Friday, November 29, 2013

Cinta Bahasa


Puisi Melayu nurani bangsa

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2011/02/08

Enam dasawarsa kajian Dr Kemala membuktikan perkara terbabit

SESIAPA yang membaca puisi Melayu sebenarnya mereka membaca hati nurani bangsa itu kerana ia mewakili luahan hati nurani orang Melayu tetapi dizahirkan sama ada dalam bentuk kritikan atau ingatan yang disampaikan secara berhemah dan sopan.

Rumusan itu dibuat pada syarahannya, Membaca Puisi Rumpun Melayu: Membaca Hati Nurani Melayu yang disampaikan Sarjana Tamu, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Melayu dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Kemala dan sepanjang enam dasawarsa mengkaji puisi rumpun Melayu yakin bahawa pemuisi Melayu di seluruh Nusantara sebenarnya sangat terusik dengan persekitarannya.

“Orang Melayu sangat terkenal dengan budi bahasa dan sopan tutur bicaranya. Memahami puisi Melayu bermaksud membaca hati nurani Melayu. Saya terkesan tiga perkara ketika meneliti puisi Melayu iaitu ajaib, unik dan profetik (kenabian),” katanya ketika membicara perkara terbabit di Serdang, baru-baru ini.

Beliau memberi contoh pengarang di Nusantara mencurahkan idea pemikiran mereka dalam pelbagai genre sastera termasuk puisi dan antara yang boleh dijadikan contoh ialah Tun Seri Lanang lewat Sejarah Melayu.

“Dalam Hikayat Hang Tuah pula pembaca diajak merenung patriotisme pahlawan Melayu sewaktu di Majapahit. Kesetiaan dan semangat tinggi melindungi Sultan Melaka, Sultan Mansur Syah yang akan berkahwin dengan puteri Majapahit, Puteri Galoh Cendera Kirana, terpancar jelas,” katanya.

Hang Jebat Hang Kasturi
Budak-budak Raja Melaka
Jika hendak jangan mencuri
Mari kita bertentang mata.

Selain itu, pemuisi Melayu juga didakwa selalu menzahirkan karya yang memperlihatkan hubungan diri dengan alam kosmos, alam ghaib selain dengan pencipta yang esa seperti dapat dilihat melalui Hamzah Fansuri misalnya yang jelas meletakkan dirinya hampir dengan Tuhan.

Uzlahnya berbulan-bulan
Mencari tuhan ke dalam hutan
Segala menjadi sufi
Segala menjadi syaugi
Segala menjadi ruhi.

Nada profetik dan mengingatkan itu terlihat juga dalam karya penyair Brunei, Pangeran Syahbandar Md Salleh Samayuda yang menulis mengenai cintanya pada negara dan sultannya dengan mengabadikan dalam Syair Rakis.

Syair itu ditulis bagi mengingatkan sultan mengenai tipu muslihat penjajah Inggeris di Pulau Labuan dan orang yang bermuka-muka di istana raja sehingga Pangeran Syahbandar diburu, lalu mati lemas seperti dapat dilihat dalam bait berikut:

Ya Allah Tuhanku Kaya
Hambamu tiada dapat upaya
Jika ditolong Rasul Anbia
Lepaslah daripada mara bahaya
Lepas luput bahaya badan
Jangan bagi terkena dandan.

Dr Kemala menegaskan, keupayaan pengarang silam Melayu memanfaatkan susasteranya dengan baik turut diperakukan Pengkaji Sastera Melayu, Sekolah Pengajian Timur dan Afrika (SOAS), Universiti London, VI Braginsky.

“Keindahan dan keupayaan memanfaatkan bahasa menjadikan penyair Rumpun Melayu mutakhir seperti Sasterawan Negara (SN), Allahyarham (Dr) Usman Awang, Sutarji Calzoum Bachri, Dr Taufiq Ismail, Goenawan Mohamad, Allahyarham Masuri SN, Moktar Yassin dan Rida K Liamsi memikat hati,” katanya.

Latiff Mohidin misalnya adalah generasi baru yang merubah pengucapan ASAS 50 dengan membawa suara neoromantisisme dalam puisi, menjernihkan lagi rasa keMelayuan yang syahdu sambil memanafaatkan surealisme sebagai dasar seperti dapat dikesan dalam puisi, Sungai Mekong.

Sungai Mekong
Kupilih namamu
Kerana aku begitu sepi
Kan kubenam dadaku
Ke dasarmu
Kaki kananku ke bulan
Kaki kiriku ke matari
Kan kuhanyutkan hatiku
Ke kalimu
Namaku ke muara
Suaraku ke gunung

Begitu juga dengan Allahyarham Usman sewaktu berhadapan dengan kolonialisme Inggeris menyampaikan imej dinamik dan rasa kepewiraan dan kepahlawanan untuk menghadapi musuh yang cuba menjajah kemerdekaan pribumi, sama seperti Masuri SN.

Matikanlah gendang perang
Lagu maut yang bernada setan
Ia telah membunuh anak-anak kita
ia telah melebur nilai-nilai budaya! 
Post a Comment