Wednesday, January 07, 2009

Terima kasih, Abe..

Beberapa hari ini saya seringkali pulang lewat hingga kadang-kadang mencecah ke angka 12 malam atau 1 pagi. Ada tugasan yang perlu saya penuhi sehingga terpaksa meninggalkan suami yang pulang dari tempat kerja tanpa bersambut.

Saya mengambil masa selama 45 minit untuk sampai ke rumah, dan tentulah sampai dalam kepenatan. Hanya masa yang sekejap sebelum tidur untuk berjumpa dan bertanya khabar pada suami sambil minum teh panas atau kopi Radix. Sekurang-kurangnya dapat menghilangkan kegalauan lantaran mengabaikannya. Betullah kata orang tua-tua, 'sayangkan isteri tinggal-tinggalkan'. Begitulah resamnya, melangkah kaki ke medan perjuangan dan meninggalkan keluarga itu menyuburkan kasih sayang sesama insan.

Lagipun, bak kata Ustaz Hasrizal, "seorang isteri yang menghalang suaminya keluar berjuang, akan sentiasa memiliki suami yang sentiasa mahu keluar. Seorang isteri yang menggalakkan suaminya keluar berjuang, akan sentiasa menerima kepulangan suami yang sentiasa berusaha untuk pulang. Perginya suami atas dorongan isteri, ialah pemergian yang dibayangi kepulangan."

Memang begitulah yang berlaku, kerana itulah hakikatnya resam sebuah kehidupan. Tidak kira suami atau isteri yang meninggalkan, pemergian itu tidak diiringi kegelisahan bahkan semakin menyuntik bahagia ke hati-hati mereka. Mereka percaya Allahlah yang menjaga pasanngannya. Lalu ketiadaan itu diganti dengan ketenangan yang sungguh manis.

Walaupun berjauhan sehari, saya begitu perasa sekali. Mungkin saya ini sensitif dan sentimental! Adakalanya jika saya terpaksa berjauhan selama seminggu atau dua minggu ( sewaktu suami saya menyambung Master dahulu), saya sengaja memakai baju t-shirt dan kain pelikatnya. Serasa dia dekat di hati. Ehehe.. Itu sudah biasa ehem ehem..

Semalam, saya pulang lebih awal lalu menyediakan sesuatu yang istimewa untuknya. Inilah tanda terima kasih padanya kerana mengizinkan saya berbuat apa yang saya suka, sehingga terpaksa pulang lewat.

Nak tahu apa yang istimewanya?
Takdelah istimewa sangat sebenarnya.. saya buat pizza saja. Tetapi, seronok sungguh tengok suami makan dengan bersungguh-sungguh sekali, bahagian saya pun dia habiskan huhu..

Inilah pizza simple buatan saya. 'Pizza Kasih Sayang' nama dia. Dari seorang isteri buat suaminya ehehe..simple dan sempoi..
Ada sape-sape nak resepi?Hmmmm nanti boleh cuba ye..

Doh roti :

Bahan A : 2 cawan gandum + sesudu gula + setengah sudu garam dan soda bikarbonat + 3 sudu minyak zaitun.

Bahan B : 2 sudu yis kering dikacau dalam air suam.

Cara-caranya : Masukkan sedikit demi sedikit bahan B ke dalam bahan A. Uli sehingga doh menjadi lembut dan licin. Penyek dan penyek lagi. Biarkan sehingga doh naik sekali ganda. Kemudian bentukkan leper dan tekan sedikit dengan garpu sebelum bakar. Saya bakar guna ceper di atas dapur gas sahaja dengan api paling kecil selama 15 minit.

Dalam masa menunggu itu, bolehlah buatkan toppingnya. Topping pun ringkas sahaja, ikut apa yang ada di dapur. Ayam tumis masam manis kegemarannya..

Topping:

3 ulas bawang putih, dicincang.

1 labu bawang besar, dicincang,

Isi ayam, dicincang.

Serbuk lada hitam.

Sos cili.

Sos tomato.

Daun bawang dipotong halus.

Sayur campur (karot + jagung). Lagi sedap masukkan lada benggala.

(Saya tidak masukkan keju mozarella, ayam cincang segera dan sosej sebab saya waswas dengannya)

Cara-caranya : Tumiskan bawang besar dan bawang putih sehingga naik bau. Masukkan gula, garam dan lada hitam secukup rasa. Biarkan garing seketika. Masukkan ayam, biarkan seketika dan kacau. Masukkan sos cili dan sos tomato. Akhir sekali, masukkan sayur.

Kemudian, sapukan topping itu pada roti dan tabur daun bawang serta sebuk lada hitam. Bakar sekali lagi selama 10 minit dengan api kecil. Dah siap! Nyum nyum..

Nyum..nyum..

hik hik..guano abe?
Post a Comment