Sunday, August 10, 2008

Fenomena minda luar sedar..





(Dewan Kosmik Ogos 2008-Samhani Ismail)

Apa dan di mana minda luar sedar kita berada? Persoalan ini sudah lama difikirkan dan sehingga kini saintis masih giat mengkaji tentang hakikat kesedaran itu. Menurut para saintis pemikiran di luar sedarlah sebenarnya yang banyak memandu sikap, perangai, fikiran dan tingkah laku sesorang individu.

Semenjak lebih 40 tahun, kajian-kajian yang dijalankan mendapati manusia berhubung dengan aktiviti-aktiviti mental yang tidak diekspresikan tetapi ia jauh lebih terkedepan berbanding minda sedar. Pelbagai aksi sofistikated yang dilakukan oleh mental seperti menyelesaikan masalah, mengingat kembali dan melakukan inferensi dilakukan oleh minda luar sedar. Akibat kebijaksanaan minda luar sedar inilah ahli-ahli psikologi hampir-hampir bersepakat mengatakan manusia tidak memerlukan kerjasama minda sedar lagi.

Mengikut Sigmund Freud, bapa psikoanalisis yang terkenal dengan teori ‘minda luar sedar’ dan teori ‘mekanisma pertahanan terhadap tekanan’ percaya bahawa minda manusia boleh dibahagi kepada 3 kumpulan iaitu sedar, separa sedar dan luar sedar. Aktiviti bercakap, melihat dan berjalan dikawal oleh minda sedar. Minda separa sedar yang merupakan lapisan di antara sedar dan tidak sedar, merupakan pemikiran yang tidak aktif tetapi mengandungi memori yang boleh dipanggil apabila diperlukan. Minda luar sedar pula seringkali tersembunyi tetapi ia memberi kesan jangka panjang kepada sikap individu.

Sekarang, ramai ahli psikologi bersetuju dengan Freud bahawa kehidupan kita banyak didorong oleh pemikiran dan perasaan di luar tahap kesedaran kita. Tidur nyenyak, pengsan dan koma akan membawa seseorang ke alam luar sedar. Namun apabila ia terjaga, ia tidak mampu menghuraikan apa-apa tentang itu.

Teori penekanan yang dicadangkan oleh beliau menyatakan sesetengah pengalaman adalah menyakitkan untuk diingat, lalu minda akan mengarahkannya supaya disimpan di dalam sebuah ‘gudang’. Gudang itulah disebut minda luar sedar. Memori yang menyakitkan ini dimanifestasi di alam mimpi walaupun tidak dapat dibuktikan mampu menyebabkan tindak balas psikotik dan neurotik.

Berbeza dengan pendapat Carl Gustaz Jung yang turut merungkai tentang minda luar sedar, beliau membahagikan minda luar sedar kepada dua bahagian iaitu individu dan kumpulan. Mengikut beliau, minda luar sedar individu ialah suatu tempat yang menakung maklumat yang pernah sekali ditangkap oleh minda tetapi dilupakan. Manakala minda luar sedar kumpulan pula mengandungi pengalaman-pengalaman lepas yang masih tertanam di minda.

Dalam suatu artikel yang dikeluarkan oleh Nature Neuroscience, bertarikh 13 April 2008, sekumpulan saintis telah menemui bagaimana otak membuat keputusan tanpa sedar. Kajian ini ditunjukkan oleh Max Planck daripada Institute for Human Cognitive and Brain Sciences di Leipzig dengan kolaborasi daripada CharitA University Hospital dan The Berntein Center for Computation Neuroscience di Berlin. Saintis-saintis daripada kumpulan Professor John-Dylan Haynes ini menggunakan mesin pengimbas otak untuk mengkaji mekanisma yang berlaku sejurus sebelum sesuatu keputusan itu dibuat.

“Kebanyakan proses di otak berlaku secara automatik tanpa penglibatan minda sedar. Ini baik bagi mengelakkan otak dari terbeban memikirkan banyak perkara seperti rutin harian. Tetapi sebaik sahaja keputusan dibentuk, kita lebih cenderung mengatakan bahawa keputusan itu dibuat oleh minda sedar.”

Dalam penyelidikan tersebut, mereka memberi kebebasan kepada responden untuk menekan butang dengan tangan kiri ataupun kanan apabila keputusan dibuat. Berdasarkan signal yang dikeluarkan di otak mereka, para saintis telah mencerap keputusan responden sebenarnya telah ada 7 saat sebelum mereka menekan butang. Penemuan ini menunjukkan bahawa sudah ada keputusan sebelum sesuatu keputusan dikeluarkan.


Belajar dari pengalaman

Banyak perkara yang kita pelajari di dalam hidup terkumpul di minda luar sedar dan pengalaman itulah yang membentuk sikap kita terhadap sesuatu. Sebagai contoh, jika seorang kanak-kanak digigit anjing, pada masa akan datang apabila terserempak dengan anjing, dia akan berfikir di sana ada bahaya walaupun kejadian masa lalu telah luput dari ingatannya. Dalam masa yang sama ia cuba bertindak rasional dengan memberi penjelasan kepada dirinya sendiri bahawa tidak semua anjing berbahaya dan ia berada dalam situasi yang selamat. Ini sebab, otaknya sentiasa ligat mencari penjelasan bagi menjawab perasaan takut yang mendadak itu.

Menyelesai masalah di luar sedar

Salah satu aspek menarik berkaitan minda luar sedar adalah betapa ramainya tokoh-tokoh besar dunia menyelesaikan masalah mereka di luar sedar. Siapa tidak kenal Friedrich Kekule yang akhirnya dapat menerangkan struktur kimia benzena yang terdiri daripada 6 atom karbon yang bersambung-sambung.

“ Saya sedang duduk sambil menulis buku, tetapi ia tidak menjadi. Fikiran saya menerawang ke mana-mana, lalu saya memusing kerusi menghadap unggun api. Atom-atom karbon datang dan terloncat-loncat di hadapan mata saya. Pandangan saya pegun di situ. Semakin lama, pandangan saya terhadap visual di depan semakin jernih. Saya dapat membezakan satu jalur berlipat-lipat di selang-seli dengan belitan badan ular. Tapi lihat! Apa itu? Tiba-tiba ular itu mengambil ekornya dengan mulut seolah-olah berpusar-pusar di dalam ilusi saya. Semalaman saya termenung memikirkan tentang apa yang saya lihat di luar batas pemikiran sedar saya untuk menghasilkankan satu hipotesis yang konkrit.”

Mendapat iham melalui mimpi, Kekule membayangkan molekul benzena berbentuk cincin 6 bucu, selah-olah seekor ular memegang ekornya sendiri. Apabila Kekule mengambil bentuk cincin itu lalu diuji, hasil yang diperolehi adalah sepadan dengan fakta dan maklumat kimia benzena. Penemuan ini memberi impak yang besar kepada kemajuan kimia organik di seluruh dunia.

Fenomena yang sama turut berlaku pada tahun 1920an kepada seorang doktor. Frederick Banting turut didatangi mimpi tentang teknik eksperimen yang akhirnya membuatkan beliau berjaya mengaitkan gula dengan paras insulin. Beliau juga bermimpi insulin yang diekstrak daripada haiwan boleh diguna bagi merawat pesakit diabetes. Banting telah dianugerahkan Hadiah Nobel pada tahun 1923 di atas pencapaiannya dalam bidang perubatan yang menyelamatkan banyak nyawa.

Bukan hanya saintis dan pencipta yang menyelesaikan masalah mereka di luar sedar. Banyak artis dan ahli muzik turut mengalami kejadian yang sama.

Dmitri Mendeleev, ahli kimia Rusia telah melihat rekabentuk yang sempurna tentang Jadual Masa di dalam mimpinya. Jadual Masa ini merupakan suatu jadual yang menerangkan elemen bahan-bahan kimia yang pada masa sekarang merupakan rujukan utama bagi disiplin kimia, fizik, biologi, kejuruteraan dan industri.

Seorang astronomer British, Sir Federick William Herschel (15 November 1738-25 Ogos 1822) kelahiran Jerman bermimpi tentang planet Uranus sehingalah beliau menjumpainya pada tahun 1871. Penemuan belau ini mengubah pemikiran astronomer lain bahawa terdapat sebuah planet di antara Planet Marikh dan Jupiter.

Thoman Elva Edison, seorang pencipta prolifik kepada 1093 buah paten di US, UK, Perancis dan Jerman serta pengasas lampu elektrik seringkali tidur di atas bangku kerja sambil memegang sebuah beban di tangan. Apabila beliau terlelap dan beban itu terjatuh, beliau bingkas bangun lalu memanggil kembali mimpi tersebut. Kaedah beliau ini berjaya mengilhamkan banyak ciptaan baru. Selain itu, mesin jahit automatik juga dicipta oleh Elias Howe melalui mimpinya dan Bob Dylon turut menulis lirik lagu berdasarkan apa yang beliau dengari di dalam mimpi.

Mungkin ilham adalah suatu anugerah dari langit, tetapi untuk menggapainya segalas keringat sentiasa menemani. “ Genius in one inspiration and ninety nine perspiration” – Thomas Elva Edison.

2008-04-18

The Avillion Legacy Melaka

Post a Comment