Showing posts with label Tinta kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Tinta kehidupan. Show all posts

Wednesday, August 03, 2016

Islambul bukan Istanbul


Bismillahirrahmanirrahim..



20 Mei 2013, memijak kaki buat pertama kali ke Turki. Subhanallah! Tak terduga dalam fikiran, rezeki Allah untuk menghirup udara Turki dan seterusnya ke Tanah Haram sebagai tetamu rumahNya yang suci. Baru sahaja mendengar cerita daripada seorang sahabat tentang hebatnya Turki. Sahabat itu belajar di negara Obama dan sejarah Eropah termasuk negara Turki menjadi subjek wajib bagi mereka yang belajar di sana sebagaimana subjek TITAS 1 dan TITAS 2 yang menjadi subjek wajib lulus bagi pelajar-pelajar universiti tempatan. Saya hanya terpegun mendengar dia yang bercerita penuh keterujaan mengenai Aya Sofea, sebuah masjid yang kini menjadi muzium. Saya tidaklah beria-ia menyimpan angan mekar untuk ke sana, sekadar mengaminkan keinginannya dan sedikit rasa yang terselit untuk ke sana, namun takdir Tuhan, saya sampai dahulu ke Turki berbanding dia. Perancangan Tuhan siapa tahu kan?


Yang menyambut kami adalah masjid-masjid agam serta landskap segar bunga mawar merah, pink dan kuning yang mengindahi pandangan di penghujung musim sejuk tersebut. Nyaman, tenang, indah, damai.. Bumi cantik dengan jalanraya besar yang sibuk tetapi lancar, bumi hebat dan subur. Syukur!

Mengikut tentatif, kami akan ke Bursa dahulu, kemudian barulah Islambul. Islambul yang telah ditukar nama oleh Mustapha Kamal Attaturk kepada Istanbul. Dalam kitab Fi Zilaali Surah at-Taubah (Di Bawah Naungan Surah at-Taubah), Dr Abdullah Yusuf Abbas menulis bahawa setelah membebaskan kota Kostantinople, Sultan Muhammad Al-Fateh mengubah nama kota ini kepada Islambul yang bererti Kota Islam. Dr Abdullah turut menyeru, “Kalau kita ingin menghilangkan nama Kostantinople, maka sebutlah kota ini sebagai Islambul, bukan Istanbul.” Sehingga kini, kota Islambul terus mekar subur menjadi kota terbesar menandingi ibukota Turki, Ankara.

Alhamdulillah, daripada pagi hingga ke petang kami menjelajahi kota besar ini. Sangat teruja, ddan yang sebenarnya adalah tersentuh.

Kami bermula dengan menaiki bot menyelursuri Teluk Bosphorus yang airnya sangat biru, melihat istana-istana yang dibina di sepanjang pesisir teluk tersebut. Binaannya kemas, benbentuk empat segi, rata, tidak terlalu tinggi dengan warna asli yang hampir seragam.

Dari atas bot ini kami menikmati pandangan Istana Topkapi, Dolmahbache, universiti dan lain-lain yang dibina rapat-rapat, yang menjadikan udara segar di sini sebagai hirupan harian. Masjid-mesjid penuh agam, dan selalunya dipenuhi orang. Orang Turki cantik-cantik dengan raut wajah Arab bercampur Inggeris. Mungkin kerana mereka daripada keturunan Nabi Nuh iaitu daripada Yafes yang berhijrah hingga ke Asia Tengah. (Wallahu a'lam). Tinggi lampai, berkulit halus, berhidung mancung, dan lebih kecil berbanding orang Arab. Atau mungkin juga faktor pemakanan yang mempengaruhi. Buah zaitun, ikan segar (yang banyak di Sungai Marmara), kurang garam, salad dengan perahan lemon dan minyak zaitun dan yogurt, itulah hidangan asas setiap hari ditambahi dengan sup pelbagai jenis. Kalau diikutkan dengan lidah Melayu, masakan mereka adalah tawar sehingga ada sanggup membawa kicap sebagai kuah tambahan.

Perjalanan diteruskan pada hari berikutnya menuju ke Hagia Sophia atau juga dikenali sebagai Aya Sofea. Meremang bulu roma sebaik sahaja mata tepat memandang monumen popular dengan binaan luarbiasa ini.

Credit to photog Abir Abdul Patah 
It's never too late to write 
31 Mei 2016






Wednesday, January 25, 2012

Ladies Nite Got Talent' 2012


'Banner' Ladies Nite yang menimbulkan kontroversi


'Banner' Wanita Kelantan Got Talent



“Ladies Nite?”
“Wanita Kelantan Got Talent?”


“Apa sudah jadi dengan Kelantan loni? Makin banyak nampaknya program-program hiburan. Tak habis-habis lagi ke Kelantan dengan Mawi, dengan Nora, dengan Aisyah? Kini nak dibuatnya lagi program Ladies Nite dan Wanita Kelantan Got Talent!”

“Got Talent itu satu hal. Ladies Nite itu hal lain pula.... huhuhu ‘complikated’nya.”
“Bukan setakat mahu menjemput Nana, Black yang lelaki itu apa halnya mahu dibawa ke program wanita?”
“Kerajaan Kelantan sudah lupa suara itu aurat? Mahu diasah ke mana penyanyi-penyanyi hasil Got Talent ini?

“Semenjak Negara Islam bertukar kepada Negara Berkebajikan, Negeri Kelantan pun mahu menukar matlamat kah? Apa mereka ingat dengan menjemput artis masuk ke negeri ini, makin ramai orang akan sokong mereka?”
Semenjak pengumuman mengenai dua buah program ini dibuat dan sepanduk-sepanduk serta ‘banner’ dinaikkan ke sudut-sudut strategik, ke Facebook dan ke laman-laman sesawang, bermacam-macam spekulasi timbul. Panggilan telefon bertalu-talu ke Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan. Tak cukup tangan mengangkat telefon, serangan-serangan fitnah makin berapi-api di Facebook. 
“bx8-=2****xxx” ........      Booooooommmm!!!! Meletup.


Perkara ini memang sudah diduga akan berlaku. Ya, bagaikan bom jangka ia meledak ke serata alam membawa kepulan-kepulan asap tebal dan hitam. Masuk ke rongga hingga menyengat tajam. Perit jua terasa akhirnya.. 

Walaupun berterima kasih kepada krisis yang meminjamkan promosi hangat percuma kepada pihak urusetia, krisis itu perlu ditangani segera agar nama buruk yang mahu berpalit akan segera berundur langkah demi langkah.
Dengan mengambil kira sensitiviti rakyat Kelantan yang ‘sangat suci’, Yang Berhormat tampil membuat perubahan. Membatalkan Black namun tetap bertegas dengan Nana dan Got Talent. Berita hangat kendur seketika, ura-ura hangit kini sunyi sepi...



Akhirnya begini...

Sreeeeetttttt..... 
Video promo program dimainkan sebagai pembuka tirai majlis Got Talent jam 2.30 petang. Kerusi-kerusi di Dewan KTC masih belum penuh. Yang ramai adalah peserta pertandingan kesenian Wanita Kelantan Got Talent. 38 buah penyertaan kesemuanya. Mereka terdiri daripada wanita Kelantan, ada Melayu dan India. Ada yang muda berusia belasan tahun, dua puluhan, tiga puluhan, dan menakjubkan ada yang sudah berusia namun masih bertenaga. Rata-rata yang menyertai secara berkumpulan adalah daripada persatuan seni mereka sendiri. Seni tari, nyanyian, malah ada juga yang sudah ‘establish’ mengajar tarian dan menjadi penyanyi latar di radio. Ada yang datang membawa gitarnya, bagaikan Yuna anggun di pentas dengan tudung simpulnya, mengheret penonton asyik dengan alunan lunak merdu. Ada yang semacam Siti Nurhaliza, lengguk menari dengan lemah gemalai, ada yang menyanyi lagu rock, lagu Inggeris dengan pakaian ala wanita Cowboy, puisi Inggeris, dan bervariasi lagi. Bukan hanya menyanyi dan menari, yang datang berceramah tentang aurat juga ada. Penceramah cilik dari sekolah Arab, berdegar degar melaungkan tentang azab akibat membuka aurat.. tersentak semua....

Peserta dua beradik yang mendendangkan lagu. Masih dalam mode menutup aurat.

Majlis berlangsung dengan meriah, mengujakan namun tetap sopan dan dalam batasan syarak. Tiada pekikan dan bersalaman lelaki-perempuan sepertimana dalam konsert-konsert hiburan lain, tiada pakaian yang mengghairahkan. Tiada dangdut tiang, tiada siulan sumbang, malah kebanyakan peserta adalah bertudung, sopan santun dan penuh bergaya membuat persembahan.

Beliau mempertandingkan sebuah sajak yang bersemangat.




Peserta berkumpulan yang mempertandingkan 'Coral Speaking' yang sangat mencuit hati dan kreatif berunsurkan cinta remaja. 



Sungguh, saya terpegun! Saya baru perasan, Kelantan punya mereka sebagai anak  jati negeri. Kelantan punya ramai  rakyat yang berbakat dan berminat dengan seni, namun apa khabar dengan mereka? Tersisihkan mereka apabila Kelantan diterajui pemerintahan ulama’? Apakah mereka akan memberontak jika minat itu dihalang terus? Adilkan muzik menjadi haram sedangkan al-Quran juga beritma muzikal? Sedangkan jantung kita berdegup ada rentaknya, dan nadi mengusung darah dengan iramanya nan tersendiri? Bagaimana mungkin semua ini boleh disucikan dengan Islam? Bagaimana sebuah irama dan lagu itu menjadi halal dan memicu kepada pertumbuhan sihat pada jiwa, rohani, fizikal dan mental manusia? Bagaimana kerajaan Negeri Kelantan mengapresiasi fitrah kemanusiaan yang satu ini...? Bagaimana ya....

Melalui Got Talent ini, sekurang-kurangnya kita berkenalan dengan mereka.. kita menghubungkan silaturrahim kepada golongan ini. Golongan pencinta seni ada kelompok mereka yang tersendiri. Mereka punya rangkaian berjuta-juta, namun mereka agak jauh daripada ceramah-ceramah agama dan urusan kemasyarakatan. Lalu bagaimana untuk menyentuh hati mereka? Sekurang-kurangnya langkah ini adalah yang pertama, akan ada susulannya dan pengakhiran yang baik.. insya Allah.
Apabila ditanya, mereka menjawab;
“Kami selalu buat ‘show’ dan kali ini kami rasa sungguh bertuah kerana apa yang kami usahakan selama ini diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Kelantan.”
“Jika diberi ruang dan saluran yang betul, apa salahnya? Terima kasih kepada UPWKK dan Kerajaan Negeri Kelantan.”
Hasrat Urusetia Pembangunan Wanita untuk mendekati golongan pencinta seni nampaknya berhasil. Syabas!
*******
Berehat seketika menunggu Ladies Nite yang akan bermula jam 9.00 malam. Saya melangkah keluar mencari makanan, mujur makan malam untuk petugas disediakan dan sebenarnya itulah makan tengah hari dan makan malam saya. Alhamdulillah....
Berdiri di luar pintu, saya melihat sekumpulan lelaki-lelaki berkemeja merah menunggu dari siang tadi lagi di luar pintu kaca dewan Kelantan Trade Center. Merekalah tentera-tentera merah yang berkawal bagi menghalang mana-mana lelaki mumayyiz masuk ke dalam dewan. Malah pintu utama dewan dikawal ketat agar lantunan suara tidak tersebar hingga ke luar dewan. Terasa betapa rahmat dan selamatnya apabila wanita-wanita begitu dikawal rapi. Di hadapan pintu masuk pula, tertera arahan tegas ‘Dilarang Merakam  Gambar atau Video!’ Larangan dibuat untuk mereka yang suka merakam audio/visual di sepanjang majlis, supaya tiada sebarang ‘upload’ haram di internet. Malah jika ada, surat saman akan sampai ke pintu rumah.  
Itu secara tegas. 
Mind your step. AWAS!!



Kedua-dua program ini hanya untuk wanita. Wanita mahu menyanyi ke, mahu menari ke, malam ini disediakan untuk wanita berhibur dengan rasa selesa dan selamat. 
Selang  setiap dua barisan kerusi, di setiap penjurunya ada penjaga keselamatan yang juga wanita. Menakjubkan lagi, pengawal ‘PA system’ juga wanita, bahagian teknikal atas pentas dan jurukamera juga wanita. Semuanya wanita...... tidak syak lagi. 

                                         Team IT Muslimat di bahagian teknikal dan PA System. Syabas!


..... dan tidak mustahil, artis jemputan, Siti Nurdiana ataupun Nana membuat pengakuan kepada Harakahdaily yang beliau rasa bertuah dan selesa membuat persembahan enam buah lagu pada malam itu. Malam yang penuh meriah dengan persembahan pelbagai versi lagu daripada Uzbekistan, juara Wanita Kelantan Got Talent (Nik Farah Aina binti Hariman, 19 tahun), artis Youtube Ainan Tasneem dan persembahan tarian kebudayaan. Malah Maahad Muhammadi Perempuan turut menghantar seorang pemain biola. Sungguh takjub, di celah-celah hafalan Al-Quran dan kitab-kitab, beliau sudah membawa biola serta jubahnya hingga ke peringkat nasional dan antarabangsa. Masya Allah... 
Di dunia yang langitnya terbuka luas, tiada satu pun perkara yang mustahil untuk  kita runsingkan. Yang ada hanya kita perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan menangani kepelbagaian dalam segala versi kerana Islam itu tetap  prinsipnya namun anjal pada pelaksanaannya. Yang pasti, segala sesuatu itu perlu mengikut lunas-lunas yang Allah telah tetapkan. Kepada Dia bertasbih segala makhluk di bumi dan di langit, kepada Dia tempat kembali segala tumpuan.. dia yang adil lagi Maha Mengetahui. Subhanallah, inilah Islam di bumi Kelantan. Syukur alhamdulillah.
Cetusan hati, mata dan telinga serta medula oblongataku....
Samhani Ismail
Jurukamera rasmi wanita,
Ladies Nite dan Wanita Kelantan Got Talent’ 2012



Tuesday, June 23, 2009

Debar kuarantin H1N1



Saya mendapat mesej ringkas daripada Syahirah, "Tahu tak Rusydan dikuarantin kerana H1N1?"

Saya terkejut. Terkedu sekejap. Muka saya berubah. Sesekali berkerut, sesekali menggeleng. Saya mengetap bibir..lama.

"Kenapa, Kak Sam?"
Saya kembali ke alam nyata. Saya berada di meja panjang Maktabah Maahad Muhammadi Pasir Pekan. Sedang berusrah.

"Ha....," ayat saya mati di situ...
"Emm.... kalau gini.." Ah! Kata-kata saya mati lagi.

"Kenapa Kak Sam?" Adik-adik di depan saya jadi cemas. Mungkin melihat wajah saya yang berubah tiba-tiba. Saya lagi cemas. Kening makin berkerut. Habis kita semua!!

Kalau seorang terkena, yang lain pun mungkin terjangkit juga. Sebab selsema ini bukan calang-calang. Hanya orang yang tak bernafas sahaja selamat, sebab jalan jangkitannya adalah melalui salur pernafasan. Apa lagi kita tidak tahu siapa yang pembawa virus. Kalau berada di dalam aircond yang edarannya lengkap di dalam kawasan setempat, dikhuatiri hampir kesemua akan terjangkit. Parah!

Malam itu lagi mencemaskan. Sang Presiden menelefon saya. "Ana naik kereta bersama Rusydan kelmarin. Ana demam. Tekak pun sakit. Tapi badan tidak. Penolong Setiausaha pun demam... Saya menggesa, "Cepat pergi periksa kat hospital. Kalau enta kena, kita semua mungkin!" Dan malam itu, dia menghantar mesej. "Ana kena kuarantin.." Hmmmmm??

Kami baru habis berprogram di sebuah jeram air terjun di Kelantan. Tiga malam dua hari memerah otak. Letihnya usah cerita, apatahlagi dewannya nun di puncak bukit, asramanya di tingkat tengah, dewan makannya di tingkat paling bawah. Tangganya besar, kena langkah luas-luas baru boleh memijak satu anak tangga. Tapi alhamdulillah, adik-adik dari segenap tempat datang. Ada yang naik keretapi, bas, kereta, dan menunggang motosikal daripada Kedah pun ada. Syabas!! Syabas!! Antum hebat.


“Kami semua selamat.” Alhamdulillahlah.. Cerita H1N1 pun berakhir. Cemasnya, aduh!! Macam propaganda.

Tapi sudah ada sekolah di Kuala Lumpur ditutup. Sudah ada seorang pelajar di Sarawak telah sah menghidapnya. Bila akan datang ke Pantai Timur???!!!! Na’uzubillah..

Tidak cukup kerajaan hanya melaungkan slogan “Rakyatku, berjaga-jaga!” Tampal poster sana sini dan naikkan bunting. Bukan ke Nabi pernah mengajar, ”Jangan masuk ke negeri yang ada Thoun. Orang di dalam jangan keluar. Orang di luar jangan masuk.” Orang kita yang keluar masuk ke China, Australia, Amerika, Jepun ini bagaimana? Kemudian balik ke kampung halaman berjumpa dengan orang yang dirindui bersama cenderahati dan virus babinya sekali. Huhuhu.....