Tuesday, November 25, 2008

Percubaan pecah rumah

Semalam, rumah jiran saya dihendap orang.

Jam 9 malam, suami saya baru pulang daripada program bersama anak-anak sindrom down anjuran INSTEP. Saya ke dapur menyiapkan hidangan minum malam. Tiba-tiba dulang di tangan saya terhantuk teko separa kaca berisi air teh panas. Teko itu pecah membentuk lubang. Air teh panas mencurah-curah keluar lalu terjatuh ke lantai. Ada yang sempat bergantungan di langsir kabinet sebelum semuanya tersepuk.

Saya terkejut dan berdebar-debar. Mengapa jadi begini? Sayangnya air teh.. sayangnya teko. Saya tidak terus bertindak mengambil kain pengelap. Saya perhati air yang mencurah-curah, dan saya terbayang-bayang, mesti suami saya marah nanti. Saya jadi takut. Bukan saja takut dimarahi, bukan saja kerugian teko yang harus diganti dan ini sudah teko kedua! Tapi ada sesuatu yang saya rasa gerun.. sesuatu yang tidak pasti.

Lalu, saya meletak kain tuala lama di atas lantai, membiarkan air meresapinya. Saya kutip kaca-kaca yang berserakan dan lap bahagian atas kabinet yang terkena air teh dengan spray Good Maid bagi mengelakkan semut-semut datang menghurung. Kemudian saya cepat-cepat membancuh air teh sekali lagi.

9.34 malam.

Assalamualaikum..assalamualaikum..

Che' Wang dan Kak Na, jiran kami datang. Suami saya terus membuka pintu. Saya bergegas ke bilik mengambil kain tudung.

"Ada orang mengendap tadi ikut tingkap. Orang tu dah lari bila Che Wang kejar dengan batang besi. Tapi tak sempat nak tangkap dia." Di tengah-tengah hujan lebat itu, Kak Na dan Che' Wang memberitahu suamiku.

Bercakap sedikit, dan mereka pun pulang kerana menjangkakan tiada apa yang hilang. Tiba-tiba mata Che Wang terpandang sebuah beg galas tersangkut di dinding luar rumahnya. Ada sepasang selipar jepun dekat situ. 2 orang jiran datang. Beg itu dibuka sebelum dihantar ke Balai Polis Gong Badak. Ada berus gigi, pakaian, hand phone, beg duit, kad pengenalan dan semua dokumen penting. Orang-orang lelaki semua terus ke balai meninggalkan Kak Na dan anak-anak serta saya.

Lamanya mereka ke balai. Tiba-tiba menantu lelaki Kak Na, Izam datang dan terus dipanggil naik ke rumah. Duduk bercakap-cakap sebentar, ada orang memberi salam. Izam menguak daun pintu. Di luar pagar, seorang lelaki bertubuh kasar dan tinggi berdiri.

"Mari sekejap,"
"Mu nak apa lagi?"
"Aku nak beg aku."
"Haah!" Izam terus menutup pintu kerana lelaki itu cuba memanjat pagar rumah.

Kami semua gementar. Terkejut walau telah menjangkakan dia akan kembali menuntut begnya. Izam menelefon saudara-mara dia supaya datang dan saya menelefon polis. Susahnya nak dapat polis... Selang beberapa minit, ramai orang datang bertanya-tanya dan berkawal. Mereka mencari-cari kalau-kalau ada lagi kesan lelaki itu. Di bawah tingkap, penuh kesan tapak kaki, yang berkemungkinan dia ingin mengintai isi rumah untuk mengetahui selok-belok pintu untuk dipecah masuk. Di sinilah, Che Wang yang ingin memulakan kerja-kerjanya menempa tembaga melihat kelibat lelaki itu. Ingin dikejar, tapi tak dapat. Di dapur, tingkap yang selama ini tidak pernah dibuka, turut terbuka. Lelaki itu memang sudah mengelilingi satu rumah ini!

Lelaki itu mesti in trouble sekarang. Dia sudah keluar penjara dan sedang diburu polis. Baru sahaja memecah masuk ke rumah seseorang. Tetapi malangnya, motosikal yang ditinggalkannya di dalam semak sempat diambil oleh penduduk kampung. Kini, mungkin dia mahu mengambil motosikal anak Kak Na, tetapi dia tertinggal pula segala barang-barang yang sekali gus telah menjerat dirinya sendiri ke penjara.. mungkin.. sekali lagi.. He's very in trouble. Terdesak. Dahlah dia hanya dari kampung sebelah. Dikenali. Habislah!

Inilah kes pertama selepas 10 tahun Che Wang tinggal di sini. Tidak pernah hidupnya diganggu pencuri. Dia takut, bimbang lelaki itu berdendam.. Tak cukup dengan batang besi sedepa panjangnya, Che Wang sudah bersiap-siap menyediakan parang dan pedang bermata dua di biliknya...

3 comments:

NUHA said...

huish~
sediakan payung sebelum hujan..

Anonymous said...

Sekarang ni dah musim hujan..banjir dah pun. Berpayunglah supaya tidak basah,atau tukar ayat sket.. jom main hujan hehehe

NUHA said...

jom2 !!