Sejak 2000 tahun yang lalu, Celcus telah melaporkan tentang wanita hamil yang mengalami sawan dan masalah tersebut hilang selepas mereka bersalin. Masalah yang wujud secara sementara ini diberi nama eklampsia (dalam bahasa Greek) yang bermaksud pencahayaan, memberikan gambaran bahawa penyakit ini wujud dengan pantas dan tidak dijangka.
Menurut Profesor Dr. Harbindar Jeet Singh, pensyarah di Jabatan Fisiologi Universiti Sains Malaysia berkata, “Praeklampsia adalah merujuk kepada kenaikan tekanan darah dan proteinuria selepas 20 minggu kehamilan. Ia merupakan penyebab kepada morbiditi dan mortaliti maternal dan meningkatkan masalah perinatal. Oleh kerana proteinuria dan hipertensi mendahului eklampsia, istilah praeklampsia digunakan apabila terdapat proteinuria dan hipertensi semasa kehamilan.”
Proteinuria bermaksud kehadiran protein dalam air kencing. Dalam keadaan normal, protein selalunya tidak dikesan dalam air kencing. Lazimnya, Proteinuria ditakrifkan sebagai kehadiran protein melebihi 300 mg dalam spesimen air kencing yang diambil dalam masa 24 jam atau lebih dari 1+ protein pada kepingan ujian sampel air kencing.
Walaupun banyak ujian telah dijalankan, namun punca praeklampsia masih belum diketahui dengan jelas.
Beliau menambah, “Wanita yang mendapat praeklampsia mempunyai keabnormalan pada aktiviti vasomotor, isipadu plasma dan sistem pembekuan darah dan menjejaskan fungsi sel endotelium. Punca disfungsi sel endothelium walaubagaimanapun masih menjadi spekulasi.”
“Antara faktor yang telah dikemukakan termasuklah sinsitiotrofoblast membrane mikrovilus yang telah masuk ke dalam kitaran maternal, interleukin 1 dan 6, faktor nekrosis tisu neurokinin B dan autoantibodi AT1 dan VCAM-1 dan elastase yang dihasilkan oleh neutrofil yang diaktifkan dalam desidua dan masuk ke dalam kitaran maternal.”
Tanda-tanda dan gejala
Sindrom praeklampsia dicirikan oleh gejala tiga serangkai iaitu tekanan darah tinggi, proteinuria dan/atau sembab:
• Tekanan darah tinggi. Jika tekanan darah anda meningkat 140/90 mmHg dari minggu ke 20 kehamilan ke atas, berjumpalah doktor dengan segera. Jika anda berlengah, ia akan membawa kepada eklampsia yang mengancam nyawa anda dan bayi dalam kandungan.
• Sembab yang berlaku serentak dengan peningkatan berat badan
• Proteinuria
Beberapa tanda dan gejala praeklampsia lain ialah seperti berikut:
• Sakit kepala yang amat sangat.
• Pening dan/atau muntah
• Keliru
• Penglihatan kabur atau ternampak tompokan cahaya
• Demam
Komplikasi yang dialami ibu ialah:
• Eklampsia, iaitu praeklampsia yang lebih serius diikuti dengan sawan atau koma. Sawan sering kali didahului dengan rasa sakit kepala, sakit epigastrik (ulu hati) dan refleks yang terjadi secara mengejut.
• Masalah Ginjal/buah pinggang. Jika tekanan darah tinggi tidak dapat dikawal, buah pinggang mungkin akan rosak. Kerosakan ini akan mengakibatkan proteinuria dengan pengeluaran protein-protein seperti globulin dan transferin dalam air kencing (dalam keadaan biasa atau normal, protein-protein ini tidak terdapat dalam air kencing)
• Masalah Hati. Kerosakan tisu hati boleh berlaku akibat sindrom nekrosis HELLP atau mendapan fibrin dalam organ hati. Praeklampsia juga mungkin berkembang menjadi sindrom HELLP. Sindrom HELLP dikaitkan dengan hemolisis (kemusnahan sel darah merah), peningkatan enzim hati (menandakan kerosakan hati) dan bilangan sel platelet yang rendah (menandakan terjejasnya keupayaan darah untuk membeku). Sindrom ini lebih mudah terjadi sekiranya rawatan dilengah-lengahkan. Pesakit biasanya mengalami sakit di bahagian atas abdomen sebelah kanan, loya dan muntah-muntah.
• Masalah Uri. Risiko berlakunya abrupsi plasenta (uri) meningkat iaitu plasenta terpisah sebahagian atau sepenuhnya dari dinding rahim.
Komplikasi yang dialami janin:
• Masalah uri. Pengaliran darah ke uri yang berkurangan menjadi punca utama morbiditi dan kematian perinatal berkait dengan praeklampsia. Apabila darah yang mengalir ke uri berkurangan, ia menyebabkan oksigen yang diterima oleh tisu uri-janin tidak mencukupi. Ini boleh menyebabkan gangguan tumbesaran janin, janin mengalami hipoksia yang ketara (iaitu keperluan oksigen janin tidak mencukupi) atau dalam kes-kes yang teruk, kematian janin berlaku.
Faktor risiko
Kadar kejadian praeklampsia adalah lebih tinggi pada wanita yang mempunyai ibu yang mengalami praeklampsia menunjukkan terdapat pengaruh genetik ibu di dalam kejadian ini. Tetapi insiden praeklampsia yan lebih tinggi dalam kehamilan pertama berbanding kehamilan seterusnya mengurangkan pengaruh genetik ke atas praeklampsia.
Wanita yang mendapat diabetes mellitus dan hipertensi sebelum hamil mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat praeklampsia. Wanita yang mempunyai darah AB didapati lebih kerap mendapat praeklampsia. Berkemungkinan sistem imuniti maternal tidak bersesuaian dengan allograf fetus.
Wanita yang mencegah kehamilan dengan kaedah sekatan berhadapan dengan risiko dua kali lebih tinggi untuk mendapat praeklampsia pada kehamilan pertama. Selain itu faktor bapa juga didapati memainkan peranan.
Pencegahan
“ Walaupun puncanya masih belum jelas, kita harus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengurang atau menghalang kejadian praeklampsia. Antara yang dapat dilakukan termasuklah pemberian kalsium tambahan dan antioksidan semasa hamil, menggunakan kaedah mencegeh kehamilan yang lain selain dari kaedah sekatan dan mengubah tempoh pendedahan kepada simen (mani) pasangan untuk mengurangkan peranan faktor paternal (bapa),” ulas Profesor lagi.
Oleh : Samhani Ismail
1 comment:
Wah.. Perkongsian yang sangat menarik. Tq admin.. Tanda Bahaya Kehamilan. Pengetahuan yang sangat penting untuk ibu yang sedang hamil.
Post a Comment