Wednesday, August 03, 2016

Islambul bukan Istanbul


Bismillahirrahmanirrahim..



20 Mei 2013, memijak kaki buat pertama kali ke Turki. Subhanallah! Tak terduga dalam fikiran, rezeki Allah untuk menghirup udara Turki dan seterusnya ke Tanah Haram sebagai tetamu rumahNya yang suci. Baru sahaja mendengar cerita daripada seorang sahabat tentang hebatnya Turki. Sahabat itu belajar di negara Obama dan sejarah Eropah termasuk negara Turki menjadi subjek wajib bagi mereka yang belajar di sana sebagaimana subjek TITAS 1 dan TITAS 2 yang menjadi subjek wajib lulus bagi pelajar-pelajar universiti tempatan. Saya hanya terpegun mendengar dia yang bercerita penuh keterujaan mengenai Aya Sofea, sebuah masjid yang kini menjadi muzium. Saya tidaklah beria-ia menyimpan angan mekar untuk ke sana, sekadar mengaminkan keinginannya dan sedikit rasa yang terselit untuk ke sana, namun takdir Tuhan, saya sampai dahulu ke Turki berbanding dia. Perancangan Tuhan siapa tahu kan?


Yang menyambut kami adalah masjid-masjid agam serta landskap segar bunga mawar merah, pink dan kuning yang mengindahi pandangan di penghujung musim sejuk tersebut. Nyaman, tenang, indah, damai.. Bumi cantik dengan jalanraya besar yang sibuk tetapi lancar, bumi hebat dan subur. Syukur!

Mengikut tentatif, kami akan ke Bursa dahulu, kemudian barulah Islambul. Islambul yang telah ditukar nama oleh Mustapha Kamal Attaturk kepada Istanbul. Dalam kitab Fi Zilaali Surah at-Taubah (Di Bawah Naungan Surah at-Taubah), Dr Abdullah Yusuf Abbas menulis bahawa setelah membebaskan kota Kostantinople, Sultan Muhammad Al-Fateh mengubah nama kota ini kepada Islambul yang bererti Kota Islam. Dr Abdullah turut menyeru, “Kalau kita ingin menghilangkan nama Kostantinople, maka sebutlah kota ini sebagai Islambul, bukan Istanbul.” Sehingga kini, kota Islambul terus mekar subur menjadi kota terbesar menandingi ibukota Turki, Ankara.

Alhamdulillah, daripada pagi hingga ke petang kami menjelajahi kota besar ini. Sangat teruja, ddan yang sebenarnya adalah tersentuh.

Kami bermula dengan menaiki bot menyelursuri Teluk Bosphorus yang airnya sangat biru, melihat istana-istana yang dibina di sepanjang pesisir teluk tersebut. Binaannya kemas, benbentuk empat segi, rata, tidak terlalu tinggi dengan warna asli yang hampir seragam.

Dari atas bot ini kami menikmati pandangan Istana Topkapi, Dolmahbache, universiti dan lain-lain yang dibina rapat-rapat, yang menjadikan udara segar di sini sebagai hirupan harian. Masjid-mesjid penuh agam, dan selalunya dipenuhi orang. Orang Turki cantik-cantik dengan raut wajah Arab bercampur Inggeris. Mungkin kerana mereka daripada keturunan Nabi Nuh iaitu daripada Yafes yang berhijrah hingga ke Asia Tengah. (Wallahu a'lam). Tinggi lampai, berkulit halus, berhidung mancung, dan lebih kecil berbanding orang Arab. Atau mungkin juga faktor pemakanan yang mempengaruhi. Buah zaitun, ikan segar (yang banyak di Sungai Marmara), kurang garam, salad dengan perahan lemon dan minyak zaitun dan yogurt, itulah hidangan asas setiap hari ditambahi dengan sup pelbagai jenis. Kalau diikutkan dengan lidah Melayu, masakan mereka adalah tawar sehingga ada sanggup membawa kicap sebagai kuah tambahan.

Perjalanan diteruskan pada hari berikutnya menuju ke Hagia Sophia atau juga dikenali sebagai Aya Sofea. Meremang bulu roma sebaik sahaja mata tepat memandang monumen popular dengan binaan luarbiasa ini.

Credit to photog Abir Abdul Patah 
It's never too late to write 
31 Mei 2016