Monday, January 19, 2009

Saya sekadar memerhati

Tempoh ‘berkampung’ di Kuala Terengganu sudah tamat, dan sekarang adalah satu tempoh baru menempuh realiti setelah melihat kemenangan berpihak kepada Parti Islam.

Di kaca-kaca TV, kebanyakan siaran menayangkan debat ala-ala hangat membicarakan kenapa Pakatan boleh menang? Kenapa BN gagal mempertahankan kerusi? Kenapa itu dan kenapa ini? Namun, jarang-jarang yang membuka cerita tentang bagaimana proses pilihanraya kali ini berjalan, sejak sekitar akhir Disember, sehinggalah ke tarikh penamaan calon 6 Januari seterusnya melalui ke saat-saat akhir 17 Januari 2009.

Perjalanan pilihanraya kali ini ada ceritanya yang tersendiri. Cerita yang bagi pentumas yang berada di sini, sudah pasti mencalitkan kenangan berhari-hari di Kuala Terengganu sebagai sesuatu yang akan sentiasa menjadi ingatan buat mereka di masa depan.

Sesiapa yang melintas bandar KT seminggu sebelum tarikh pembuangan undi mungkin tidak perasan bakal adanya pilihanraya kerana begitu sedikit gambar-gambar calon dan bendera parti diangkat. Hampir tiada banner dan sepanduk serta poster dan serangan-serangan saraf, sehinggalah ke malam akhir tempoh berkempen, barulah sepanjang jalan raya sesak dengan segalanya.

Sepanduk Dato’ Wan Farid yang mewakili BN juga lebih sedikit berbanding gambar-gambar Najib dan Pak Lah, seolah-olah peperangan ini berlaku antara Najib dengan Hj Wahid Endut dan Azharuddin Mamat@ Adam. Saya jarang sekali mendengar khabar adanya ceramah kempen oleh Azharuddin Mamat @ Adam sebaliknya begitu ramai menteri yang turun ke Kuala Terengganu menaburkan laptop, sumbangan, wang, rumah dan pelbagai ihsan lagi.

Di pihak PAS pula, mereka mendapat sokongan daripada jentera-jentera parti dari seluruh negara yang turut membantu semata-mata demi kemenangan Pas dan Pakatan. Dari anak muda, golongan veteran, YB dan senator, yang berkampung di bawah satu bumbung tanpa menghiraukan keselesaan dan letih bekerja siang dan malam. Apa yang mereka tahu, usaha dan berjuang. Namun kalah atau menang itu kerja Allah. Begitu kuatnya tawakkal mereka, begitu hebatnya keyakinan kepada Yang Maha Perkasa.

Ditakdirkan, saya sempat berkunjung ke markaz muslimat Pas dari Kelantan. Markaz yang memuatkan hampir seratus orang dan pada malam pembuangan undi melebihi seratus, menginsafkan saya dengan keikhlasan dan kesungguhan petugas partinya yang sentiasa bekerja tanpa mengharapkan bayaran. Bekerja bahu membahu antara yang baru dengan yang lama. Yang muda menongkati yang tua, dan yang tua menunjukkan jalannya agar si muda tidak sesat dalam keghairahan dan semangat orang muda. Namun, suara-suara muda ini turut didengari dengan tiada unsur-unsur Hang Nadim (orang muda dicantas lantaran kebijaksanaannya).

Di sinilah terbentangnya hikmah dan manisnya ukhuwwah di dalam perjuangan menegakkan satu lagi panji Islam di bumi Malaysia yang bakal merubah geografi politik tanah air kita.

Siangnya, mereka keluar daripada markaz menuju ke rumah-rumah pemilih untuk berkempen. Dari pagi hingga ke tengah hari dan bersambung ke petang, barulah pulang untuk baring sekejap membetulkan tulang belakang. Para ibu-ibu ini meninggalkan keluarga dan anak-anaknya, dan datang ke sini tanpa mendapat rehat yang cukup. Pada malamnya, selesai sahaja solat maghrib berjemaah, mereka bersolat hajat dan munajat. Membaca selawat tafrijiyyah, doa-doa sepenuh hati dan munajat supaya Allah mendengar rintihan dan permintaan mereka untuk melembutkan hati pemilih. Tidur mereka hanya sekejap dari jam 11 malam hingga 3:30 pagi, tanpa beralaskan bantal, mungkin kain sarung batik menjadi pengganti mengalas lena mereka. Walaupun letih, mereka tetap bangkit di awal pagi. Istighfar kubra perlu dihabiskan 90,000 membatasi jumlah pengundi di keempat-empat dun di Kuala Terengganu. Dalam letih dan ngilu sendi-sendi bekerja sepanjang hari, tubuh itu berjaga pula hingga ke subuh menghabiskan istighfar dan munajat, bersama hati yang basah dengan harapan seorang hamba.


Munajat itu sepenuh hati, penuh pengharapan. Tanpa henti sehinggalah ke hari terakhir, mereka keluar membarisi jalan-jalan raya dengan kibaran bendera dan laungan takbir Allahu Akbar! Dan mungkin lantaran munajat serta doa yang tidak putus daripada merekalah, Allah memenangkan parti Islam ini. Allahu a’lam.

19 Jan 2009
Post a Comment