Bahawa esok, lusa dan nanti.. dalam vaskular perjalanan ini adalah perjuangan yang tidak pernah mati. Adalah kehidupan, bersama mentari bersama duri..
Wednesday, August 16, 2006
Akhirya....
Sebenarnya, aku tidaklah suka menulis berkaitan peribadiku untuk dibaca secara umum.. sebab aku sedikit perahsia orangnya.. aku lebih suka berkias atau melarikan diri dari subjek kisah hidupku... mungkin laluan hidupku semenjak merah hingga tua berjanggut begini sedikit berbeza dari orang lain.. dan aku punya ceritaku tersendiri..
Tapi sekarang aku sedikit gundah.. aku dirundung sebak.. walaupun sepatutnya aku bergembira.. Ya! aku gembira dalam sedih. aku memerlukan tempat untuk meluahkan kegusaranku..
Sabtu lepas, 12 Ogos 2006, aku dinobatkan antara 66xx pelajar Universiti Malaya sebagai graduan
TAHNIAH buat diriku!
TERIMA KASIH kepada ibuku!
dan Terimakasih juga kepada sahabat-sahabat yang menemaniku sepanjang menuntut ilmu..
Resultku cukup2 makan je...
Sepatutnya aku syukur...
kerana aku memang tak nak masuk universiti...
Suatu hari di matrikulasi, aku mengadu padA HEM, 'saya tak larat belajar..boleh tak saya taknak apply univ?' cikgu memujukku masuk saja univ,then first semester, aku mintaklah cuti...
begitulah aku berbuat. tapi sayangnya sistem sudah berubah. first sem memang tak boleh amik cuti melainkan cuti sakit.. aku kena bawa bukti dari UM Medical Centre... aku terkedu lagi.. aku masih ingat begitu sukar prosesnya berlaku.. begitu banyak ralatnya terpaksa aku lalui..
Aku sepatutnya bersyukur... kerana akhirnya...
Dengan 'silap mataku' kepada UM, penyakit sebenarku di detect. dari dulu lagi doktor cari sebab tapi tidak ketemuan. macam2 aku disuspectnya...
dan ketemuan ini membolehkan aku menikmati ubat yang tepat..dengan sakitku.. tapi hanya untuk sementara.. aku tak mahu sarafku tertipu dengan dadah yang suka menjerat.
Ah..itu cerita lepas.. semua kesakitan, tekanan, kesedihan, telah aku tempuhi di Uniperdana ini.. biarpun aku bersendirian... aku berjaya melaluinya.. Aku pernah ditahan belajar sekali lagi setelah mesyuarat dekan2 meneliti medical reportku.. orang ber'virus' sepertiku lebih baik rehat dirumah... lantas aku ditawarkan 'menarik diri dari semester'..
Sakit yang tak reti aku huraikan... segalanya terjilid menjadi satu.. menjadi diriku... menjadikan aku bengong! ha ha.. sememangnya aku cukup merana... melihat dari jauh orang selalu bersangkakan aku sombong, tapi aku sedang sengsara..
Tapi bukan itu yang aku sedihkan sekarang...
Sekarang timbul lagi satu masalah... ianya rentetan kisah lepas.. kisah kepeningan tahap maksimum..
Sekarang, walaupun aku bergembira mendapat skrol kosong dari YM Toh Puan Aisyah Ong,Pro Canselor UM, tapi aku bergulat dengan pilu lantaran aku tak dapat mengambil transkrip akademikku.. aku begitu perlukan transkrip sesegera mungkin.
Aku mahu berjumpa Prof Jefri Malin mengunjukkan transkrip yang sepatutnya aku serahkan 3 bulan lepas.. tapi ia masih tertunda.. dan aku tak tahu sampai bila.. bila waktu boleh aku dapatkannya kembali.. selagi itulah cita2 untuk sambung master tak akan tertunai...
airmata mengalir juga... selepas bertegang dengan pihak bendahari.. bukan salahku.. tapi aku bersalah juga dalam hal ni.. apa boleh buat... taik kambing memang bulat.. dan aku tak mampu untuk membayar yuran untuk kali kedua..kalau seratus dua bolehlah.. tapi nilainya rm983.40..
Ahhh... Tuhan tolong hambaMu ini!
Aku tahu, dalam kalutku Tuhan sudah menolongku...
malam sebelum aku naik pentas, aku berasa begitu risau entah kenapa. tidak pernah aku tidak daat melelapkan mata seperti malam itu. aku temankan kakakku menjawab soalan teka silang kata kegemarannya sehingga jam 1.30 pagi.. tapi aku tak dapat tidur hinggalah pukul 5.00.
Sepanjang jalananku, aku membaca ayat amalanku... dan Tuhan telah menolongku..
Dia telah menolongku meloloskan diri mengambil jubah tanpa ada masalah, sedangkan sepatutnya aku tak dapat ambil jubah kerana masih berhutang! Tapi sistem UM telah terlepas pandang padaku...alhamdulillah...
Ahh semuanya berhikmah mungkin..
Apakah ini petunjuk untukku tidak tergesa2 menyambung pengajianku sekarang ataupun sekadar ujian penguji ketahanan...
Tuhanku.. berilah aku petunjuk...aku kabur, aku keliru, aku resah dan aku pilu...
Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan kekuatan dariMu.. aku berserah diri..
Sunday, August 06, 2006
Belajarlah Menulis
Supaya sebelum kita mati, kita ada suatu saham untuk ditinggalkan…
Untuk pejuang agama.. belajarlah menulis. Tulislah apa yang baik hari ini, supaya esok ia membentengi kita dari api neraka.
Allah bersumpah, ‘Nun.. Wal qalami wama yasturun..’
Yakni ‘ Demi pena, dan demi apa yang dituliskan..’ .
Allah tidak pernah bersumpah dengan benda yang remeh-temeh. Allah bersumpah dengan perkara yang hebat-hebat belaka. Dengan matahari, dengan bintang, dengan bulan dan dengan masa. Dengan pena, kerana mata pena lebih tajam daripada mata pedang.
Kalau anda seorang yang bijak berpidato, ucapan anda boleh didengar oleh orang-orang yang hadir sahaja. Selebihnya yang tidak mendengar, mereka tidak tahu apa yang anda uar-uarkan. Menulis, hasil tulisan anda boleh dibaca walaupun setelah anda mati.
Bayangkan kalau karya anda mempunyai impak besar, ia akan diulang-cetak berkali-kali dan dibaca oleh ramai orang. Seperti karya Richie Rachman, ‘ Skandal’ yang telah diulang-cetak sebanyak 9 kali. Karya ini menceritakan dengan detail skandal-skandal yang berlaku di kalangan golongan berkolar putih.
Percayalah, menulis amat hebat kesannya. Kalau tidak, masakan Syed Qutb mati di tali gantung kerana penulisan!
Kalau anda tiada bakat, belajarlah. Belajarlah berdikit-dikit menulis artikel, jurnal, cerpen, novel ataupun puisi. Ramai anak muda yang menulis cerpen, tapi nilai tumpuan mereka terlalu klise, lebih kepada cinta muda-mudi. Mengapa tidak anda yang ‘tahu’ agama menggilap permata itu melalui pena.
Bangkitkan jiwa umat Islam khususnya di watan kita. Kita ummat Muhammad. Kita patut berbangga menjadi ummat Muhammad. Nabi yang teristimewa dari ratusan ribu nabi. Baginda disambut sendiri oleh Allah di Sidratul Muntaha semasa baginda dimi’rajkan. Allah yang memberi salam kepada baginda,
“ Assalamu alaika ayyuhan nabiyyu warahmatullahi wa barakatuh”
(“Selamat ke atas kamu wahai nabi dan rahmat Allah serta barakahNya ke atasmu..”)
Nabi menjawab dengan penuh bijaksana,
“ Assalamualaina wa ‘ala ibadillahs solihin”
(“Selamatlah ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yan soleh..”)
Baginda nabi mengimamkan solat yang dimakmumi nabi-nabi lain semasa di Masjidil Aqsa pada malam Isra’ dan Mi’raj. Bahkan Nabi Musa yang begitu gembira bertemu dengan baginda memohon untuk menjadi ummat Muhammad. Betapa hebatnya Nabi kita. Maka kita kena jadi ummat yang hebat.
Bagaimana mahu bangkit sedangkan jiwa kita lebur. Kita ralik menonton wanita yang berpakaian tapi telanjang.
Tulislah. Belajarlah menulis supaya kita mampu menyedarkan ummat ini tentang agenda musuh untuk menjahannamkan Islam. Mereka merosakkan sistem pendidikan kita sehingga kita lupa adaNya Allah dalam Biologi, Fizik dan Kimia.
Kita terlupa sel-sel ditubuh kita setiap hari bekerja. Kita terlupa membayar mereka. Kita sangka mereka berkerja secara semulajadi tanpa arahan sesiapa. Kita lupa bahawa mereka patuh kepada Allah kerana itulah yang disogokkan ke dalam mentaliti kita.
Islam Liberal berkembang dengan pesatnya melalui tulisan pendokongnya. Nak terima apapun perlu dengan akal logik sahaja. Yang bercanggah dengan akal ditolak ke tepi. Mereka menterjemah al-Quran ikut nafsu.
Kita insaf apabila berita di kaca televisyen memaparkan kekejaman ke atas Palestin dan Lubnan. Tetapi apabila habis berita, kita ralik dengan Dunia Anita, Pearl Screen, Mega Movie,
Kita terlupa seharusnya kita berdoa qunut nazilah untuk mereka. Kita patut bersolat hajat beramai-ramai dan menyuburkan semangat jihad yang sudah dibuang daripada sistem pendidikan kita. Kerana mereka saudara kita. Kerana darah mereka darah kita dan maruah mereka adalah maruah kita.
Inilah tugas kita, untuk sedar dan menyedarkan.
Samhani Ismail
Timbalan Presiden 3
Persatuan Alumni Maahad Muhammadi Negeri Kelantan (AMAL)
Saturday, August 05, 2006
Dendam Perang Salib seakan menjelma |
Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat
APABILA Bush menggunakan istilah Perang Salib dalam ucapan sejurus setelah serangan 11 Septembar 2001, maka dunia Islam sangat berhak untuk mencurigai dan menjangka apa yang akan berlaku seterusnya.
Apa tidaknya apabila satu demi satu negara umat Islam dimamah. Selain dari kekacauan tradisional yang bersifat turun temurun di Baitulmaqdis, Kerajaan Islam di Iran diganggu sebaik-baik saja dijulang rakyat pada tahun 1979.
Senggang tidak berapa lama, dunia menyaksikan pula Perang Iran-Iraq, kezaliman di Sudan dan Darfur, Kabul dan Kandahar serta Baghdad, Falujah dan Janin. Ini diikuti dengan penyeksaan ke atas ribuan aktivis Islam di Penjara Abu Gharib serta membuang al-Quran ke mangkuk tandas di Guantanamao.
Sejak itu, hampir seluruh lorong kehidupan di serata dunia Islam tidak pernah aman. Ada-ada saja gangguan yang dicari, dicetus dan disuakan Bush, sekutu dan para proksinya. Lihat saja bagaimana seksanya Sudan, Algeria dan Turki walaupun berjaya membentuk kerajaan demokrasi yang sah.
Demikian juga dengan Kerajaan Hamas di Palestin terkini. Fenomena keganasan luar biasa di Beirut yang kini memasuki hari ke 18 adalah contoh di tangan.
Nampaknya, jubah dan jilbab umat yang tergantung masih segar dibasahi darah, belum sejat-sejat dan masih hidup menitik-nitik di serap pasir di bumi Lebanon.
Sembelih dengan pisau tumpul
Mereka sedang mabuk menyembelih leher umat dengan pisau tumpul; mengebom bukan saja kubu-kubu Hizbullah bahkan sasaran orang awam terdiri dari kanak-kanak, wanita, orang tua; memusnahkan hampir seluruh infrastruktur termasuk tergamak mengebom Pos PBB di Khiam yang sepatutnya menjadi pangkalan perlindungan yang paling selamat.
Sementelah pos PBB itu telah berada di situ sejak tahun 1978.
Pelan persidangan antarabangsa di Rome pada 28 Julai 2006 terus gagal menghadiahkan gencatan senjata. Ia tidak lebih dari hanya satu koktail sesi minum kopi kerana Yahudi yang berada di belakang AS itu memang tidak mahukan perdamaian.
Apa yang mustahak bagi mereka ketika ini ialah mengambil kesempatan melakukan pemusnahan meluas yang sehabis maksimum. Inilah yang di rujuk oleh Bush sebagai lanjutan Perang Salib yang berselindung di sebalik motto memburu keganasan.
Jika saya boleh tumpang sedikit dari fakta analisis mengenai Perang Salib seperti yang dihidangkan Utusan Malaysia 29 Julai 2006, siri pertama krisis Islam Kristian berlaku seawal tahun 1097 hingga 1099 yang dilancarkan atas permintaan Pope Urban II.
Siri keduanya bermula pada tahun 1147 di Perancis dan German, siri ketiga di antara 1189 hingga 1192 dilancarkan oleh Raja Frederic Barbarossa dan siri keempatnya adalah di antara 1202 hingga 1204 tahun yang dipayungi oleh King Innocent III.
Di sepanjang empat siri perang itulah sejarah dunia telah benar-benar menyaksikan dendam Eropah berpaksikan gerakan permusuhan Yahudi Nasara yang tidak kunjung padam. Ia bersambung dengan penjajahan, baik di Asia Barat, Asia Timur dan seluruh rantau sebelah sini setelah sempurna proses sekularisasi di cetuskan di Perancis dan Amerika-Eropah.
Ikut acuan penjajah
Kita lalu memasuki era dijajah. Berbekalkan fikrah rekaan jahat, “agama lain politik lain”, Amerika - Eropah meracuni aqidah seluruh negara umat Islam yang dijajah.
Mereka mula menanam benih perpecahan di mana-mana. Dalam konteks Tanah Melayu, mereka sengaja memunggah buruh India dan Cina nonIslam dari kedua-dua benua.
Melalui kaedah “divide and rule”, mereka asingkan lagi penempatan mengikut kelompok kaum berasaskan lokaliti. Baik di Tanah Melayu dan Indonesia atau di Timor Tengah, setelah seluruh logam, minyak dan hasil mahsul habis diperas, mereka lalu izinkan pula penubuhan parti-parti politik dalam petak-petak kebangsaan.
Setelah yakin yang telah muncul anak-anak didik yang telah sempurna disekularkan, tokoh-tokoh nasionalis setempat pun diizin bergerak dalam parti-parti kebangsaan untuk dihadiahkan kemerdekaan dan membentuk kerajaan.
Sungguhpun Barat memberi kemerdekaan, mereka tetap tidak lepas dan terus menyucuk hidung anak jajahan masing-masing agar terus kekal taat menjadi proksi mereka melalui kerangka perlembagaan sekular negara masing-masing.
Timbuni sesat lahirkan Umno
Dalam konteks Tanah Melayu, timbuni sesat inilah yang melahirkan Umno. Inilah segala punca kepada munculnya dasa-dasar dan program pembangunan, pendidikan, sosial, hiburan dan ekonomi yang keliru dan menggelirukan.
Kita boleh saksikan sendiri dari seribu satu macam penyakit sosial yang sedang galak merebak. Lantaran itu, tidak hairanlah walaupun kita diberi mandat untuk memimpin OIC, namun pemimpin Umno yang mempengerusikannya tidak pernah akan gigit rantai yang telah dikunci kelehernya oleh bekas tuannya.
Berbalik kepada Perang Salib, pengisytiharan Bush, Blair dan sekutunya bertolak dari insiden 9/11 telah mengesahkan Fasa Kelima dari pertentangan Islam vs Yahudi Nasara ini.
Telah lama mereka meracuni minda dan pegangan aqidah kita supaya mengasingkan politik dari agama sedangkan mereka sendiri tetap meneruskan dendam untuk menghancurkan Islam bertolak dari kuasa yang di ambil dari manipulasi politik.
Ertinya, mereka menyogok kita supaya hanya leka berritual dengan solat, zakat, puasa dan haji sahaja dan tinggalkan urusan politik tetapi mereka terus tetaplah tidak lepas-lepas menguasai tampuk kuasa di gelanggang politik.
Kita yang dibodohkan ini rupanya telah tertelan pil khayal. Kini, bagaikan sepat yang sudah tertelan pancing kita cuma menurut saja. Dalam keadaan menyaksikan saudara sendiri disembelih dibom dan dibedil itu pun, kita masih tidak mampu keluar dari lubang sekular sesat ajaran Eropah yang tersangatlah dalam itu.
Kita dipukau buru musuh yang bukan musuh
Kita digesa memburu pengganas seperti yang ditunjukkan Bush dan anehnya kita terus memikul bazooka. Hampir sah yang kita dipukau untuk memburu musuh yang bukan musuh sebenarnya.
Jika di Kashmir, mereka sengaja naikkan pemimpin beragama Hindu berketurunan Singh untuk menjadi penguasa, sedangkan mereka tahu yang 95 peratus dari penduduk Kashmir beragama Islam.
Demikian juga di Iraq terkini, mereka sengaja menaja kaum Syiah menjadi Presiden walaupun semua kita tahu yang majoriti penduduk Iraq itu dari kalangan Sunni.
Ringkasnya, percaturan politik dunia sedang diatur rapi oleh protokol Yahudi. Seperti Bush, Blair dan sekutu mereka “sesungguhnya orang-orang zalim itu sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain dan Allah adalah pelindung orang-orang bertaqwa.” (Sebahagian dari maksud Surah Al-Jaatsiyah Ayat 19).
Dengan keimanan dan keyakinan itu, saya masih pasti ada jalan keluar yang selamat untuk orang-orang yang bertaqwa mengalahkan mereka.
Mari kita sama-sama mencari pintu rahsia itu untuk memukul mereka esok atau lusa.
Berita-berita muktahir pula merekodkan rancangan jahat rejim Yahudi selanjutnya iaitu meranapkan rumah-rumah Palestin di Genting Gaza.