Sunday, September 25, 2005

Bisikan

Kutinggalkan warung sepi ini..Kerana ku pastiSelepas terbenamnya mentariPasti cahaya rembulan kan menyinari..

Aku dibesarkan dengan didikan sebagai seorang pelajar Maahad.. sebuah medan yang menarah tubuh kerdilku. Di sini tempat ku mengejar warna-warna pelangi yang kulihat semakin sirna ditelan perubahan zaman. Aku terpana pabila kulihat embun yang bergutasi di lidah-lidah rumput kian kering, hilang entah ke mana.. aku pasrah bilamana ayam jantan yang galak bersabung hari ini suatu hari nanti akan turut rebah menyembah bumi. Akukah yang bersalah membiarkan debunga berguguran ditiup angin ? Lalu ku sentuh nadi di pergelangan.Serasakan molekul-molekul semangat yang berpadu dengan dendam semakin hangat. Membara ! membakar rentung menyala mukaku sehingga akhirnya aku terjaga.

Aku meniti tirai-tirai kamar kampus. Ku teliti diari-diari sejarah yang kian dilenyapkan. Di Turkey, golongan mahasisiwalah yang berjuang menentang sekularisma tajaan Mustapha Kamal Attaturk. Di Mesir, didikan Hassan al-Bannalah yang meruntuhkan tembok Israel yang dibina dengan darah umat Islam Palestin. Di Afghanistan, gelombang Bulbuddin Hekmatyar dan Burhanuddin Rabbanilah YANG menentang ‘beruang ganas’ Russia dan membentuk ijtihad mujahidin. Dan di depan Kedutaan Amerika Malaysia, kulihat sahabatku Amal ditangkap dan digantung pengajian selama empat tahun tanpa paksi keadilan.


Inilah ikrar sebuah perjuangan. Merekalah tentera-tentera Allah yang mara ke barisan hadapan. Yang sanggup mati dicantas tengkuknya, yang rela darahnya mengalir membasahi bumi, yang rela nyawanya tergadai demi melihat tertegaknya kalimatul ula. Merekalah pemuda yang masih kuat tulangnya. Dan merekalah pembela agama yang merindui Tuhannya, yang ternanti-nanti untuk mengucup tapak kaki Rasulullah. Lantas, dimana aku…?


Aku tunduk menyelidiki gelas hatiku yang berwarna kelabu. Sudah lama aku tidak menggilapnya agar ia kembali bercahaya. Babak demi babak kelalaianku terpancar di skrin minda. Mampukah aku menjadi hambaNya yang redha andai begini sebatian yang menyaduri jiwa dan pemikiranku setiap hari ? atau kalimah perjuangan itu hanyalah satu slogan untuk menutup kefasikanku…?


Lantas, ku perkemaskan simpulan ikatan pada pacuan. Aku menyelinap lorong-lorong penyelewengan yang sekian lama menzalimi Islamku. Tuntasku menafsir makna al-Kitab, dan sunnahnya ku semat menjadi aspirasiku. Akidah ummat ini perlu dipertahankan. Ideologi-ideologi kuffar yang lama meracuni pemikiran ummat ini perlu dibersihkan. Akan ku belajar alif, ba, ta dan ku susun menjadi sajak terkarang yang membakar semangat perjuangan di dada-dada pahlawan dan serikandi. Kanku tekun mempelajari faham Islam, ku thabatkan al-Quran dan as-Sunnah agarku tidak menjadi si cina buta, hanya mengikut sahaja. Dan ku jaring anak-anak generasi, biar setulus Sumaiyah dan seteguh Bilal .. darahnya mengalir di taman taqwa lantaran cintanya telah terpaut pada Ilahi.

Tuhan, izinkan aku meneguk kasihMu walau setitis.. jangan Kau biarkan diriku walaupun sekelip mata cuma.. jika bukan Engkau yang menolongku.. siapa lagi wahai Tuhanku ? berikanku kekuatan mengemudi sampanku yang kecil dan berlubang.. di sana ombaknya menerpa ganas.. amin..


12 Mei 2005 18:05

Thursday, September 22, 2005

Biarkan ia berlalu...



Tuhanku,
Aku hambaMu yang diseksa
Diriku dipenjara dan dihina
Akan kutanggung segala kesakitan, kusabarkan dan kutahankan
Namun, jika datang penderitaan yang lebih berat daripada yang sedang aku alami ini,
Sesungguhnya ia akan melukakan rohku dan mengikis kesabaran yang masih tersisa di hatiku ..


Fail masa lalu perlu ditutup, dilipat dan disimpan, bukan dibuka dan dipersoalkan. Ia perlu ditutup buat selama-lamanya dan dikurung di dalam penjara kelupaan, diikat dengan gari di dalam kurungan yang kuat hingga ia tidak dapat keluar. Ia adalah perkara yang sudah selesai. Maka ia tidak mungkin kembali dengan apa jua kesedihan, tidak dapat diubah dan diperbaiki dengan apa jua kedukaan, tidak dapat dihadirkan dengan apa jua kegelisahan, dan tidak akan dapat dihidupkan semula dengan apa juga kebingungan – ia adalah sesuatu yang sudah tiada.

Jangan biarkan hidupmu dihantui masa lalu, jangan biarkan dirimu sentiasa dibayang-bayangi oleh sesuatu yang sudah berlalu. Lepaskanlah dirimu dari pengaruh dan bayangan masa lampau. Adakah anda mahu mengembalikan sungai kepada sumber mata airnya, memulangkan matahari ke tempat terbitnya, mengembalikan kanak-kanak ke dalam rahim ibunya dan air mata kepada mata? Sesungguhnya meratapi masa lalu dan menangisinya akan membuatmu terbakar dalam apinya. Kembali ke pangkuan masa lalu sama sahaja meletakkan anda dalam kemelut dan tragedi yang sangat dahsyat dan menakutkan.

Hidup dengan mengungkit-ngungkit masa lalu bermakna menyia-nyiakan masa sekarang, mengoyak-ngoyakkan perjuangan, dan memporak-perandakan masa kini. Segalanya sudah selesai. Tidak ada gunanya lagi menghurai dan memanjang perjalanan sejarah. Sesungguhnya manusia tidak perlu menoleh atau berpaling ke belakang. Sebab hembusan angin sentiasa menghala ke depan, air mengalir pun menuju ke depan, kafilah berjalan pun kearah depan. Justeru, jangan cuba menentang arus dan aturan hidup.

Bukan mustahil hidup anda tinggal sehari sahaja lagi – hari ini. Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seolah-olah anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga. Dengan begitu, hidup anda tidak akan koyak-rabak di antara gumpalan keresahan, kesedihan dan suka-duka serta parut masa lalu dengan bayangan hantu masa depan yang penuh dengan keraguan dan sering menakutkan.
“ Terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang ang bersyukur.”
( surah al-A’raf : 144 )


…… dan aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang meminta pertolongan dan yang mohon bantuan, hamba yang penakut yang minta dikasihani ....

…. Ya Allah aku mohon kepadaMu sebagaimana memintanya si miskin, dan aku berdoa kepadaMu seperti doa orang yang berdosa dan amat hina. Aku memohon kepadaMu seperti orang penakut lagi pula buta, juga seperti berdoanya orang yang menundukkan jiwanya, merendahkan raganya dan wajah serta hidungnya kepada-Mu. ….

Monday, September 19, 2005

Nun...Wal Qalami...

Gambar menunjukkan Majlis Pelancaran AMAL sebagai NGO oleh Tuan Guru dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat , Menteri Besar kelantan di Dewan Bunga Teratai, Hotel Perdana bertarikh 31 Ogos 2005.



Nun…demi kalam dan demi apa yang dituliskan…

Amalku cita-citaku..tujuanku dan harapanku.. walau di mana jua, sampai bila masa.. itulah lakaran di taman fikiranku..

Malam yang kian sirna..merayap-rayap di kaki fajar..musim sedang berbunga…namun aku masih leka..berselimut kaku berdengkur ..pada titian usia yang kian merapuh.. Di bibir mega ku berbisik.. basuhlah mata hidupkan waja..pada lembaran al-Furqan kulafaz.. pada tinta-tinta pena yang kian mengalir..lantaran tinta ulama’ akan dibalas dengan darah syuhada’…Mekanisme tali perjuangan ini akan tetap berpilin ..menganyam utuh rentak kehidupan,memberi makna lakaran perjalanan. Lantaran hidup bukan sekadar kebetulan. Aku akur akan suratan..sebuah ketentuan yang pasti.


Andaikata bumi ini dilanda sumpah tujuh keturunan..takkan ku bermati di hujung jari..membiarkan taufan ribut melanggar..dibelah pasir membakar jasad hitam.. Akanku sapu mendung yang menghitam dimukaku.. aku anyam rantaian azam kekuatan ..melawan ombak ganas yang menerpa ke mukaku.. akanku berdiri menjadi bentengnya..Angkatap sebuah kepastian pasti akan berkunjung..lentera ini takkan padam.. Pada hari ini..bukan hari semalam..bukan jua detik yang tak pasti datang ….paduan genggam bara semangat ..membakar rentung jasad resesif..membangkitkan aku berdiri gagah..



Lantaran..izinkan lebur temali dura..yang bercangkaliwang didadaku saban kala.. kanku kafan dengan kain sutera..biar lena ia bersemadi..akanku tancap nisan pataka sebuah kenangan usang.. dan relakan bangkitku menebus maruah ! Tapi.. andaikata aku gugur di keranda lenta..biarkan tumbuh benih pejuang.. jangan aku mati hina berlutut.. meninggalkan sepi anak-anak bangsa..dengan tangan kosong retorik semata.. aku bukan insan bertempik sorak di gelanggang..bukan mulia disambut hamparan merah.. kerana aku dilahirkan untuk menafsir.. makna seorang aku..erti sebuah cita-cita..melihat gemerlapan sinar Tuhan di penjuru alam.




Friday, September 16, 2005

emmm... esok ada dua test yang perlu dihadapi.. Histology dan Biostatistik. hari isnin ini farmacology pula. kedua duanya esok sukar, aku lepak kat library semalam sampai library tutup. udara aircond yang kuat menusuk tubuhku yang tak dilapisi membran sweater menyebabkan aku terpenyek kat rumah pagi tadi... demam menyerang. tapi malam ni aku datang library lagi. esok test jam 8- 10 pagi dan 10-11.30 mesti ku hadapi.

berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir !
keep your thoughts and mind always on the goal!
no matter what you must get the betsz for this semester. amin..

ada sorang kenalan aku ada masalah.. dia asyik meseg itu ini, naik rimas jugak . sebagai kawan yg tak berapa rapat, aku nasihatkan dia sekadar je lah. suruh dia solat banyak-banyak, semoga hatinya tenang. aku minta dia baca surah yasin kalau boleh 3 kali selepas asar dan kalau boleh menangis, menangis. sebab itu yang aku buat bila aku rasa lemah sangat. tapi at last mesegnya berbunyi ' akak tak payahlah suruh saya buat itu ini, saya bukannya tak buat sebelum ni'

hish.. aku terkedu.

bermain-main kembali di kepala, apa yang pernah aku cedok..
'Allah akan tunjukkan kesalahan kita supaya kita bertaubat. Kalau Dia sayang seseorang, orang itu akan ditunjukkan segala kesalahan dirinya. Taubat adalah kunci segala ibadah. buatlah banyak mana ibadah sekalipun tapi kalau tiada taubat, ia takkan sampai. '

orang muqarrabin, menangis walaupun disebabkan dosa yang kecil bagi kita, tapi baginya dosa iti besar.

nabi adam, bertaubat 200 tahun sampai airmata baginda mengalir dan akhirnya menjadi lautan hindi,

nabi nuh yang ditelan ikan paus, baginda mendengar jeritan hati ikan paus tersebut. ikan paus menangis sambil berzikir kepada Allah. baginda hairan dan takjub, ikan paus yang tiada dosa menangis beria, tapi aku ? lantas baginda insaf. baginda bertaubat dan menangis, menangis dan menangis. baginda berdoa 'la ilaha illa anta, subhanaka inni kuntu minaz zolimin' di dalam sendunya. segala hibanya dihamparkan pada ilahi rabbi. sehingga airmata baginda membanjiri perut ikan paus tersebut. ikan tersebut termuntah lantaran airmata baginda memenuhi perutnya, maka terselamatlah baginda dan baginda dapat keluar dari perut ikan..

betapa hati yang jernih tanpa dosa akan mudah nampak dosa yang dilakukan. tetapi kalau setiap saat bergelumang dengan dosa, kita akan kabur. tidak nampak kesalahan diri. rasa diri tidak berdosa. kalau merasa diri tidak berdosa, bagaimana mahu bertaubat ? kalau tidak bertaubat, bagaimana boleh membentuk diri yang soleh..?

Bila hati rasa tidak tenang, check 'semalam aku qiam ke tidak ?'
kalau tidak, alhamdulillah. ketidaktenangan itu adalah petunjuk daripadaNya, tanda kasih sayang Nya supaya hati kita sentiasa bersama-samaNya.