Saturday, July 26, 2008

Vaksin Kanser Serviks






Umpama bulan jatuh ke riba. Mungkin inilah perumpamaan yang paling tepat merujuk kepada sejenis vaksin baru yang dikatakan mampu mencegah terjadinya kanser serviks yang amat ditakuti wanita seluruh dunia.

Gardasil, vaksin baru keluaran firma farmaseutikal terkemuka dunia Merck Sharp and Dohme (MSD) ini sudah berada di pasaran dan telah mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia pada Oktober lalu untuk dipasarkan di Malaysia.

Vaksin Rekombinan Human Papilloma Virus (HPV) Kuadrivalen ini dihasilkan khusus untuk mencegah kanser serviks, prakanser vagina, faraj dan prakanser vulva yang disebabkan oleh HPV jenis 16 dan 18.

Vaksin ini digunakan bagi gadis berusia antara 9-26 tahun menerusi tiga dos suntikan. Dengan bayaran minimum RM450, Ia boleh didapati dari klinik O&G, klinik pediatric, klinik amalan am dan hospital swasta bergantung kepada setiap pengurusan pihak perubatan tersebut. Bayarannya boleh dikatakan mahal kerana penghasilannya melibatkan proses biologi molekular yang memerlukan kos yang tinggi.


HPV dan Kanser serviks

Vaksin HPV ini dicipta khas untuk mencegah terjadinya kanser angkara virus HPV. Kebanyakan kanser serviks disebabkan oleh Virus Papilloma Manusia (HPV). Sebenarnya HPV ini hanyalah sejenis virus biasa. Ia mempunyai lebih 100 jenis yang kebanyakannya tidak berbahaya, tidak menunjukkan gejala dan akan hilang dengan sendirinya.

Namun jangkitan oleh HPV 16, 18, 31 dan 45 memberikan risiko yang tinggi kepada mangsa. Jika dibiarkan berlarutan, ia akan mengakibatkan kanser serviks dan kanser lain pada kemaluan. Individu yang kerap melakukan zina dan bertukar-tukar pasangana akan diserang penyakit ini apabila usia telah hampir separuh abad dan sistem imun badan telah hampir lemah.

Apa yang ditakuti, pada peringkat awal serangan virus ini, tiada gejala yang dapat dikesan. Apabila penyakit ini berkembang, mangsa mungkin akan mengalami beberapa petanda samada pendarahan faraj yang luarbiasa, pendarahan antara haid, pendarahan selepas bersetubuh, haid lebih lama dan lebih banyak darpada biasa, pendarahan selepas menopause, lebih banyak lelehan faraj, sakit pada tulang pinggul dan rasa sakit semasa bersetubuh. Namun, semua ini hanya dapat dikesan apabila penyakit sudah sampai ke tahap kronik dan sukar diubati.



Vaksin HPV ini akan diberi melalui tiga dos suntikan dengan selang dua bulan antara dos pertama dan selang empat bulan antara dos kedua dan dos ketiga. Vaksin ini turut diluluskan untuk mencegah ketuat alat kelamin dan zona tisu rosak yang disebabkan oleh HPV jenis 6, 11, 16 dan 18.


Mekanisma Tindakan Vaksin HPV


Vaksin ini membantu sistem imun mempertahankan serviks daripada serangan virus. Ia mencetuskan penghasilan antibodi peneutralan yang menyekat dan menghalang virus dari menjangkiti lapisan sel dasar.

Vaksin HPV ini juga bertindak dengan mencetuskan antibodi yang menyerupai virus HPV. Virus mengandungi partikel kosong (VLPs) berisi protein virus yang hampir sama dengan HPV, tetapi ia tidak berjangkit. Apabila sistem imun mengesan VLPs, ia akan menghasilkan antibodi untuk menyerang HPV.

***

Biasanya, kanser serviks dihidapi oleh mereka yang kerap melakukan zina atau yang sering bertukar-tukar pasangan. Dikhuatiri, kewujudann vaksin ini seolah-olah menggalakkan lebih banyak pergaulan bebas dan zina berlaku di dalam masyarakat.

Puak gereja di Amerika Syarikat sebelum ini telah melakukan bantahan terhadap pengeluaran vaksin HPV atas alasan di atas. Tetapi bagaimana pula pandangan Islam? Untuk itu, penulis telah menemubual seorang pakar Fiqh dan Usul, iaitu Datin Paizah Ismail yang merupakan seorang pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur.

Apakah pandangan islam mengenai kewujudan vaksin HPV ini?
Setakat ini, tiada fatwa yang dikeluarkan mengharamkan penggunaan vaksin ini di Malaysia.

Kita perlu melihat kepada objektif penciptaan sesuatu bahan itu. Setiap perkara yang Allah jadikan ada tujuannya. Pada mulanya ia baik, tetapi jika diolah untuk tujuan yang tidak baik, ia jadi tidak baik dan begitulah sebaliknya jika ia digunakan untuk tujuan yang baik.

Semua perkara yang Allah jadikan ada kebaikannya. Tuhan tidak menjadikan apa-apa di atas muka bumi ini untuk merosakkan manusia. Hanya manusia yang menggunakannya untuk merosakkan diri mereka sendiri.

Masyarakat mempunyai pelbagai tangapan tentang program imunisasi atau pemvaksinan ini. Sesetengahnya memandang ia sebagai satu perkara positif dan sesetenaghnya pula sebalinya. Ada berpendapat vaksin adalah satu senjata puak Yahudi dan di pihak lain pula berpendapat ia adalah satu agenda politik. Apa pandangan Datin mengenai hakikat ini?
Para saintis telah melakukan banyak penyelidikan berkaitan vaksin ini. Mereka mencipta vaksin untuk tujuan perawatan yang semestinya untuk kebaikan manusia. Mungkin ada segelintir masyarakat yang tidak melihat sesuatu perkara secara objektif.

Manusia perlu berfikir secara syariat. Syariat menetapkan bahawa kita harus berfikir secara positif dengan melihat kepada maslahat (kebaikan) yang bakal diperolehi oleh manusia. Kita jangan berfikir secara negatif atau undur ke belakang dengan menolak kembali apa yang telah dicapai. Apa sahaja yang mendatangkan kebaikan dibolehkan dalam Islam. Tetapi kalau ia bertujuan merosakkan, ia tidak dibenarkan dalam Islam sekalipun.

Vaksin, walaupun ia dianggap kurang suci oleh sesetengah orang, tetapi ia dibuat untuk melawan penyakit demi kebaikan manusia. Mungkin ia dicipta untuk tujuan politik, atau perubatan, tetapi kita perlu mengambil pendekaatan secara bersama. Perlu mengambil apa yang memberi kebaikan kerana kita mahukan kebaikan di atas muka bumi ini.

Maka bagaimanakah seharusnya dilakukan oleh masyarakat dan kerajaan untuk menangani konflik ini?

Melihat kepada objektif asalnya, ia bertujuan untuk merawat dan mencegah penyakit kanser serviks. Namun kebimbangan tercetus apabila ada segelintir masyarakat yang mengeksploitasikannya dan menyalahgunakannya. Janganlah sampai mengharamkan pembuatannya tetapi kerajaan perlu mengambil langkah awal berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku.

Sebagi analogi, dalam sebuah kumpulan guru, terdapat salah seorang daripada mereka yang tidak dapat memakan makanan masin. Lantas makanan yang disediakan oleh pihak catering untuk guru-guru tersebut adalah tawar-tawar belaka. Semua guru tadi terpaksa memakan makanan tawar walaupun mereka tidak berpenyakit.


Kena ada langkah pengawalan. Ada baiknya diciptakan sekurang-kurangnya dapat membantu siapa yang amat memerlukan. Dalam Islam, apapun bahan untuk perawatan adalah dibolehkan. Bukannya menolak secara total tetapi perlu dikawal dengan bijak.

Segalanya kembali kepada manusia yang dibekalkan dengan sifat jahat dan baik. Kalau diguna untuk rawat kanser, ia bagus.

Setiap benda baru akan mendapat tentangan daripada masyarakat. Tidak mudah untuk masyarakat menerima sesuatu yang baru dengan positif.


Rujukan : 1st Part : Dr Abdul Fatah bin Yaso’ ( Pengamal Perubatan Moden, Klinik Fatah dan Abdullah, Kota BHrau, kelantan) 2nd Part : Datin Paizah Ismail ( Jabtan Fiqh dan Ususl, Akadei Pengajian Islam Universiti Malaya Kuala Lumpur)


Oleh : Samhani Ismail
(Tersiar di Majalah Anis-Ogos 2007)

No comments: