Bismillahirrahmanirrahim
Dua tiga
hari ini peti ‘inbox’ saya diketuk oleh beberapa lembaran pertanyaan daripada
beberapa individu.
Mesej
tersebut berbunyi:
"K.Sam,
salam perkenalan dari saya. Saya minta kata motivasi dan nasihat K.Sam kerana
saya masih lagi belum dikurniakan zuriat. Tiba-tiba malam ini hati rasa sungguh
sayu dan hiba dengan ujian ini."
Hiba saya
membacanya.. saya berdoa agar Allah membantu saya untuk membantu saudari.
Bismillah..
Yang pertama; janganlah hiba kerana Allah itu penuh dengan kasih-sayang.
Dik, kita perlu sentiasa ingat bahawa Allah menguji pada mereka yang Dia sayang.
Perlu kejap keyakinan itu. Perlu ingatkan diri selalu bahawa Allah mengatur
siri-siri di dalam kehidupan kita secara terancang, tidak ada yang berlaku
tanpa sengaja.. dan kerana dia SAYANGkan Adik. Untungnya menjadi insan yang disayangi Allah, dan tidak semua orang mendapat peluang itu.
Seperti seorang ibu yang mahu melihat bagaimana reaksi anaknya,
si ibu bersembunyi di balik pintu dan mengintai bagi mengetahui apa respon
sang anak. Begitu juga Allah, Dia mahu menguji kerana sesungguhnya kehidupan
ini adalah 'untuk mencari siapakah yang paling baik amalannya di antara kita
(maksud al-Mulk, ayat 2).
Ujian Allah untuk menilai kita, layakkah kita melangkah setingkat lagi, maka di situlah prestasi diuji. Ujian untuk menguji hati kita, apabila diuji kita mencari Tuhan atau selain Dia. Maka di sinilah bermulanya satu episod baru. Dan Allah telah memberi hidayah kepada kita, lalu apa jalan yang kita pilih.. "imma syaakiran wa imma kafuura". Allah melihat semua ini. Selangkah kaki kita ke arah Dia, sepuluh langkah Dia datang
kepada kita. Sungguh Allah itu Maha Pengasih, bersifat dengan Ar-Rahim. Cuba
lihat banyaknya kasih-sayang Allah pada kita.
Tuhan
Yang Maha Penyayang mengasihi kita lebih daripada kita mengasihi diri kita,
lebih daripada seorang ibu mengasihi anaknya, dan kasih-sayang Allah tidak
mengharapkan apa-apa balasan. Ibadah kita kepadaNya adalah untuk kebaikan diri
kita, bukan untuk Allah. Allah tidak akan berkurang kemuliaannya dan
kekayaanNya apabila penduduk bumi ini tidak meyembahNya.
"Bukankah
Kami telah jadikan bumi itu sebagai hamparan dan gunung-gunung sebagai
pancang-pancang, dan telah Kami jadikan kamu berpasang-pasangan, dan Kami
jadikan tidur kamu untuk berlepas lelah, dan Kami jadikan malam sebagai
pakaian, dan telah Kami jadikan siang untuk kehidupan." (An-Naba' 6:11)
Betapa
indah dan menenangkan kiriman ayat-ayat daripada Allah.. tentang
kasih-sayangnya. Maka, nikmatilah malam, dan hargailah siang.
Menurut
Ibnu Jarir at-Tabari:
Gelap
malam itu meliputi seluruh diri kamu bagaikan pakaian yang menutupi dirimu.
Menurut tafsiran Ibnu Jubair dan As-Suddy pula, "Ketenangan doa kerana
nyenyak tidur untuk membangkitkan tenaga baru untuk hari esok."
Tenang-tenangkanlah diri di dalam selimut malam..
"..
siang untuk penghidupan."
Alangkah
berbahagianya manusia yang dapat menyesuaikan hidupnya dengan tuntutan
ayat-ayat ini, hal mana dia dapat mencari rezekinya di siang hari dan malam
untuk berehat sambil menanti esok hari yang terang dengan pancaran gemilang
sang mentari. Siang harinya bertongkat sabar, malam harinya berteduh
syukur.
Ya Allah!
Ya Rahim
(Yang Maha Penyayang)
Kasih-sayangMu
tidak ada hingganya. Engkau menjadikan di dalam hidup ini berpasang-pasangan.
Malam bertemankan siang Engkau jelmakan untuk kami hamba-hambaMu yang menumpang
teduh seketika di bumiMu yang luas. Tidak terhitung banyaknya nikmat-nikmatMu,
tidak tersukatnya luasnya alamMu yang penuh keindahan. Ampunkan kami kerana
tidak mampu melihat semua itu dengan pandangan syukur. Semua ini adalah
lantaran kerahimanMu ya Arhamarrohimeen..
No comments:
Post a Comment