun atas para di luar tempat persinggahan usia senjanya. Sekali lagi dia menumpahkan mata kelabunya ke lengkung langit. Melarutkan kelintar jegilnya kalau-kalau langit dinihari berlangir mendung. Mata tuanya masih terang, persis mata kucing. Tiada berselaput langsung. Lalu segera dia memindahkan kasut lusuhnya ke diagonal surau yang pada agakannya lebih terjamin. Di bawah tangga, runtun hati kecilnya. Mata tuanya melirik bebas pada plastik merah. Tanpa teragak-agak, plastik itu diambil dan kasut lusuh itu dimasukkan. Segera kasutnya diletakkan di bawah tangga.
Dengan pahatan keyakinan, dia mengarahkan hati supaya cepat. Kematu kaki tuanya hanya menurut ke ruang tengah surau usang itu. Segera puing-puing pengabdian muncul. Menjamah sekeping hati nubarinya. Kira-kira satu jam lagi, bilal akan mendayukan azan subuh melegari bumantara Tuhan. Dia atas, para malaikat masih bersidang bersama para aulia. Sedang roh-roh pagi Jumaat masih lagi berlegaran. Menunggu masa merangkul siang untuk mereka kembali ke tempat persemadian.
“Dunia ini untuk didiami, bukannya untuk dimusnahi.”
“Kalau kezaliman berleluasa?”
“Tugasmu sebagai khalifah untuk mengamankannya!”
Diam!
Segera dihamparkan kain serban corak merah bersulam putih pemberian arwah isterinya. Juga sudah lusuh, selusuh rembang usianya. Dicubanya memacu harap agar dapat berdiri sedapat boleh. Tulang selangkanya tidak mengizini. Tetap bongkok. Keakuran menapak di mindanya. Resam tulang tua.
“Allahu Akbar!”
Lalu dengan penuh kekerdilan, dia mengangkat takbir pertama. Dengan susah-payah juga, dia memangggil khusyuk supaya melegari segenggam tawaduknya. Keduniaan dilemparnya jauh-jauh. Malah, langsung tidak dijamahnya. Qasad, takyin dan segala roh sembahyang bersatu dalam ucapan kebesaran Tuhan nan Esa.
Inilah dunianya sekarang. Dunia seorang abid. Mengisarkan kehidupan hanya semata-mata kepada Pemilik Alam. Tuhan Rabbul Jalil. Maha Agung Tuhan, Maha Suci Tuhan, yang telah mengunjukkannya ke jalur kebenaran. Jalan kehidupan yang sebenar-benarnya. Bukan jalanan yang berjejali kemaksiatan atau jalanan bersulam keduniaan.
Subhanallah!
“Maha Suci Allah.”
“Maha Suci Tuhan.”
“Luluhnya seorang insan, dalam zikir Tuhan.”
Di tangan kiri malaikat pencatat kebaikan, segera tertumpah mangsi keelokan.
Dalam legar sekepal otaknya, kawat duri segera terpasang. Lalu terpisahlah antara nanar dan bimbang. Dipahatnya sekali lagi sebuah penyesalan. Dan kerana penyesalan, segera pula dibunuhnya separut dendam.
“Bismillahirrahmanirrahim.” “Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
“Arrahmanirrahim.” “Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”
“Maalikiyaumiddin.” “Yang Menguasai Hari Pembalasan.”
Surah fatihah dibacanya sampai habis dengan penuh yakin. Dalam hati, dihadirkannya makna satu persatu. Menerawang dalam khusyuk solatnya.
Di luar surau usang itu, alam masih dibungkus kelam. Sukmanya sedikit teraduh kerana isteri dan anak-anaknya tentu masih melarik mimpi indah di atas tilam empuk.
“Allahu Akbar!”
Dia rukuk
“Allahu Akbar!”
Dia sujud.
“ Allahu Akbar!.....Allahu Akbar!.....Allahu Akbar!”
Dia masih menghadirkan makna. Membariskan zat-zat intipati pembacaanya. Menenggelamkan bunyi kokok ayam yang juga turut luluh dalam zikir Tuhan.
“Penindasan mesti ditentang. Pencerobohan mesti dilawan. Ini hak kita, milik kita.”
“Dunia ini sementara. Penyesalan mesti ada. Bertaubatlah, selagi rendanya masih beruntai. Menyelakkan jendela iman selebar-lebarnya. Selengkung langit Tuhan diterangi Fajar bergarisan. Api dendam mesti dipadam. Perlu dijirus dengan air persahabatan. Pasti, bertunaslah benih-benih persaudaraan.”
“Doa umat islam barakah.”
Mindanya masih dihantar ke horizon pengabdian. Meluluhkan diri dalam ibadat Tuhan. Membaurkan secubit penyesalan dalam kamus perjalanan.
“Jalan kesufian itu jalan penuh rahsia. Jalan mencapai maqam ilmu laduni.”
“Ilmu laduni?”
“Ya!”
“Bagaimana dengan tajalli?”
“Tajalli itu penzahiran diri. Dengan tajalli, terbukalah hijab menuju Ilahi.”
“Subhanallah, aku abdi!”
Kekarutan bermaharajalela. Arca materialisme pasti terukir. Lalu, lahar sengketa pasti berbuah disiram baja egoisme. Pasti. Tanpa diundang, ombak peperangan lantaran rakus kuasa dan nafsu melambung. Menenggelamkan pangkalan niat baik yang tidak kesampaian. Selagi ada pendengkian, kekejaman pasti terlampias. Yang lemah, pasti terus berdarah ditikam ditindas.
“ Nauzubillah!”
Kembali dia mengumpul kekuatan. Menarik nafas panjang sambil melafazkan rasa syukur kerana masih diberi oksigen untuknya menyelesaikan solat tahajjud meskipun untuk dua rakaat cuma.
Diangkatnya kedua-dua belah tangan ke langit. Membeningkan suasana pagi dalam dulang kerahmatan. Tanpa sengaja, manik-manik halus berderai dari mata tuanya. Kemudian jujuh ke kedua-dua belah pipi kedutnya. Panjang sekali doanya kali ini. Meminta apa sahaja yang tercetus. Dengan penuh ketulusan. Dengan penuh pengabdian.
“Ya Allah........!”
“Selamatkan Allah umat islam di sekuruh dunia.”
“Ya Allah........!”
“Amin............!”
“Fahaman karut usah ditunggangi. Mereka berkiblatkan materialistik semata-mata. Eichenbaum dan Suklovsky misalnya, mendukung aliran formalistik katanya. Hasilannya, bercakaran dengan puak Marxisme ceritanya. Masing-masing mahu menegakkan ideologi masing-masing. Begitu juga dengan Amerika, kempen menghapus keganasan katanya. Sebetulnya, mereka sendiri pengganas. Penghabisannya?
“Usah saratkan minda dengan isme-isme karut. Isme kita, Al quran dan As-sunnah. Hidup mati itulah pegangan kita. Dengan dua benda ini, kita tidak akan sesat sampai bila-bila.”
“Ya, itu pegangan kita,” semua menyokong.
“Umat islam mesti dibela.”
Langit hampir cerah. Malam pasti mengalah. Sekejap lagi, kalung alam akan diserahkan kepada siang. Malam hanya lesap untuk sementara. Pun, kehidupan mesti diteruskan. Perjalanan mesti berlanjutan. Pengabdian mesti diserapkan. Penindasan mesti dihapuskan. Kekejaman mesti dihentikan. Peperangan mesti dielakkan.
Dia masih lagi luluh dalam ibadat Tuhan. Masih merangkul tasbih sambil membesarkan keagungan Tuhan Pencipta Alam.
Subhanallah!
“Maha Suci Allah.”
“Maha Suci Tuhan.”
“Luluhnya seorang insan, dalam zikir Tuhan.”
Tanpa tersedar, seorang anak muda berketayap putih menyapa diamnya. Dengan jubah putih tanpa secalit kekotoranpun. Muka anak itu berseri-seri dengan cahaya indah.
“Tok, imam dah nak mulakan solat. Mari.....nanti tak sempat takbir pertama.”
“Ya lah nak.”
Dia masih tersedu.
(Tersiar di Berita Minggu, Ahad 21.09.2003)
No comments:
Post a Comment