Thursday, December 28, 2006

DUKA

Benar duka itu pahit

tapi mesti ditelan

sebiji

sebiji

pada setiap malam

hendaknya

dengan ini

kesakitan

akan segera menghilang.

Ediramle

AKARNYA GERILA

Karya - Adieputera

Matahari ditelan awan petang.Tangga jeti menghadap ke kuala yang memisahkan antara tanah Selatan Thai dan Utara Malaysia ditenggelamkan pasang laut. Kikih dan layah camar putih mewarnai petang yang hampir tenggelam dalam lautan memerah.Dan di situ duduknya manusia lelaki aku. Di tangga jeti itu. Angin-angin nakal mengusik anak-anak rambut lebat hitam sengaja aku biarkan. Aku membiarkannya.

` Aku tahu…`

` Akanku tunggu disini. Aku menunggu suatu kepastian.`

Sepasang tangan ini pantas meraup wajah yang mulai resah. Dan satu keluhan kecil juga pantas dibawa angin timur laut. Jauh ke tengah laut. Jauh dan jauh.

Aku kembali merenung wajah laut lepas bebas. Aku seperti tidak percaya. Aku sama sekali tidak menduga kesudahan yang begini jadinya. Rasanya, mahu aku melaung sekuat hati. Membunuh epilog yang cukup melukakan itu.

Aku masih bermonolog dalam getar suara yang bersatu dalam deru angin laut. Deru angin yang sesekali kuat. Dan sesekali cukup tenang.

` Memang. Kebenaran itu sungguh sakit. Menyakitkan.`

` Tapi kebenaran seperti ini perlu. Perlu untuk membina kekuatan.`

Aku masih bermonolog. Bermonolog tentang pentafsiran. Ah…aku akan menafikan habis-habisan sekiranya ada manusia yang mengatakan aku sudah tidak mampu membina kekuatan diri ini.

` Kau bebas untuk membuat penentuan. Tapi itu yang mampu aku lakukan.`

Aku mengangkat jari-jari kaki yang digigit gigi-gigi air. Pasang air laut sudah menelan dua anak tangga jeti itu.Aku masih membiarkan. Aku seperti tidak terkesan. Tanpa sedar hatiku menerawang jauh ke ruang kenang.

Feri Sri Tanjung baru tiba. Aku pantas melangkah sebelum sempat feri itu merapati jeti. Aku perlu segera. Aku melompat dan mendarat di tangga jeti. Aku memerhatikan jam di tangan. Sepasang jarum itu juga tidak memberi ruang pada aku untuk berlengah.Waktu benar-benar menghambat aku ketika ini.

Ah, tersirap darah naik ke mukaku. Aku meraba-raba saku belakang seluar dengan cemas. Tidak ada. Aku seakan tidak percaya. Aku mencari lagi. Tidak juga ada. Benar-benar tidak ada. Hatiku cemas. Puas aku menyelongkar beg pakaian dan segenap saku seluar yang ada. Aku semakin cemas.

` Mungkin ini yang encik cari…`

Aku tersentak dengan satu suara halus menyapa dari arah belakang. Secepat kilat aku berpaling mencari suara itu. Seorang gadis tersenyum sambil menghulurkan sesuatu yang memang aku sedang mencarinya. Oh Tuhan!

` Ya, ini pun dia…terima kasih cik…`

` Saya Sri. Paspot encik terjatuh di atas feri tadi.Dan secara kebetulan saya ada di situ. Saya dah cuba panggil encik tapi encik…`

` Saya Adieputera. Memang saya perlu cepat. Kapal terbang akan berlepas setengah jam dari sekarang. Nak ke Kuala Lumpur…` Aku seperti serba salah, antara patut atau tidak aku ceritakan segalanya pada Sri.

` Terima kasih sekali lagi. Kalau tidak kerana cik Sri, mungkin saya ketinggalan penerbangan. O.k jumpa lagi…`

Dia tersenyum. Perlahan-lahan dia mengangguk. Aku bergegas pantas setelah selesai menguruskan pemeriksaan paspot. Dalam pada itu aku masih sempat berpaling melihat gadis Sri yang mulai kejauhan dari pandangan.

Itu yang masih aku ingat. Tuhan menghantar Sri menemui aku. Sri yang menyelamatkan aku ketika itu. Dan bundar dunia sekali lagi menemukan aku dan Sri. Pertemuan di selatan Tanah Siam dalam suatu siri pertemuan bahasa dan sastera melayu. Aku mewakili PESISIR, sebuah badan penulis tanahair.

` Perkembangan sastera di sini masih bayi…`

` Soalnya sekarang sudah ada tanda-tanda ke arah perkembangan yang sewajarnya.`

` Ya…dengan sokongan penulis-penulis Kelantan khususnya dan Malaysia amnya sudah pasti membantu kami Terutama bahan-bahan bacaan sastera dari Dewan Bahasa dan Pustaka dan khabarnya sudah buka cawangan di Kota Bharu…`

` Benar sekali. Dan PESISIR khususnya banyak mendapat sokongan material mahupun moral.`

` Inilah untungnya tanah dan daerah yang ditadbir bangsa sendiri. Punya kekuatan segala-galanya. Khususnya buat meningkatkan rumpun kita, rumpun Melayu. Dan agama kita. Tapi di sini, semuanya itu agak payah untuk menjadi sempurna.`

Sri menjelaskan dengan agak lebar. Kata-kata yang seperti meluahkan rasa kecewa. Namun dia masih sempat membebaskan sekuntum senyum ranum. Mungkin untuk aku.

Mata Sri kelihatan seperti gusar. Namun semuanya sempat disembunyikan di sebalik senyum dan katanya yang tersusun rapi. Dan Sri seperti mengakui kebenaran itu. Dia tetap bersahaja mendepani pertemuan ini.

` Sulit sekali.`

` Apakah tidak akan ada jalan keluarnya?`

` Jalan-jalan itu masih kesamaran…`

` Maksudnya…`

` Perjuangan untuk empat wilayah ini, perjuangan untuk membina sendiri ketamadunan bangsa, bahasa dan besarnya agama kita…malah lantaran perjuangan itu…`

Sri menarik nafasnya. Seolah-olah membiarkan laluan kepada lontaran puisi-puisi warga PESISIR, dan ketika itu Ediramlee sedang menakluk dewan Prince Of Songkhla dengan puisinya penuh bertenaga.

` Keluargaku hari ini dipulau kerana sejarah.`

` Kedua-dua abangku juga mati ditembak di satu tanah bendang. Kampung Telian. Hampir sempadan Malaysia…`

` Hampir dengan Takbai…`

` Ya.`

` Adie kenal…?`

` Kalau itu. Aku cukup kenal. Malah lebih dari kenal.`

` Maksud Adie…`

` Tanah kelahiranku. Sebelum arwah ayah menghantar aku ke Malaysia untuk belajar dan sekolah di sana. Kata ayah, dia mahu aku kerja di Malaysia. Jadi orang Malaysia.`

` Maknanya Adie juga …`

Belum sempat Sri menghabiskan kata-katanya, perantara Malam Pengucapan Puisi Himpunan Selatan Satu menjemputnya ke pentas. Tepukan daripada sebahagian besar khalayak manusia seni bergema di dalam dewan Universiti Prince Of Songkhla yang mampu memuatkan seratus hingga dua ratus orang itu.

Kelihatan Sri bangun dan berjalan dengan tenang menuju pentas. Sudut pentas yang ringkas tapi cukup selesa untuk melontarkan `the best words in their best order.` Seperti kata S.T. Coleridge yang cukup aku ingat.

`Assalamualaikum dan selamat petang, juga salam puisi semanis puisi buat teman-teman penyair PESISIR seluruhnya, sebenarnya sudah lama saya tidak membaca puisi di depan khalayak ramai seperti ini, tapi ya…saya cuba…`

ketika menyisir rambut-rambut terakhir perjuangan

di kaca cermin kehidupan pewaris gerila

dalam menyatukan kebenaran zikir

para wali keramat warga

mengutip sisa-sisa makna merdeka

yang tertinggal di terminal kuasa

aku cukup merasakan

manisnya doa dan rindu kalian.`

Kata-kata bersahaja dalam tekanan intonasi suara yang tepat menyaksikan sekali lagi tepukan bergemuruh daripada khalayak akademik dan seni yang memenuhi ruang dewan.

Sri tunduk hormat. Aku bangun sebagai tanda penghormatan kekaguman atas puisi yang dipersembahkan sebentar tadi atau kagumku dengan semangat yang membakar dalam dirinya. Diri Sri. Aku mula jadi tidak pasti.

Sri kembali mengambil tempat di sebelahku. Entah kenapa rasa kebanggaan seperti memuncak bila semua mata pencinta seni yang ada seperti tertumpu ke arah aku dan Sri.

Aku masih membiarkan kuntum-kuntum senyum bertaburan seakan mewarnai lampu-lampu. Dan seperti diharapkan kuntuman senyum itu telah menular ke bibir nipis Sri yang cukup cantik itu. Cuma sayangnya aku dapat membaca redup renung matanya yang masih gagal menyembunyikan rasa resahnya. Rasa kecewanya. Walaupun Sri cuba berbohong dengan memecahkan sedikit gelak manja.

` Kita di mana tadi ya…`

` Masih dalam dewan permai Prince Of Songhkla.`

Sri memekup wajahnya dengan kedua belah tapak tangan. Dia melepaskan gelak manjanya perlahan-lahan.

` Adie nakal rupanya…`

` Maafkan Adie…saja nak ceriakan sedikit suasana.`

` Tak apa…Sri hanya merasakan malam makin pantas. Tengok dah sebelas malam.` Sri menunjukkan jam tangannya.

` Kalau di Malaysia, sudah dua belas malam.`

Aku mengangkat gelas kaca minuman sambil mempelawa Sri dalam bahasa isyarat mudah. Sri cuma angguk mesra.

` Ahh…dahaga.`

` Cuacanya agak hangat.`

Kata-kata hambar sudah mewarnai suasana perbualan aku dan Sri. Tapi Sri cepat-cepat mematikan kehambaran itu.

` Lulusan sarjana kesusasteraan dan bahasa melayu tak memadai di sini…`

` Maksudnya…`

`Aku hanya menjadi tenaga pengajar sambilan. Kontrak ini bisa di tamatkan bila-bila masa. Itu pun setelah aku dibebaskan dari ikatan sejarah gerila arwah abang-abangku.`

` Bukankah pensyarah dalam bidang kemanusiaan cukup berkurangan di sini. Itu maklumat awal yang aku terima.`

` Betul. Tapi status bangsa…`

` Ohh…Aku mulai faham.`

` Sedangkan aku masih punya ibu. Dua adik perempuan aku masih di alam menengah rendah. Semuanya perlukan perbelanjaan. Dan semuanya itu di bawah tanggunganku.`

` Sakit…`

` Apa yang sakit.?`

` Kehidupan. Sedangkan multi bangsa negara aku bebas memilih ruang untuk hidup asalkan mempunyai kemampuan akademik dan material yang baik…`

` Tapi, itulah sukarnya menolak takdir.`

` Takdir…perkataan itu seperti menunjukkan rasa putus asa. Pesimistik.`

` Benar. Sesudah terperangkap dalam jaringan hakikat.Kita terpaksa menerimanya.`

Aku dan Sri tersentak bila satu kilauan cahaya menampar wajah aku. Wajah Sri juga. Kemudian munculnya Zaidi dengan kamera di tangan sambil mengangkat ibu jarinya.Isyarat sempurna. Kemudian dia tertawa kecil.

` Bahan berita aku…`

Zaidi separuh berbisik sambil menghampiri aku.Dia menarik kerusi dan diletak antara aku dan Sri.Kemudian dia menghempaskan punggungnya sambil mengeluarkan pen dan buku catatan berlambangkan salah sebuah akhbar tempatan di Malaysia. Sri memandang dengan tenang.

` Adie…apa yang kau pakai hah…sampaikan cik Sri tak berganjak dari duduknya…`

` Jawapannya ada pada cik Sri…`

` Boleh cik Sri ceritakan…`

Aku melepaskan gelak tawa dalam keadaan terkawal. Sri ikut tertawa. Juga tawa yang cukup terkawal.Semata-mata kerana majlis yang masih berlangsung.Kalau tidak, mungkin bergegar dewan ini dibuatnya. Zaidi tersenyum.

` Sebenarnya saya sudah bertemu dengan Adie sebelum ni…`

` Ohh…patutlah. Ingatkan…`

` Ingatkan apa…?`

` Untuk pengetahuan cik Sri, Adieputera ni seorang pemalu dengan perempuan. Biasanya jumpa perempuan menggigil habis…`

Baru kali ini aku melihat dia benar-benar ketawa. Berair matanya untuk menghabiskan ketawa itu.

` Tidak ada yang menarik…`

Zaidi terus mendesaknya dengan pelbagai soalan untuk mengutip rahsia seorang perempuan sebangsa berwarganegara Thai. Selatan Thai. Pensyarah sambilan kesusasteraan melayu.

` Seperti yang saya jelaskan pada Adie, nasib anak-anak gerila tidak pernah baik. Mungkin hanya saya, selepas generasi ketiga. Punya sedikit kelebihan. Dapat mencapai ke tahap sekarang.`

` Maksud Sri…`

Zaidi terus meletakkan mesin perakam suara bersaiz kecil. Zaidi dapat rasakan dia sudah dapat cerita yang baik. Mesin perakam itu ditekan pantas.

` Saya dibesarkan dalam masyarakat tertutup. Kedua abang saya yang mewakili generasi kedua pewaris keluarga gerila tidak cukup masa untuk dewasa dalam alam persekolahan. Mereka lebih diajar tentang penggunaan senjata.Ilmu pertahankan diri. Dan saya tidak cukup tahu dari mana mereka mendapat bekalan senjata itu…`

Zaidi mengangguk penuh minat. Sesekali dia menoleh ke arahku. Aku membiarkan temuramah itu tanpa terganggu.

` Dulu arwah ayah memikirkan cara mudah mengembalikan empat wilayah ini ke tempat asalnya adalah melalui gerombolan bawah tanah. Ayah mahukan wilayah selatan menjadi milik kami. Dan hanya cara ini saja dapat merubah nasib sebangsa. Nasib seagama.`

Zaidi tak henti-henti mencatat. Meskipun mesin perakam terus berputar. Sri juga tidak putus-putus menjelaskan pengertian hidup di dalam keluarga gerila.

` Abang-abang saya akhirnya tumbang dalam satu serang hendap di Kampung Telian dekat Takbai.`

Zaidi seperti terkejut. Dia berpaling ke arah aku. Aku hanya mengangguk. Dan aku tahu. Dia mohon kepastian. Aku angguk lagi.

` Setelah generasi kedua berakhir, tinggallah generasi ketiga, manusia perempuan yang tak berupaya seperti saya dan dua adik perempuan, namun kami tetap berjuang…`

Zaidi menggunakan bahasa badan untuk meminta jawapan Sri. Aku juga menanti jawapan itu. Jawapan kepada persoalan bagaimana.

` Perjuangan memartabatkan agama dan bangsa. Martabat bahasa.`

Sri masih berahsia.

` Kekerasan bukan cara penyelesaian terbaik. Kalau dulu, perjuangan bawah tanah, sekarang saya berjuang di bawah mata pena. Di bilik-bilik kuliah kemanusiaan…puisi-puisi di dada-dada akhbar, antologi puisi Dewan…dengan harapan, semoga ada yang mengerti… `

Suara siren perjalanan terakhir Feri Seri Tanjung membunuh ingatan bersama Sri. Aku menunggu kedatangan Sri. Aku menanti janji Sri. Ini feri terakhir. Kalau tak ada, bermakna Sri tak mampu mengotakan sumpahnya. Sri tak dapat mengongsi darah gerila yang mengalir pekat dalam tubuhnya. Bermakna Sri memilih jalan untuk mengekalkan nama pewaris gerila pada anak-anaknya nanti.

Feri sudah merapati jeti. Aku pantas meluru mencari kelibat Sri. Penumpang-penumpang terakhir mula melangkah turun. Aku masih mencari-cari wajah Sri. Debaran cemas berbaur resah seperti dipulas-pulas. Hasilnya kehampaan yang pedih. Sah.Wajah Sri tidak muncul.

Aku melangkah pulang dengan rasa hampa yang terakhir. Kehampaan yang sangat berat untuk aku terima. Aku memang mengharapkan kehadiran Sri. Terlalu mengharapkan. Ketentuan Tuhan mengatasi segalanya.

` En.Adie…`

Satu suara yang mengejutkan. Aku berpaling mencari suara itu.

` En. Adie ya…saya Suria…adik Sri…`

` Saya Adie. Ohh…jadi Sri di mana?`

` Maafkan Kak Sri…dia…dia…`

Terputus-putus suara yang tentunya mirip suara Sri. Aku kian gelisah.

` Kak Sri minta saya sampaikan ini…dan saya perlu pulang segera.`

Belum sempat aku berkata apa-apa lagi, Suria pantas berkejar ke atas feri terakhir milik negara jiran itu. Aku perhatikan surat itu. Surat yang dapat aku rasakan sebagai pembunuh harapan termahal ini.

`…Adie,

Mimpimu dan mimpi Sri, belum ditentukan bersatu. Semalam Sri mendapat musibah besar. Sekarang Sri di lokap. Perisik kerajaan mendapat maklumat yang Sri masih menghidupkan perjuangan itu. Perjuangan tanpa senjata. Perjuangan mata pena.

Adie…

Darah yang mengalir adalah darah gerila. Doakan pejuang ini, agar mimpinya bakal merubah kebenaran hakiki.

…jodoh, maut dan kuburnya adalah ketentuan pemilikNya.

Salam dari gadis gerila.

Sri

Oh.Tuhan. Ketentuan apakah ini?

Aku melangkah lesu meninggalkan jeti. Di tangan kananku tergenggam kemas antologi puisi terbaru karya Sri terbitan Dewan. Anugerah perjuangan pewaris gerila. Lagu Gerila Buat Sri.

Saturday, December 16, 2006

laptop

Sudah agak lama juga saya tidak menulis di blog atau membelek-belek kotak email. Saya sendiri sudah naik rindu mengingatkan email yang bertimbun tidak dapat dibaca kerana saya tidak mahu mengganggu kesibukan suami saya. Saya tidak mahu meminjam laptopnya yang beberapa hari lepas tidak pernah berenggang dengannya akibat mahu menyiapkan kerja-kerja Masternya yang tertangguh. Biarlah saya mengambil jalan mudah, pergi ke library dan membaca buku. Bila saya mendapat idea menulis, saya hanya menukilkannya di atas kertas dan buku. Menulis tetap menulis. Itu tetap perlu sentiasa saya amalkan cuma caranya sedikit berbeza.

Namun, sejak saya mula menulis manuskrip sebuah buku akademik yang akan dipublishkan oleh Utusan Publication, saya merasa seperti orang patah tangan. dengan pen dan buku, perjalanan menulis saya amat lembap. Akhirnya saya merencanakan untkmendapatkan sebuah laptop untuk kegunaan jihad pena ini. Ya Allah permudahkan urusan saya ini.. Semoga dimurahkan rezeki saya. Saya akan menggunakan hasil titik peluh saya sendiri untuk mendapatkan laptop peribadi saya.