Wednesday, June 27, 2007

Nisa' Anjur Sukan...

www.quaisz.blogspot.com


TUMPAT – Sebagai pelapis kepimpinan negara, golongan remaja perlu memiliki kesihatan yang mapan pada tubuh badan, mental , fizikal, emosi dan rohani। Kesihatan jasmani sahaja tidak cukup, yang lebih utama adalah kesihatan rohani yang patuh kepada Tuhan dan kesihatan mental yang baik.


Sehubungan dengan itu, Kelab Nisa’ telah diberi peluang membentuk jati diri remaja dengan menganjurkan Kejohanan Sukan Wanita (Nisa’ Games) di sini semalam. Kejohanan ini diselia sepenuhnya oleh Nisa’ Kawasan Tumpat. Ia merupakan program bersempena dengan Perayaan Jubli Emas PAS Kawasan Tumpat yang berlangsung selama seminggu bermula 13 April 2007.

Kejohanan sukan yang berlangsung di Kompleks Sukan Pengkalan Nangka, Kelaboran ini mempertandingkan tiga permainan iaitu bola jaring, badminton dan bola tampar. Permainan adalah secara liga.

Wajah yang Bercahaya

www.quaisz.blogspot.com

Wajah Yang Memancarkan Cahaya

Menjadi seorang gadis cantik, berwajah manis dengan bibir yang menawan diserikan dengan sepasang mata bundar dan alis nan lentik sentiasa menjadi igauan semua gadis.

Ramai wanita dan gadis berlumba-lumba membeli alat mekap, gincu bibir, dan bermacam-macam lagi untuk memuaskan hati bagi tujuan tersebut. Siapa tidak bangga berwajah cantik, sehingga ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk kelihatan anggun menawan. Ada yang sanggup bergadai dan berhabis untuk itu.

Menarik sekali jika kita memerhatikan sekeliling kita malahan di dunia yang global ini. Cantik bukanlah segalanya dalam hidup. Cantik tidak bermakna anda berjaya. Malah ramai calon peperiksaan apapun yang berwajah cantik mendapat keputusan yang mendukacitakan kerana mereka lalai dengan kecantikan tersebut. Kita berdoa agar dijauhkan Allah dari cubaan sebegitu.

Biarlah cantik menjadi sumber pahala, biarlah manis menjadi sumber ukhuwwah dan biarlah keikhlasan menjadi paksi utama persaudaraan kita.

Belajarlah untuk menghadirkan cahaya pada wajah. Kerana masalah kecantikan bukan pada bentuknya tetapi yang utama pada pancaran yang terbit dari si pemilik wajah.

Seorang ulama dari Afrika di Masjidil Haram..subhanallah.. Kulitnya tidak putih. Tetapi kala memandang wajahnya.. sejuk sekali. Senyumnya begitu tulus meresap ke relung hati yang paling dalam. Sungguh bagai disiram air sejuk di pagi hari. Menyegarkan.

Ada seorang lagi ulama yang tubuhnya hebat dan ia lumpuh semenjak kecil lagi. Namanya Syeikh Ahmad Yassin, pemimpin spiritual gerakan intifadhah di Palestin. Ia tidak punya daya, duduknya hanya di atas kerusi roda. Hanya kepalanya saja yang bergerak. Tetapi, saat menatap wajahnya, terpancar kesejukan yang luar biasa.

Beliau bukanlah seorang yang tampan. Tetapi, ternyata di sebalik kelumpuhan tersebut beliau memendam ketenteraman yang begitu dahsyat, terpancar melalui rona wajahnya saat kita memandang beliau.

Sungguh indah sekali, bukan? Seorang yang bukanlah tampan, tetapi memiliki aura yang begitu hebat. Inilah keindahan Islam.

Ambillah kelebihan dari wajah yang mententeramkan , yang menyejukkan menjadi sebahagian dari wajah kita. Buang jauh-jauh wajah yang tidak ramah, tidak mesra. Sebagai pemimpin manusia ke jalan Tuhan, kita perlu mempunyai jiwa yang tenang dan raut wajah yang memikat. Sudah tentu.

Dengan kesopanan yang memukau, di situlah terletak kunci tarikan kepada mad’u samada Islam atau bukan Islam. Alangkah bersyukurnya kita andai ramai non-muslim yang merasa nikmat bersahabat dengan kita lantaran kejujuran kita. Lantas beliau dengan senang hati menaruh kasih kepada agama slam dan mengucapkan kalimah syahadah di hadapan kita. Bukankah begitu nikmat sebegitu?

Rasulullah SAW sendiri memberikan perhatian yang luarbiasa kepada setiap orang lain. Setiap orang yang bertemu dengan beliau pasti merasa puas hati. Kenapa? Diriwayatkan bahawa baginda, bila ada orang menyapanya, baginda menganggap orang tersebut adalah orang yang paling utama.

Namun ketidak-enakan dan kegelisahan akan muncul apabila kita belum menganggap orang yang di hadapan kita adalah orang yang paling utama. Hasilnya, kita melihat orang itu separuh mata, berbicara hanya separuh perhatian. Misalnya ada orang yang datang menghampiri, kita tegur sambil membaca Al-Quran. Maka, kata-kata, cara pandang, cara bersikap itu tidak akan punya daya sentuh. Tidak memikat.

Maka wahai Nisa’, Nisa’ adalah pendokong dakwah, Nisa’ adalah satelit-satelit Islam dan duta Rasulullah. Berlatihlah menjadi orang yang mengutamakan orang lain, melayan orang lain sebaiknya dan menunjukkan wajah yang manis, bukan cemberut, bukan berkerut. Walapun hanya beberapa detik, insya Allah ia menjadi ibadah. Mungkin dengan menyayangi manusia, Allah akan lebih menyayangi kita, Allah akan memandang kita dengan pandangan rahmat dan kasihNya.

Khas untuk Nisa’ yang disayangi..

Putri…

Desa hati sang putri.. teratak Tok Janggut

Penghulu hari, 4 Mei 2007

Osteoporosis Menyerang Wanita

www.quaisz.blogspot.com

Osteoporosis Mengancam Wanita

Penyakit Osteoporosis adalah penyakit reput tulang yang berbahaya. Ia menyerang tidak kira umur, kebiasaannya menyerang individu yang sudah berusia terutamanya kaum wanita. Kaum wanita mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding lelaki malah wanita Asia yang berkulit putih dan berbadan kecil menghadapi risiko berganda.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan setiap seorang daripada tiga wanita akan menghidap penyakit ini dengan risiko 67%. Risiko bagi golongan lelaki menghadapinya juga tinggi terutama di kalangan mereka yang berumur, merokok, mengambil minuman keras dan kurang bersenam. Penyakit ini bukan penyakit genetik dan ia boleh dikawal melalui gaya hidup dan pemakanan.

Institut Perubatan Amerika Syarikat telah mencadangkan mereka yang berumur antara 19-50 tahun mengambil kalsium sebanyak 1000-1200 miligram sehari tidak kira jantina atau bangsa. Namun, di Malaysia kadar pengambilan kalsium amatlah rendah. Dijangkakan setiap orang hanya mengambil antara 250 - 430 miligram sehari.

Mengapa Osteoporosis berlaku?

Beberapa faktor telah dikenalpasti mendorong kejadian osteoporosis. Pengambilan kalsium yang rendah menjadi punca utama. Walaubagaimanapun pengambilan makanan berkalsium tinggi perlu diawasi lantaran makanan berkalsim tinggi biasanya mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Kandungan lemak berlebihan boleh memudaratkan jantung.

Kaum wanita kerap diserang penyakit ini disebabkan semasa proses kehamilan, kalsium badan ibu akan digunakan oleh tubuh untuk membina pertumbuhan bayi di dalam kandungan. Maka, amatlah penting bagi ibu mengandung mengambil makanan yang berkalsium tinggi semasa proses kehamilan.

Pengambilan vitamin C berlebihan juga menambah risiko osteoporosis. Vitamin C melalui bahasa saintifiknya digelar Asid Askorbik. Ia adalah sejenis asid. Maka kemasukan asid yang berlebihan ke dalam badan menyebabkan badan perlu meneutralkannya menggunakan alkali. Kalsium bersifat alkali. Sekiranya kalsium tidak mencukupi, badan akan mengambil kalsium yang tersimpan di dalam tulang untuk tujuan membersihkan asid.

Minuman berkafein juga dikhuatiri membawa kepada osteoporosis. Ini sebab, kafein menggalakkan proses perkumuhan. Maka badan akan kehilangan banyak kalsium jika individu kerap membuang air kecil.

Pengawalan osteoporosis..

Mencegah lebih baik dari berubat. Lantaran oteoporosis bergantung kepada diet dan tabiat hidup, maka anda boleh merancang masa tua anda. Samada di katil hospital ataupun bergembira bersama keluarga serta boleh melakukan rutin harian tanpa sebarang keuzuran.

Secara jelas, pengambilan kalsium yang mencukupi mampu mengelakkan terjadinya osteoporosis. Banyakkan meminum susu kerana itu sunnah Rasulullah saw. Sunnah baginda adalah pengajaran dan ajaran daripada baginda adalah yang terbaik.

Bersenam juga meningkatkan kesihatan tulang dan badan. Bersenam mengelakkan osteoporosis, mencegah penyakit jantung dan mengelakkan pengumpulan lemak serta kolesterol dalam badan. Dengan bersenam juga, kita akan terkena cahaya matahari yang membekalkan vitamin D. Vitamin D membantu penyerapan kalsium menjadi lebih mudah.

Di dapati, para angkasawan yang tinggal di angkasa lepas untuk jangkamasa panjang mengalami tanda-tanda kemerosotan kalsium tulang yang teruk. Bagaimanapun, apabila mereka kerap bersenam, kadar kehilangan kalsium dapat dikurangkan sementara menunggu pemulihan sepenuhnya apabila mereka kembali ke bumi. Di bumi, pengurangan kalsium boleh dihentikan kecuali untuk kes yang teruk.

Sebagaimana pesanan Kementerian Kesihatan Malayisa, ‘Sayangi diri anda. Amalkan gaya hidup yang sihat’.


Tuhan Baik Kepadaku

Tuhan Baik Terhadapku

Selama 25 tahun melihatnya berjuang menentang barah muka. Mulanya, hanya secalit kecil yang mula membesar, kemudiannya, setahun demi setahun, aku melihatnya ke hospital untuk secebis lagi setiap kali. Setelah masa berlalu, mukanya tidak seperti muka lagi apabila semakin banyak lagi yang dipotong. Tetapi setiap kali dia kembali, dengan apa yang tinggal sisa daripada muka itu, dia cuba tersenyum dan tidak pernah bersungut atau murung.

Dia seorang mekanik mahir dan tukang kayu cekap – diiktiraf sebagai yang terbaik di seluruh perbukitan Ozark yang mengelilingi kawasan ini.

Apabila dia melakukan sesuatu kerja beliau seakan berdiri di belakang dan meninjau untuk melihat samada adakah lagi yang ketinggalan yang boleh ditambah supaya membuatnya sesempurna mungkin. Lalu dia akan melihat sesuatu tempat yang seorang biasa tidak akan nampak dan dia akan sibuk menyobek itu dan ini. Kemudian, setelah dia membuat yang terbaik lagi, dia akan memerhatikannya lagi dan senyuman kepuasan akan menerangi wajahnya.

Aku mengesyaki dia sering berkata kepada dirinya sendiri, “ kerjaku akan menjadi mukaku dan hidupku.” Aku meragui bahawa dia sering melihat cermin dan menyedari muka yang robek yang setiap hari semakin dimakan barah itu sedikit lagi.

Walau betapa hina tempat dia bekerja, atau betapa kecil tugasnya, atau betapa kasar kerja di sekitarnya, tidak kelihatan menyusahkannya walau sedikitpun. Ini adalah kerjanya, dan mesti dibuat dengan betul. Dia tampak seperti tidak pernah menoleh ke kerja orang lain, kerja buruk orang lain bukan masalahnya. Kerjanya sendiri yang kelihatan utama. Namun, aku mengesyaki bahawa apabila kerja itu siap dia merasa bangga dan gembira tatkala melihat betapa bagus hasilnya – tetapi tidak sekalipun pernahku dengar dia bercakap besar tentangnya.

Setelah masa berlalu, dia beransur semakin lemah, Langkah kakinya semakin kurang pasti, dan tangannya tidak bergerak seyakin dan sepantas yang lazim baginya. Dia tidak berdaya lagi melakukan benyak perkara yang pernah dibuatnya dulu. Namun , walau apa kerja atau upahnya, beliau sentiasa mempunyai keinginan yang tidak kenal jemu untuk menghasilkan kerja yang baik.

Semasa hari-hari terakhir ketika dia hanya memiliki muka yang sudah kucar-kacir , dia akan membungkuskan nya dengan sapu tangan bandana merah, dengan hanya matanya sahaja yang tinggal kelihatan.

Ketika dia ditemui di jalan raya, dia pasti menegur dengan gembira,. Setelah masa berlalu dan dia semakin sukar untuk mengucapkannya, teguran itu diberi pula dengan melambaikan tongkatnya. Tongkat itu juga suatu benda yang indah buatannya, hasil ukiran tangannya yang mahir itu.

Hidupnya seperti dipenuhi puas dan aman. Aku pasti seringkali di bersyukur kepada Tuhan kerana tangannya yang mahir itu dan kerana tangan itu tidak cacat dan cela dengan apa cara sekalipun.

Dia akan sering tiada di tempat biasanya selama berminggu, atau barangkali berbulan, kerana dia akan ke hospital supaya pakar bedah memotong sedikit lagi. Lalu dia akan kelihatan lebih buruk sedikit lagi. Tidak akan terdengar sebarang sungutan, sebarang rintihan tentang pembedahan dan sakit yang dialaminya. Dia akan hanya meneruskan kerja yang sentiasa menanti kepulangannya.

Sepanjang sesuku abad ini, aku tidak pernah mendapatinya kembali dengan sebarang aduan atau rintihan tentang sakitnya. Sesiapapun tidak akan menjangka ada sesuatu yang tidak kena jika mereka tidak melihat mukanya.

Tatkala saat bekerjanya terasa hampir berakhir, kebimbangan utamanya adalah bahawa perkakas itu, wajahnya berseri dengan k$epuasan. Kerjanya telah siap dan dia bersedia untuk menjualnya.

Beberapa hari sebelum ia meninggal dunia aku pergi menziarahinya. Dia sedang berjalan-jalan di tempat itu. Mukanya hampir habis berbarut dan hanya matanya sahaja yang tinggal kelihatan. Ketika dia berjalan-jalan terhincut-hincut di situ, dia berkata kepadaku, “ aku akan berusaha kekal muda selama yang mungkin”.

Hari dia meninggal dunia aku menziarahinya lagi. Bau di bilik itu begitu busuk hingga tiada sesiapa yang mungkin tahan berada di situ. Apa yang tinggal pada mukanya hanyalah selonggok parut dan tiada apa lagi yang tinggal yang boleh dipotong lagi. Sesiapapun akan boleh merasakan dia kesakitan yang amat sangat dan sering tidak dapat tidur sekian malam. Namun dia masih tidak menyuarakan sebarang sungutan.

Aku tidak mungkin melupakan kata-katany yang terakhir. Selama-lamanya kata-kata itu akan membuatku malu setiap kali aku terasa ingin bersungut. Namun, sekian lama, kata-kata itu masih jelas dalam ingatanku

Kata-kata itu berbunyi “ Tuhan begitu baik terhadapku. Aku tiada sebarang sebab untuk bersungut,”


Daripada buku Berani Gagal

Serangan Kanser; diet dan Iman

www.quaisz.blogspot.com

Serangan Kanser, Diet dan Iman

Ramai orang merasakan kanser adalah misteri. Sedang mereka bergembira, tiba-tiba doktor mengesahkan mereka menghidap penyakit maut ini. Tiada tanda-tanda awal menunjukkan kewujudan sel kanser. Tetapi semalam doktor mengesahkan mereka mempunyai kanser dan telah kronik.

Apakah sebenarnya yang dikatakan kanser

Kanser bermula pada satu sel yang tidak mampu dilihat dengan pandangan mata kasar. Setiap sel ibarat kilang yang amat sibuk dengan beribu-ribu tindak balas kimia dan biologi pada setiap saat. Sel bekerja keras mematuhi suruhan Tuhan melaksanakan amanah. Mereka mengawal penggunaan oksigen, nutrien, menghasilkan bahan baru dan membina sel-sel baru bagi menggantikan sel yang rosak ataupun mati.

Sel normal membahagi kepada dua. Jika berlaku kesilapan pada sel, sel ini akan membahagi menghasilkan bahan yang silap. Dengan bantuan faktor lain, sel akan membahagi dengan begitu giat sehingga membentuk ketulan tumor. Pembahagian ini tidak dapat dikawal lalu bermulalah episod kanser.

Kanser mengancam seluruh dunia

Kanser peparu akibat penggunaan tembakau adalah kanser yang paling kerap ditemui di seluruh dunia. Namun, situasinya berbeza berbanding negara maju dan negara membangun.

Di Amerika Utara, Eropah dan Australia, kanser berkaitan hormon terutamanya kanser buah dada, kanser prostat, kolon dan rektum sering ditemui. Diet tinggi daging bukan sahaja menyumbang peratus karsinogen yang tinggi tetapi turut memangkin obesiti, kanser rahim dan kanser payudara.

Selain merokok, sinaran radiasi, bahan kimia, virus, genetik dan hormon seks, diet juga merupakan faktor utama kejadian kanser. Menu harian, kaedah memasak serta penggunaan perisa tambahan telah dikenalpasti menjadi punca penyakit berbahaya ini.

Diet dan Rasulullah s.a.w

Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad s.a.w. Kita perlu sentiasa meyakini dan berpegang teguh kepada ajaran baginda.

“ Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat, dan dia banyak menyebut Allah.”

( Al-Ahzab: 21)

Kurangkan pengambilan daging. Makanan berasaskan haiwan maningkatkan kanser. Setiap gigitan daging ayam, lembu, kambing atau turkey meningkatkan lemak dari kepala hingga ke kaki anda. Ia menambah berat badan, mengganggu hormon dan membawa karsinogen ke badan anda.

Daging adalah seenak-enak lauk di dunia dan di syurga. Diriwayatkan Imam Tarmidzi, “ Daging bahagian itu sangat disukai oleh Rasulullah. Tetapi baginda tidak mempunyai daging kecuali jarang-jarang Lalu daging lengan itu disuakan kepada baginda kerana ia merupakan bahagian daging yang paling cepat dimasak.” Baginda juga menyukai daging bahagian belakang, kerana jauh dari lemak. Baginda suka makan daging tetapi hanya jarang-jarang.

Kurangkan makanan berlemak, berminyak dan manis. Lemak yang tinggi meningkatkan kadar kolesterol. Kolesterol adalah bahan pemula sintesis hormon adrenal dan hormon seks. Maka, apabila kolesterol banyak, penghasilan hormon seks estrogen, progesteron, dan testosteron semakin aktif.

Hormon amat penting bagi tubuh. Ia diperlukan dalam kuantiti sedikit. Tetapi jika jumlah hormon terlalu banyak, pembahagian sel menjadi tak terkawal. Beribu-ribu sel akan terhasil dan lama kelamaan terbentuklah kanser. Kanser yang berkait dengan hormon ini adalah kanser payudara, prostat,ovari dan uterus. Kanser hanya dapat dikesan secara klinikal apabila bilangan selnya mencecah 1000 juta. Pada jumlah begini, ia masih belum bersimtom tetapi merebak dan menyerang organ dalam badan.

Pada tahun 1970an, penyelidik Jepun mandapati pada permukaan daging dan ikan yang dipanggang mengandungi karsinogen yang poten, iaitu Amina Heterosiklik. Ia bertindak memasuki sel dan merosakkan DNA dan memulakan kanser. Karsinogen ini terhasil semasa proses memasak. Dengan keratin, asid amino dan gula dalam daging, ia dibina. Semakin tinggi suhu dan semakin lama tempoh memasak, semakin banyak karsinogen terbentuk.

Polisiklik Aromatik Hidrokarbon (PAH), suatu sebatian karsinogen yang terhasil akibat pemanasan alat pemanggang, turut mendap di permukaan daging panggang. Biasanya PAH terhasil akibat pembakaran bahan tembakau, pembakaran tidak lengkap arang dan petrol, hasil pirolisis minyak dan bahan biologikal. PAH mampu merosakkan DNA dan memulakan kanser.

Nitrosamina, sejenis bahan kimia lain terbentuk dalam daging, ikan dan ikan masin yang disalai. Ia hasil interaksi amina di persekitaran dengan bahan pengawet pada daging yang mengandungi nitrit. Nitrosamina juga terhasil di dalam tembakau dan produknya. Nitrosamina dalam tembakau dan asapnya menyebabkan kanser paru-paru dan kanser pundi, manakala suntil dan kunyahan tembakau masing-masing mengakibatkan kanser hidung dan mulut.

Kajian terbaru mendapati penggunaan minyak yang banyak semasa menggoreng boleh menghasilkan PAH. Ia akan mendap di dasar kuali atau pada daging sekiranya minyak tidak ditukar. Didapati kaedah memasak orang melayu lebih berisiko kerana menggunakan minyak yang banyak sehingga menenggelamkan daging berbanding kaum Cina yang menggunakan minyak yang sedikit.

Selain terdedah kepada bahan kimia di persekitaran, rakyat Malaysia turut menelan bahan kimia melalui makanan. Diet tradisional semakin terpinggir berikutan saingan daripada makanan segera, makanan ubahsuai genetik, makanan diproses dan makan di luar. Akibatnya, kita memakan lebih banyak lemak, gula, garam dan bahan kimia.

Banyak penyelewengan berlaku dalam industri pemakanan. Lantaran, makanan yang membabitkan bahan kimia karsinogenik yang memudaratkan kesihatan mudah didapati di pasaran terbuka. Statistik menunjukkan kanser menyerang 10 juta orang dan meragut 6.3 juta nyawa setahun. Kini, kanser adalah pembunuh kedua terbesar di Malaysia selepas kemalangan jalan raya.

Ujian yang dijalankan oleh Consumer Association of Penang (CAP) memberikan hasil yang memeranjatkan. Mereka menemui sejumlah besar bakteria kebal dan kuman penyebab penyakit dalam makanan yang diuji. Selain itu, mereka mengesan plumbum dan bahan logam toksik, asid borik, formaldehid, asid benzoik, pewarna industri yang diharamkan, racun makhluk perosak dan bahan bahaya lain di dalam sampel makanan di pasaran yang diuji. Kebanyakan bahan-bahan itu didapati boleh menyebabkan kanser.

Sistem pecegahan kanser sebenarnya amat ringkas. Berpandukan petunjuk baginda, itulah kunci kesihatan dan kebahagiaan. Mencegah itu lebih baik daripada berubat. Ajaran bagindalah sebaik-baik petua.

Amalkan cara pemakanan yang sihat kerana perut adalah punca penyakit. Banyakkan mengambil sayuran berwarna serta buah-buahan. Didalamnya terkandung serat yang tinggi yang mampu melawan sel-sel kanser. Antioksidan seperti selenium, beta-karoten, vitamin C dan vitamin E terdapat dalam sayuran.

Basuhlah tangan dan bacalah basmalah, kerana baginda Rasulullah pernah mengingatkan “ Apabila seseorang di antara kalian makan, jika lupa membaca basmalah di awalnya, hendaklah dia mengucapkan Bismillahi Awwaluhu Waakhiruhu (dengan nama Allah pada awal dan akhirnya). “

Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana Rasulullah melumatkan makanan baginda dengan berzikir kepada Allah. Sebagaimana diriwayat oleh Imam Thabrani,” Lumatkanlah makanan kalian dengan zikir kepada Allah dan solat, dan jangan (langsung) tidur setelahnya kerana hatimu menjadi keras dan membatu.” Zikir memberi ketenangan kepada jiwa, ketenteraman anggota badan dan kesenangan dalam hati. Keadaan jiwa sebegini merupakan penolong terbesar bagi organ untuk berfungsi dengan baik.

Setiap individu berisiko mendapat kanser.namun amalan sehariannya menentukan. Puasalah kerana puasa membantu merehatkan organ pencernaan. Apabila organ mendapat kerehatan yang cukup, ia dapat kembali bekerja dengan penuh efisien. “ Berpuasalah kamu, nescaya kamu sihat. Puasa mampu membuang toksik dalam badan. Kandungan toksik yang tinggi bisa merendahkan sistem imun. Apabila imuniti rendah, pelbagai penyakit akan menyerang, termasuklah kanser.

Berpadalah dalam urusan makanan. Jangan makan sampai terlalu kenyang sehingga membutakan mata hati. Saidatina Aisyah r.a pernah berkata, “ Aku teringat saat di mana Rasulullah meninggalkan dunia ini. Demi Allah, beliau tidak pernah makan roti dan daging sampai kenyang hingga dua kali dalam satu hari. “

Samhani Ismail

Tersiar Di Dewan Agama Dan Falsafah

Gelatin; Pastikan Makanan Yang Dimakan Halal

samhanismail@yahoo.com

www.quaisz.blogspot.com

Gelatin dalam Makanan; Pastikan HALAL !

Kita perlu sentiasa mengambil pendekatan behati-hati dengan setiap suap makanan yang akan masuk ke dalam perut kita.ini sebab dari sumber zat yang dibekalkan oleh setiap kunyahan itu akan dicerna oleh sistem penghadaman, diserap oleh saluran darah, seterusnya dikatabolisma untuk pertumbuhan badan kita. Daripada protein, karbohidrat, lemak, vitamin, ferum, kalsium dan pelbagai jenis zat lagi, seseorang itu akan tumbuh membesar dari sehari ke sehari sehingga usia merangkak kefasa pematangan tanpa kita sedari perjalanannya.

Kita perlu sentiasa ingat akan sabda baginda junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud '' Setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah lebih layak untuknya.''

Ulamak adalah segolongan manusia yang amat berhati-hati terhadap makanan yang diambil. Mereka tidak akan makan melainkan setelah mereka benar-benar lapar, dan makan sekadar untuk mengalas perut. Bahkan makanan itu benar-benar diyakini halal dan suci daripada segala bentuk keraguan. Telah dibuktikan bahawa daya ingatan mereka begitu kuat sehingga beratus-ratus hadith mampu dihafal.

Setiap makanan yang diambil memberi kesan kepada fizikal, peribadi, mental dan fisiologi kita. Ia juga menyumbang kepada khusyu' atau tidak kita di dalam solat dan ibadah.

Mengikut riwayat, Imam Syafie adalah seorang yang sangat menjaga makanan beliau. Pernah di suatu hari beliau telah terlupa akan hafalannya. Puas beliau cuba mengingati tetapi tetap gagal. Beliau berasa hairan dengan kejadian itu. Kebuntuan itu terbawa-bawa sehingga ke dalam tidur. Dalam tidur tersebut beliau didatangi sebuah mimpi yang menunjukkan bahawa beliau telah termakan makanan daripada penjual yang dalam keadaan berhadas besar.

Sebaik mimpi itu berakhir beliau lantas terjaga. Tanpa berlengah beliau berjalan menuju penjual tersebut. Imam Syafie bertanyakan hal tersebut kapada lelaki si penjual. Pada mulanya lelaki tersebut kelihatan marah dan beliau menafikan tuduhan tersebut. Tetapi akhirnya beliau mengakui bahawa beliau tidak mandi junub sebelum menyediakan makanan tersebut .

Daripada kisah di atas terdapat satu pengajaran yang penting untuk kita sama-sama renungi dan mengambil iktibar daripadanya. Pengajaran utama yang kita dapati adalah betapa pentingnya sikap berhati-hati dalam memilih makanan dan betapa pentingnya kita menjauhi makanan yang memudaratkan dan diragui kesuciannya.

Menurut peraturan asas hukum Syariah ( Kanun Undang-undang yang bersumber daripada hadith dan al-Quran ), adalah haram bagi orang Islam mengambil makanan dan minuman yang boleh membawa maut samada cepat atau lambat, seperti racun atau sesuatu yang membahayakan termasuk makan dan minum secara berlebihan sehingga boleh menjejaskan kesihatan'.

Umat Islam perlu menitikberatkan persoalan mengenai makanan dan minuman samada ia berkhasiat atau membahayakan kesihatan tubuh badan, mental dan fizikal. Ini sebab Islam menuntut umatnya agar sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan sebagaimana ditegaskan oleh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya 'The Lawful and The Prohibited in Islam' bahawa memakan makanan yang boleh memudaratkan diri adalah haram.

Islam memandang berat persoalan ini kerana setiap menu yang diambil akan terserap sebati dalam setiap titis darah dan ketul daging kita. Lantas adakah kita tidak malu untuk menadah tangan smbil berseru, '' Ya Allah.... Ya Rabb... Ya Tuhan....'' sedangkan tangan kita bersalut kotor lantaran kita makan, minum dan memakai pakaian dari rezeki yang tidak halal.

Kita sudah menjadi lali dan tidak sensitif dengan maksiat dan dosa lantaran kita sentiasa disuntik dengan pelbaai jenis ubat pelali. Dewasa ini terlalu banyak produk-produk makanan dan perubatan yang disediakan daripada bahan-bahan ya tidak halal. Ia dibungkus dengan menarik dan dijual kepada umat Islam. Ini adalah di antara usaha musuh-musuh Islam untuk melalaikan umat Islam dan menjauhkan kita daripada fitrah beragama. Tujuan mereka bukanlah untuk memasukkan umat Islam ke dalam agama mereka. Sudah cukup bagi mereka jikalau umat Islam tergelincir dan memandang serong terhadap agama yang mulia ini. Namun ia merupakan suatu bonus jika ada di antara umat Islam yang murtad.

Allah telah mengingatkan kita akan perkara tersebut di dalam Surah al-Baqarah, ayat [ ] yang bermaksud '' Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti agama mereka''..

Memang jelas disini bahawa orang kafir sentiasa memusuhi umat Islam dan mereka berusaha keras untuk membuang Islam dari diri umatnya. Selain menggunakan kekerasan seperti melancarkan peperangan terhadap negara Islam, menghukum gantung sampai mati pejuang Islam, melabel umat Islam sebagai pengganas lantas menggunakan alasan ini untuk melenyapkan umat Islam, golongan kuffar ini turut menggunakan taktik-taktik halus dan kotor seperti mempelbagaikan program-program yang menarik untuk dihidangkan di kaca televisyen, menganjurkan perlawanan sukan dan tarian.

Di samping itu makanan menjadi sasaran mereka untuk melemahkan umat Islam. Mereka mencampurkan ramuan yang tidak halal ke dalam makanan, minuman dan ubat-ubatan tanpa disedari oleh umat Islam. Malangnya, fenomena yang dicanang-canangkan sebagai kemajuan teknologi ini berkembang pesat dan dipandang ringan oleh masyarakat dan pihak penguasa Islam. Di antara bahan yang diragui yang biasa digunakan di dalam produk makanan dan ubatan adalah gelatin. Gelatin biasa digunakan dan ramai yang masih tidak sedar tentang bahaya gelatin.

Gelatin adalah sejenis protein tidak lengkap yang dihasilkan daripada sumber binatang iaitu daripada kulit dan bahagian-bahagian sendinya. Ia adalah bahan pemantap yang baik bagi industri pengeluar makanan seperti aiskrim, makanan pencuci mulut, agar-agar, sosej dan produk tenusu.

Biasanya gelatin yang digunakan di dalam industri tersebut adalah gelatin daripada terbitan kolagen iaitu protein daripada kulit, tulang dan tisu-tisu penghubung haiwan. Gelatin dihasilkan melalui proses tindak-balas air atau hidrolisis ke atas kolagen. Kulit, urat dan tulang babi dan lembu biasanya menjadi bahan mentah utama dalam penghasilan gelatin. Gelatin mempunyai sifat yang luar biasa. Larutan yang mengandungi hanya 1 peratus gelatin akan menjadi gel yang agak pejal apabila disejukkan. Sifat-sifat inilah yang menyebabkan ia digunakan secara meluas di dalam industri makanan seperti aiskrim, dadih, jeli, gula-gula getah dan jem. Dalam industri kosmetik, ia merupakan bahan penting didalam krim pelindung matahari, krim kulit, losyen badan, krim pelembap, krim malam, produk dandanan kuku dan krim cukur. Kosmetik yang mengandungi gelatin membolehkan kulit menyerap lembapan yang optimum yang penting untuk memelihara kelembapan dan keanjalan kulit. dan ubat-ubatan teknologi plastik, perekat dan fotografi.

Dalam pengeluaran ubat-ubatan dan produk perubatan, gelatin digunakan dengan meluas. Ia digunakan dalam ubat; sebagai pengikat untuk menghasilkan ubat tablet dan lozeng, sebagai pembalut ubat, sebagai medium dalam supositori, digunakan dalam span untuk menghentikan pendarahan dan banyak lagi.

Selain daripada gelatin, banyak lagi produk makanan yang terdapat di pasaran dihasilkan daripada sumber yang diragui kehalalannya. Di antaranya adalah produk daripada MSG yang digunakan secara meluas oleh para suri rumah dan restoran-restoran. MSG adalah kristal putih yang bertindak mengubah rasa pada makanan. Bagi tujuan perdagangan, ia dihasilkan daripada kanji melalui proses penapaian canggih.

Apa yang menimbulkan keraguan pada MSG adalah berkemungkinan proses penapaiannya menggunakan enzim Bactosoytone iaitu sejenis zat makanan bagi pembiakan bakteria untuk dijadikan ibu di dalam proses penapaian. Ini sebab Bactosoytone terhasil daripada pemecahan protein kacang soya dengan menggunakan enzim daripada ekstrak pankreas babi.

Produk -produk MSG memang dijual di pasaran terbuka dan amat digemari oleh pemilik-pemilik restoran dan kedai-kedai makanan. Boleh dikatakan bahawa setiap premis makanan menggunakan produk MSG di dalam masakan mereka supaya masakan menjadi lebih lazat dan perniagaan bertambah maju. Malah mereka lebih gemar menggunakan MSG yang tidak berlabel lantaran harganya 20 peratus lebih murah berbanding MSG berjenama. MSG yang tidak berlabel ini datang daripada Thailand. Di sini terdapat keraguan yang patut disedari oleh umat Islam. Adakah ia halal dimakan oleh umat Islam? Adakah anda yakin MSG yang dilabel tidak menggunakan katalis penting iaitu Bactosoytone, dan adakah anda sanggup menerima risiko mendapat banyak penyakit akibat pengambilan MSG atau produk-produk lain yang dijual secara komersial tanpa mengira aspek kesihatan dan kesuciannya.

Firman Allah yang bermaksud '' Maka hendaklah manusia memerhatikan makanannya. Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit) kemudian Kami telah membelah bumi dengan sebaik-baiknya, lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi ini, anggur dan sayur-sayuran, zaitun dan pohon kurma, kebun-kebun yang lebat dan buah-buahan serta rumput-rumput untuk kesenanganmu dan untuk binatang ternakanmu.. [surah Abasa ; 24-32]

Kesimpulannya, Allah telah mengurniakan pelbagai jenis makanan untuk hamba-hambaNya. Kita mempunyai pelbagai pilihan dalam hidup sebagaimana sebuah pepatah yang berbunyi, 'Life is all about choices' . Maka pilihlah yang terbaik untuk diri dan keluarga. Janganlah memandang remeh setiap suap makanan dan setiap titis minuman pun yang masuk ke mulut kita. Ambillah yang jelas nyata halal, semoga kita menjadi hambaNya yang lebih bertaqwa kepada Yang Maha Pencipta dan hamba yang gerun kepada azab dan murkaNya.

TErsiar Dalam Dewan Agama Dan Falsafah

Memori: Keajaiban Yang Harus Dipertajam

www.quaisz.blogspot.com

Memori; keajaiban yang boleh dipertajam

Untuk mengingati nama sendiri, mengingati tarikh lahir ibu-bapa, nombor telefon kawan-kawan dan memandu kenderaan - segalanya memerlukan ingatan yang cekap dari diari minda kita.

Mengingat adalah suatu kerja yang bukan rumit tetapi kadang-kala ia terlalu payah bagi sesetengah orang. Bagaimanakah minda kita melakukan kerja mengingat? Kenapa kita mengingat sesuatu perkara dengan jelas tetapi terlupa pada perkara lain? Kenapa pula daya ingatan terjejas di kala usia meningkat tua? Bolehkah daya ingatan kita dipertajam? Untuk menjawab persoalan ini mari kita singkapi keistimewaan memori manusia.

Tentang otak….

Mengingat adalah kerja penting yang dilakukan oleh otak. Otak adalah organ untuk mengingat, berfikir, bercakap, dan mengawal emosi. Otak merupakan pusat kawalan badan manusia dengan bentuk umpama jeli dan berat 1.4 kilogram. Otak mempunyai tiga bahagian utama iaitu serebrum, sereblum, dan medula oblongata. Persoalan di sudut manakah tersimpannya memori dalam otak masih menjadi tanda tanya dalam kalangan saintis semenjak 200 tahun dahulu.

Pakar neuroanatomi Jerman, Franz Joseph Gall dan French telah banyak memberi sumbangan dalam menyelesaikan masalah ini. Gall orang pertama yang mencadangkan bahawa kawasan berbeza pada otak mempunyai fungsi yang berbeza. Seterusnya Flourens menjelaskan cadangan Gall pada 1820, menyimpulkan bahawa fungsi sensor dan motor terletak pada lapisan yang lebih dalam, dan di sinilah proses intelek berlaku. Selepas abad ke-19, ilmu tentang anatomi dan fungsi otak semakin bertambah dengan pesat.

Bagaimana kita mengingat?

Ingatan jangka pendek adalah tidak stabil dan boleh berakhir dalam masa beberapa minit sahaja manakala ingatan jangka panjang adalah stabil dan kekal sehingga beberapa hari, berbulan-bulan malah mungkin seumur hidup. Pengulangan seringkali dikaitkan sebagai kaedah terbaik yang boleh menjadikan ingatan tersebut berkekalan sebagai ingatan jangka panjang.

Penemuan terbaru dan paling penting oleh Kandel adalah bagaimana daya ingatan atau memori dibentuk untuk mengingat sesuatu untuk jangka masa pendek ataupun panjang. Untuk membentuk ingatan jangka panjang, sejenis protein akan dihasilkan. Protein amat penting dalam kehidupan-berfikir, bergerak, semuanya menggunakan protein yang wujud dalam badan. Tetapi untuk membentuk memori, kita memerlukan sejenis protein baru yang harus dibina untuk menyimpan maklumat tersebut. Pembentukan protein ini berdasarkan arahan daripada gen yang akan menentukan protein apakah yang akan terhasil.

Sejenis neurotransmitter, iaitu serotonine turut memainkan peranan yang penting dalam proses mengingat. Neurotransmitter adalah bahan kimia yang membawa maklumat dari satu neuron ke neuron seterusnya dengan melintasi simpang yang dinamakan sinaps. Mengikut Cordosa, seorang ahli psikobiologi dari State University of Campinas di Brazil, “Setiap kali kita memperolehi satu pengetahuan atau pengalaman baru, satu sinaps akan timbul.” Ujian imbasan terhadap otak telah membenarkan kata-kata ini di mana otak seseorang yang pakar pada bidang tertentu mempunyai lebih banyak sinaps, yang berkemungkinan khusus untuk kemahirannya.

Mengapa mudah lupa?

Kita sudah mengetahui bahawa untuk mengingat, sejenis protein tertentu diperlukan, dan dengan kaedah mengulang, kita boleh mengingat sesuatu perkara dengan lebih lama. Namun tahukah kita apakah yang membentuk keseimbangan antara ingat dan lupa ?

Sejenis molekul kecil iaitu CREB telah dikenalpasti merupakan suis bagi penghasilan protein yang diarahkan oleh gen seterusnya menjadikan kita ingat akan sesuatu. CREB terdapat dalam dua bentuk. CREB Pengaktif akan mengikat pada DNA, seterusnya memasang gen tertentu, menyebabkan terbentuknya protein. CREB Penghalang pula bertindak menggangu tindakan CREB Pengaktif dan menghalang pembentukan memori. Kandel turut menjangkakan kejadian dementia seperti Penyakit Alzheimer turut diakibatkan oleh gangguan pada CREB Pengaktif.

Meningkatkan daya ingatan

Otak merupakan organ manusia yang paling istimewa. Dengannya menjadikan manusia makhluk rasional yang paling sempurna. Otak harus diasah agar potensinya bertambah tajam dan menjadi lebih aktif untuk menjalankan fungsi-fungsinya dengan lebih cekap. Begitu juga sebaliknya, jika otak dibiarkan tanpa sebarang aktiviti yang menggerakkannya, ia akan menjadi lesu dan tumpul. Aktiviti kecerdasan seperti berfikir, bermain permainan yang merangsang otak untuk berfikir, membaca bahan ilmiah dan sebagainya mampu meningkatkan ketajaman otak anda.

Mempelajari bahasa asing adalah satu senaman untuk otak. Hanya orang-oang tertentu sahaja yang mampu menguasai lebih dari satu bahasa. Kanak-kanak lebih mudah mempelajari bahasa asing berbanding mereka yang berusia. Meskipun begitu, tidaklah bermakna orang tua tidak boleh mempelajari bahasa kedua. Para intelek rata-rata mempelajari bahasa asing pada umur 20an. Bahkan ada yang mampu belajar berkomunikasi bahasa asing pada usia 40an.

Dalam satu penyelidikan yang dilakukan oleh para neurosaintis di Eropah, mereka mendapati bahawa proses pembelajaran bahasa asing mampu mengubah anatomi otak. Jirim kelabu otak iaitu bahagian yang mengolah informasi akan berkembang dengan pesat umpama setelah melakukan olahraga. Sebagaimana telah dimaklumi oleh para ilmuan sebelum ini bahawa otak mampu mengubah kemampuan strukturnya akibat ransangan, memang diakui bahawa kapasiti otak akan bertambah dengan pembelajaran bahasa asing. Penelitian pada otak telah menunjukkan mereka yang menguasai lebih dari satu bahasa mempunyai sel-sel kelabu yang lebih banyak dan padat terutama jika mereka menguasainya semenjak kecil.

Di samping itu, di dapati anak-anak yang mengikuti program bahasa asing (bilingual) menunjukkan perkembangan yang lebih pesat dalam proses kognitif, kreativiti dan divergent thinking berbanding anak-anak monolingual. Mereka yang bilingual juga didapati mengalami kemerosotan mental yang lebih lambat.

Ramai yang mengatakan bahawa, ‘ mempelajari bahasa asing menghabiskan kapasiti memori yang sepatutnya digunakan untuk tujuan yang lebih penting.’ Sebenarnya tanggapan sebegini adalah tidak benar. Ini sebab semakin banyak maklumat yang diperolehi, semakin banyak unjuran glia yang akan tumbuh. Unjuran glia telah dikenalpasti berfungsi menyimpan maklumat di otak sebagimana yang dilakukan oleh simpang sinaps.

Kehidupan kita keseluruhannya bergantung kepada daya ingatan, dan daya ingatan inilah yang menjadikan siapa diri kita hari ini. Daya ingatan boleh meningkat atau menurun bergantung kepada amalan kehidupan kita seharian.

Beberapa perkara yang boleh meningkatkan ketajaman minda seseorang :

· Membaca dan menghafaz Al-Quran boleh meningkatkan ketajaman minda seseorang. Ini terbukti apabila para huffaz di seluruh dunia tidak pernah direkodkan sebagai pesakit gangguan mental ataupun masalah nyanyuk.

· Ransang pertumbuhan minda anda ke tahap yang optima. Beri minda anda cabaran dan belajarlah kemahiran-kemahian baru yang berbeza dari bidang anda. Jika anda seorang jurutera, belajarlah berkarya, jika anda seorang suri rumah, belajarlah Bahasa Perancis.

· Melaungkan idea dengan kuat boleh menukarkan ingatan jangka pendek kepada jangka panjang.

· Gunakan kaedah mnemonik untuk mengingati langkah-langkah atau fakta-fakta penting. Jangan hafal semua perkara.

· Ambil vitamin yang boleh membantu menguatkan memori anda.

· Minum cukup air. Kajian menunjukan dehidrasi boleh mengganggu memori, menyebabkan kekeliruan dan kesukaran berfikir.

· Dapatkan tidur yang cukup. Tidak cukup tidur boleh menyebabkan gangguan pada konsentrasi dan proses penyimpanan maklumat.

· Jauhkan diri anda dari bahan-bahan kimia yang boleh merosakkan minda seperti merokok, mengambil alkohol, dadah, dan telalu kerap menonton television atau mendengar radio.

Tersiar dalam Dewan Kosmik

Jun 2007

Langkah Pejuang..

Langkah seorang pejuang,

tidak mengira peluh yang menitik,

tidak mengira jerih yang terluah

walau terpaksa melalui denai yang berduri,

walau terik membakar diri

dia terus memacu langkah ke medan

matanya sarat dengan harapan

mulutnya berlaung takbir menggema

ditangannya tergenggam senjata

semangat terus membara

membunuh…atau terbunuh..

hatinya berirama zikir tanpa henti

mengalun rindu pada Pencipta

mengharap redhaNya jua

menanti saat bahagia bertemu sang kekasih

pejuang itu terus berdiri

kakinya telah kudung tercantas

hatinya labih parah tercalar

namun jiwanya masih pada yang Satu

ijok, selangor

4 april 05

Tersiar dalam..

Kemana Diri Hendak Dibawa

www.quaisz.blogspot.com

2006.. Kemana diri hendak dibawa..

Sesekali menjadi ‘driver’ kepada sepasang suami isteri dari Syria, membuatkan saya berfikir dalam. Saya memulas stereng kereta dan bermain dengan gear dari jam 10 pagi hingga 6 petang di tengah-tengah kesesakan Bandaraya Islam. Tugas saya adalah membawa mereka membeli-belah dan menyelesaikan sedikit urusan dengan JHEIK, mengambil dan menghantar mereka sampai ke rumah. Orang Syria tidaklah seperti yang saya sangkakan sebelum ini, berwatak gasar dan bertubuh lampai persis Arab Mesir. Namun kedua-dua insan yang dipertemukan dengan saya ini cukup istimewa pada pandangan. Si isteri berketurunan Melayu Kelantan, dari Kg Peringat memiliki ciri-ciri Melayu yang lengkap, bertubuh kecil molek. Namun lantaran berkahwin dan menetap di Syria selama sepuluh tahun, loghat Kelantannya sudah ditenggelami kefasihan bahasa Arab yang lembut menyentuh hati saya. Betapa indahnya Bahasa Arab, bahasa yang paling digemari Rasulullah bahkan bahasa ahli syurga di syurga juga adalah bahasa Arab.. namun jubah hitam tebal bersama purdah yang menutup litup dan hanya menampakkan cermin matanya menabiri segala anugerah kecantikan yang sekaligus menjadi sumber fitnah dan kelalaian.

‘Dia bukan orang sembarangan’ begitu tukas kakak saya terhadap pasangan sahabatnya ini. ‘Suaminya pembantu Syeikh’ saya angguk menelan liur. Syeikh adalah panggilan untuk Tuan Guru ajaran tarekat. ‘Dalam banyak-banyak pelajar, Syeikh pilih orang ini. Semestinya dia mempunyai satu ciri yang tiada pada orang lain. Lebih mengikut, dan lebih tunduk.’ Begitu hebat... saya mengerling pada diri... orang yang mangikut jaluran ketuhanan, hatinya lembut, tiada marah kerana amarah itu api dari syaitan sedang jiwa yang sentiasa bersama Tuhan dan hati yang sentiasa basah dengan zikir itu senantiasa begitu damai..

Saya pulang dan membelek buku di almari. Langsung mata saya menangkap sebuah buku kecil dari Madinah An Nasr, Kaherah yang pernah saya baca suatu waktu sahulu.. saya bersimpuh dan khusyuk menghayati helai demi helai..mata saya pijar pada potret anak-anak muda di helaian buku ini yang telah mendapat gelaran syuhada’ fi sabilillah.

“Siapa yang tidak mati kerana pedang pasti mati dengan jalan lain.. penyebab kematian adalah banyak sedangkan kematian hanyalah satu..”

Mata saya terus menelan satu demi satu perkataan di buku terbitan Mesir itu, sehingga saya tidak sedar hari telah berganti.. saya teruja, kagum dan hiba menyalut segala keletihan saya bekerja sepanjang hari iu. Saya terus meneruskan pembacaan pada buku Nostalgia Syuhada’... cita-cita saya semakin menyubur. Untuk hidup, untuk mati di jalanNya. Ya, mati itu pasti tapi jalan kematiannya terus bagaimana. Berlegar-legar di ingatan saya suatu kata-kata keramat, “ Aku lebih rela mati berdiri penuh kemuliaan daripada mati berlutut penuh kehinaan!” Tuhan.. matikan saya dalam iman..

***

.... As Syahid Aiman Kamil Jum’at Radhi dikenali sebagai Abu Bilal dari perbatasan Khan Yunus. Di zaman kanak-kanak, beliau terkenal rajin ke masjid bersolat jemaah, mengikuti aktiviti keagamaan dan sukan. Beliau sangat menghormati orang tua dan tidak pernah meninggikan suara terhadap mereka walaupun ketika umurnya sudah meningkat dewasa.

Hidup di bumi yang terjajah menjadikan Aiman terdedah kepada kekejaman Yahudi sejak kecil lagi. Setiap hari ada sahaja berita tentang penyeksaan yang dilakukan regim Zionis terhadap kaumnya yang begitu menghiris hatinya. Aiman menyertai kegiatan melontar batu bersama pemuda-pemuda Palestin.. sungguhpun batu itu kecil, tiada kesan pun pada tentera-tentera kuffar yang lengkap berseragam dan bersenjata.. mereka terus melontar, kerana batu itu bakal menjadikan kapal mereka karam di lautan dalam. Aiman begitu iltizam dengan perjuangannya sebagai salah seorang pemimpin Hamas. Cintanya pada jihad dan syahid mengatasi segala kecintaannya pada dunia.. dan rindu untuk bertemu Tuhan membawanya nekad mempertahankan tanahair yang sedang dicabul penjajah.

Suatu hari, Aiman membawa diri dan bertafakur. Dia mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Suara tangisannya bermunajat kedengaran oleh ibu-bapanya. Sebelum melangkah keluar, Aiman memohon ampun daripada ibu-bapa dan rakan-rakan sekerja serta sepermainannya. Aiman meninggalkan mereka dan menghilangkan diri selama lima hari di tempat yang tidak diketahui oleh orang lain. Dia mempersiapkan diri melakukan operasi yang amat digeruni musuh-musuhnya.

Dengan berpakaian serba putih, Aiman menuju ke sasarannya iaitu sebuah bas yang biasa membawa pegawai-pegawai tinggi tentera udara rejim Zionis. Sebaik terpandang bas berkenaan, rohnya terasa bagai di awangan menanti saat diarak menuju ke Syurga Firdaus. Dia mara ke depan bagai singa yang lapar mahu menelan mangsa. Namun kehadirannya dicurigai pemandu bas. Aiman ditahan dan pintu bas ditutup bagi menghalangnya menaiki bas. Saat yang ditunggu telah tiba. Dia bagai mendengar seruan supaya memulakan operasinya. Dia bagai terlihat lambaian syurga dan mencium harumannya. Aiman nekad. Dengan penuh yakin, Aiman meletupkan 7.5 kg TNT, gegarannya mengejutkan Kota Quds. Ramai pengganas Yahudi cedera dan terbunuh. Bas yang mereka naiki musnah sama sekali.

Mendengar berita kematian Aiman, ayahnya hanya mampu mengucapkan “ Semoga Allah menemukan kita di bawah rahmatNya.” Adik lelakinya pula dengan linangan air mata melaungkan “ Selamat jalan pejuang Kata’ibul Qassam... selamat jalan !” mereka sekeluarga kemudiannya menonton pita video rakaman wasiat Aimanyang dibawa oleh wakil kata’ib Al Qassam. Wartawan ramai datang mengerumuni rumahnya.

“ Saya adalah pemuda syahid yang hidup, Aiman Kamil Jum’at. Allah berfirman ‘Janganlah kamu menyangka mereka yang terbunuh di jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki!’ (Ali Imran-169)

Operasi yang akan saya lakukan ini ialah sebagai tindak balas terhadap pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Masjid Palestin dan juga sebagai tindakan membela As-Syahid Soluhah dan Hani Abid (yang dibunuh oleh tentera Yahudi).

Wahai ahli keluargaku, wahai abang dan adikku, wahai sahabat-sahabatku di dalam gerakan Hamas.. jihad adalah satu-satunya jalan dan menuntut syahid adalah impian kita. Maka janganlah kalian merasa terhina dan janganlah kalian berdukacita.

Berdoalah kepada Allah agar menerimaku sebagai seorang yang mati syahid dan berdoalah agar kalian bertemu denganku melalui jalan yang sama.. Jumpa lagi di Syurga Adn insya Allah...”

Inilah sedikit pengajaran yang sempat saya teguk, kesungguhan abid kepada ma’budnya. Selangkah kaki menuju Dia, Ia datang berlari kepada kita. Biasanya para pejuang agamaNya memiliki sifat-sifat utama. Mereka memelihara kewajipan kepada Allah. Mereka sentiasa menunaikan solat fardhu, bahkan secara berjemaah. Masjid tidak boleh dipisahkan dari mereka. Mereka melazimi solat-solat sunat, berpuasa Isnin Khamis, qiamullail, membaca al-Quran dan sebagainya. Mereka menyertai jemaah yang memperjuangkan Islam dan bertindak secara berorganisasi. Mereka mempunyai akhlak yang boleh menjadi contoh dan setelah mati, tiada cemuhan masyarakat terhadap mereka..

Subur pentarbiahan diri, manislah hasilnya. Begitulah, kita perlu sentiasa menilai diri dan berdoa supaya Allah membawa kita dekat dengan Dia, kerana kita tidak mampu untuk pergi sendiri..

PMLS

21 Disember 05

Tersiar dalam Buletin AMAL

Nutrisi Ramadhan..

www.quaisz.blogspot.com

Nutrisi Ramadhan

Bulan Ramadhan kadangkala dianggap sebagai bulan pesta makanan. Pabila berkumandang azan Maghrib, meja makan sudah dipenuhi dengan pelbagai jenis juadah dan hidangan. Air jagung, air kelapa muda, ait tuak, ABC rock, kuih ondeh-ondeh, puteri berendam, dan bunga tanjung menjadi menu harian di rumah. Tak termasuk lagi lauk pauk yang bermacam-macam jenisnya. Usai makan, bagaikan ular sawa kekenyanganlah jadinya, lembab untuk bangun solat dan sukar berterawih kerana perut yang sedari 14 jam kosong tiba-tiba diasak bertubi-tubi dengan pelbagai makanan. Tetapi bagi pelajar-pelajar di IPT, ada juga yang berbuka dan bersahur dengan mee Maggy lantaran duit pinjaman sudah kehabisan…Menjadi kebiasaan, nutrisi di bulan Ramadhan akan berubah sedikit berbanding di bulan-bulan lain.

Mencari panduan daripada sirah rasul junjungan, saya telah merujuk kepada Ustaz Anuar Ridwan Zakaria, seorang pensyarah di Jabatan Al-Quran dan Hadith, Akademi Pengajian Islam , Universiti Malaya untuk mendapatkan maklumat yang tepat lagi sahih berkenaan nutrisi Rasulullah di bulan Ramadhan. Beliau menyatakan tidak banyak ditemui hadith-hadith yang menceritakan bagaimana menu atau nutrisi yang diambil oleh Rasulullah di bulan puasa. Ini sebab makanan yang diambil oleh Rasulullah adalah sama sahaja pada setiap bulan. Tiada perbezaan. Baginda lebih menekankan etika pemakanan. Baginda berbuka dahulu dengan buah kurma rutab, jika tiada, baginda mengambil tamar kering, jika tamar pun tiada, baginda hanya meminum air dan kemudian bersolat jemaah. Namun ada juga beberapa jenis makanan yang baginda amat suka dan yang kurang disukai. Baginda menggemari halwa dan madu, buah anggur dan tamar. Baginda tidak menggemari mendahului orang lain dalam menghadapi hidangan dan makan dengan penuh tertib. Baginda hanya makan sedikit tetapi mencukupi. Baginda makan hanya setelah lapar dan berhenti sebelum kenyang. Dengan berbekalkan makanan yang sedikit itulah, baginda mampu menghunus pedang dan berjuang menyebarkan risalah Allah ke muka bumi.

Di samping itu, baginda tidak mengambil sesuatu makanan dengan makanan tertentu dalam satu-satu menu. Contohnya baginda menegah memakan daging dengan susu dalam satu hidangan. Setiap makanan mempunyai khasiat dan toksik yang tersendiri. Daging yang merupakan penyumbang protein yang amat baik tidak boleh diambil bersama-sama susu yang juga sumber protein. Dalam prinsip nutrisi perlengkapan protein, sumber protein mesti dipelbagaikan dengan kombinasi yang betul supaya kita memperoleh kesemua asid amino perlu dengan mencukupi.

Ditekankan baginda tidak makan selain dari buah-buahan tempatan. Makanan yang tumbuh di iklim panas sesuai untuk manusia yang tinggal di tempat panas. Sebagaimana durian yang berasal dari negeri di kawasan khatulistiwa beriklim lembap panas, buah durian kurang sesuai dimakan oleh orang-orang di Gurun Sahara atau mereka yang tinggal di iglu. Baginda mempercepat masa berbuka dan melewatkan bersahur hampir kepada subuh. Terdapat hasil kajian yangmenunjukkan bahawa tempoh berpuasa selama lebih kurang 14 jam itu adalah waktu yang paling ideal untuk perut kita berada dalam keadaan kosong dan rehat. Sistem penghadaman akan berehat dan menyahtoksikkan serta mengasah kecekapan sistem.

Semasa berpuasa, kita digalakkan mengambil buah kurma, dan memperbanyak minum air. Buah kurma sedang dikaji dan ia ditaman di Israel. Mereka telah menganalisis khasiat kurma dalam bidang perubatan. Di manakah hebatnya buah hitam yang menjadi santapan utama junjungan teragung ini ?

Kurma adalah sejenis pohon palma. Ia hidup subur di tanah yang memerlukan kuantiti garam yang rendah iaitu antara 4.3 hingga 12.8 dSm-1 untuk mengekalkan survivalnya. Spesies ini mempunyai penetrasi akar yang cepat. Akarnya boleh menjalar pantas dan menyerap air dengan baik walaupun di kawasan sekering padang pasir atau pada kepekatan garam yang tinggi. Dalam keseluruhan tumbuhan ini, bahagian yang paling tahan adalah bahagian akar dan daun, manakala bahagian batang adalah bahagian paling sensitif kepada tekanan garam. Spesies kurma adalah bersifat halofit. Tumbuhan halofit adalah tumbuhan yang boleh beradaptasi di kawasan berkemasinan tinggi seperti estuari, muara, kuala dan paya. Sel-selnya lebih masin dari air laut. Ia mampu hidup pada tekanan garam yang tinggi lantaran ia menggunakan mekanisma osmoregulasi untuk mendapatkan air. Tahap ketahanan yang tinggi inilah membolehkan pohon kurma mampu teguh berdiri biarpun di gurun yang tandus.

Buah kurma atau dengan bahasa saintifiknya Phoenix dactylifera berbentuk silinder, warnanya kuning hingga coklat kemerahan. Isinya tebal, membaluti biji. Kulit yang tipis membuatkan isi buah mudah dimasuki ragi dari udara, selanjutnya memfermentasi karbohidrat. Lantaran gula asli yang tinggi, ia tidak perlukan bahan pengawet . Pengeringan biasanya dilakukan oleh matahari. Dalam proses ini, buah akan kehilangan kira-kira 35 % dari khasiatnya.

Kandungan kalori kurma juga tinggi (317 kal/100 gr), amat baik bagi memulihkan stamina. Kalorinya, selain sebagai bahan bakar utama tubuh, mampu mencegah terjadinya pengoksidaan lemak yang tidak lengkap. Pengoksidaan tidak lengkap menghasilkan sebatian karbonil yang tidak diperlukan oleh tubuh seperti asetoasetat, keton, aseton dan beta-hidroksi-butirik yang dibentuk dalam hati dan dikeluarkan melalui urin. Pengambilan kurma boleh mengelakkan berlakunya pengoksidaan tidak lengkap ini.

Selain mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi, kurma juga mengandungi serat. Semakin dikeringkan, semakin tinggilah nilainya karena membentuk resistant starch atau kanji perintang penyakit. Jika selulosa amat berguna untuk mengatur peristalsis usus, hemiselulosa dan pektin mampu menyerap banyak air dalam usus besar. Selain itu, serat juga berfungsi mengawal berat badan, menghindari obesiti, menghindari divertikulosis (sembelit), merendahkan paras kolesterol dan lipid dengan merencat sintesis kolesterol, ia juga mampu mengawal diabetes dan menghindari kanser kolon.

Unsur lain yang terdapat pada kurma adalah fosforus, iaitu sejenis mineral kedua terbanyak dalam tubuh setelah kalsium. Merupakan unsur nukleus dan membran sel, ia menjadi faktor esensial kepada seluruh tindakbalas pembentukan tenaga dalam sel. Ia juga berfungsi sebagai komponen pembentuk kristal pada tulang rangka. Banyak lagi kehebatan kurma yang antara lain ialah ia mampu menjaga kesihatan salur usus, mencegah konstipasi (sembelit), menyahtoksik alkohol, menguatkan jantung, meningkatkan kemampuan seksual, mampu mengubati diarea (cirit-birit) kanak-kanak dan sebagainya.

Agar tubuh kita tetap segar dalam menjalankan ibadah puasa, harus diperhatikan juga mengenai keutuhan cecair dalam tubuh. Antaranya, kita perlu mengambil air kosong dalam kuantiti yang banyak. Air merupakan nutrient yang paling penting di mana 50-60% daripada berat badan disumbangkan oleh air. Air perlu dikawal pada paras yang sepatutnya. Kekurangan air akan meransang reseptor dahaga, menguja kita meminum air supaya ia kembali ke paras normal. Air kosong boleh membersihkan organ dan ia cepat diserap tubuh melalui pembuluh darah dan membantu mencegah terjadinya penggumpalan dalam darah. Di samping merupakan komponen utama darah, ia bertindak sebagai medium tindak balas biokimia dalam badan. Fungsinya sebagai pelarut bagi melarutkan nutrien yang diambil dan pengawal suhu badan ditambah pula dengan tugasnya sebagai pelindung dari trauma dan hentakan. Ia merupakan komponen bagi cecair serebrospinal di tengkorak dan cecair amniotik bagi melindungi bayi dalam kandungan.

Santapan sahur seharusnya menyajikan nilai lemak yang rendah kerana ia akan mengakibatkan rasa mengantuk dan merendahkan produktiviti serta melambat kan proses penyerapan makanan ke dalam tubuh. Keadaan ini mengakibatkan risiko beberapa penyakit.

Walaupun memberus gigi dibenarkan namun lebih baik dielakkan selepas tengah hari. Banyakkan membaca al-Quran dan bersedekah.

Para aulia’ melakukan puasa yang paling tinggi darjatnya iaitu puasa minda. Dengan kata lain, di samping tidak makan, minum, mereka tidak mengingati dan memikirkan apa jua selain Allah.

Begitulah sunnah, kehebatan ajaran rasulullah tidak ada bandingannya. Hanya hati yang sentiasa patuh pada ajaran baginda mampu mengecapi nikmat kehidupan yang sebenar.

Sains Biokesihatan, Institut SainsBiologi, UM

8 Otober 2005, 4 Ramadhan 1425H

Tersiar Dalam Buletin AMAL