Monday, August 15, 2005

Tikaman Zikir Mampu Merawat Kronik Major Depression !


Siapa kata zikir hanyalah sekadar amalan biasa umat Islam. Saya sering mendengar dan dinasihatkan agar berzikir.. mudah-mudahan hatimu tenang. Sebagaimana termaktub di dalam kitab suci al-Quran, “ sesungguhnya dengan mengingati Allah, hatimu akan menjadi tenang..” Ramainya manusia tidak tenang di zaman moden ini sehinggakan bilangan pesakit mental di negeri Johor telah mencatat 10 peratus daripada sebilangan penduduk negeri maju tersebut.

Begitu mudahkah untuk menjadi tenang ? Mungkin anda menyangkakan di saat anda berduka, di saat anda kecewa, depress dan sudah berputus asa untuk hidup, anda akan tenang setelah membaca sejuzuk ayat al-Quran atau seribu kali tasbih fatimah. Tidak disangkal, bagi mereka yang tidak mengalami gangguan emosi atau mental, zikir sebegini sudah cukup untuk memberikan anda rasa ketenangan yang mendamaikan sekaligus merasa bahagia dengan diri anda.

Namun, bagi mereka yang tertimpa dengan ujian hidup yang amat berat seperti kehilangan orang tersayang, mendapat penyakit yang sukar dirawat, lumpuh dan sebagainya sehingga menyebabkan mereka terjatuh ke lubang depresi, bukan mudah bagi mereka untuk kembali merasa tenang malah untuk beremosi seperti manusia yang normal jua amatlah jauh. Mereka yang mendapat penyakit Depression ini diselimuti dengan pelbagai gangguan emosi seperti merasa murung, resah gelisah, tidak dapat tidur, runsing, sedih yang terlalu menekan sehingga tiada selera makan dan sebagainya. Di samping itu, gangguan emosi ini mengakibatkan kesan buruk kepada mental. Pesakit Depression terlalu memendam dan tidak mampu meluahkan rasa hati mereka lantaran fikiran mereka tidak dapat menafsir apa yang terkandung di otak. Mereka akan mengambil masa yang lama untuk menjawab setiap persoalan yang ditujukan. Kadang-kadang jawapan yang mereka berikan amatlah bercelaru dan sukar difahami.

Saya merasa amat kesal apabila saya membelek buku tentang perawatan terhadap penyakit ini, tiada ubat yang baik yang saya jumpa melainkan kaedah-kawedah pengubatan ini memerlukan pesakit mengambil dadah penenang dan menukar tabiat sosial mereka. Yang lebih parah, pesakit disarankan melakukan beberapa aktiviti bagi meredakan ketegangan perasaan seperti pergi ke kelab malam dan menari sepuas hati bersama pasangan, berbogel bersama pasangan, minum arak, memakai pakaian yang menjolok mata, keluar sehingga lewat malam dan sebagainya. Namun, setiap agama di dunia ini mempunyai pandangan tersendiri tentang penyakit ini. Banyak agama menyarankan agar pesakit melakukan aktiviti yang menyeronokkan bagi mengurangkan stress seperti melakukan meditasi, senaman dan mengubah diet harian.

Melewati punca penyakit ini, secara fizikalnya, penyakit ini berpunca dari kekurangan bahan kimia pneuropancar seperti serotonin, dopamine dan monoamine. Otak manusia terdiri daripada 10,000 juta neuron. Setiap satunya mempunyai kemampuan menghasilkan caj elektrik kecil terhadap yang lain melalui tujuh atau lapan ribu silangan. Melihat kepada struktur sel neuron, ekor setiap sel berpecah kepada ribuan gentian yang mana setiap satunya diakhiri dengan pembengkakan yang dipanggil butang terminal. Caj elektrik bergerak dari kepala ke bahagian ekor. Kita akan lihat di antara butang-butang terminal ini terdapatnya suatu ruang yang dinamakan sinaps. Arus elektrik tidak boleh melepasi sinaps ini tetapi ia akan menyebabkan pertukaran pada bahan kimia pada sinaps. Pertukaran ini akan menguja arus dari kepala sel yang berikutnya. Bahan elektrik kima ini dipanggil neurotransmitter kerana mengalirkan caj elektrik secara berkesan dari sel neuron kepada neuron yang berikutnya. Namun jika dua jenis neurotransmitter ini iaitu monoamine dan katekolamin kehabisan atau berkurang, ghairah pada otak akan menurun menyebabkan individu tersebut menjadi sedih. Maka apakah ubat yang boleh merangsang kembali penghasilan bahan neuropancar ini ? Setakat ini, masih belum ada kajian mendalam yang membuktikan zikir mampu menjadi penawar yang mujarab.

Dalam menjawab persoalan yang kerap berlegar di minda saya, jawapan yang diberikan oleh Tuan Guru Dr Jahid bin Hj Sidek, Mursyid Tarekat Naqshabandiah Khalidiah membuka mata dan hati saya pada tingginya nilai ungkapan zikrullah. Betapa unggulnya lakaran sejarah, Islam kembali bangkit setelah kalah teruk dalam peperangan dengan tentera Mongol yang sungguh kejam. Kekuatan orang Islam tersembunyi di lubuk hati, berpilin dalam urat nadinya, dan urat nadi itu adalah tasawwuf dan ajaran sufi, berpaksikan zikrullah.

Manurut Dr Jahid, pesakit yang tidak sembuh melalui perawatan moden diubatkan di pusat rawatan beliau iaitu Pusat Rawatan al-Manarah, Sungai Buloh, mengikut kaedah-kaedah yang tertentu terutamanya ketukan. Kawasan ketukan utama bagi pesakit Depression adalah sekitar pelipis, dahi, dagu bagi yang stress, belakang, lengan dan punggung serta di belakang lutut. Ketukan yang menggunakan ranting kayu nona dalam lingkungan 30cm panjang dan 0.5 diameter ini menghasilkan sensasi kesakitan yang amat pada mulanya. Apabila kesan lebam muncul, kesakitan akan berkurangan menandakan penyakit sudah sembuh. Membandingkan dengan rawatan Elektrokonvulsif yang menyalurkan 100 volt tenaga elektrik di kawasan pelipis bagi meransang otak menghasilkan lebih banyak pneuropancar, ketukan di tempat tersebut meyakinkan saya ketepatan kaedah rawatan ini.

Melihat perkembangan pesakit yang mengamalkan zikir tahlil mengikut tarekat ini selama tempoh ujikaji, meyakinkan saya hebatnya tikaman kalimah ‘La Ilaha Illallah’ . Tikaman yang padu pada hati kanan dan kiri dengan kaedah tertentu disertai ingatan yang jitu bahawa ‘ Tiada yang Disembah melainkan Allah’ mengalirkan bukan sahaja keringat di dahi, bahkan semangat yang membakar di kalbu. Pesakit merasa tenaganya mengalir ke segenap saluran darah bersama momentum semangat yang meluncur laju. Perjalanan darah meningkat. Zikir menakluki hati dan segenap jasad bagaikan menghalau keluar segala kekusutan fikiran, kemalasan, kegelisahan dan segala penyakit hati yang lain. Namun, bukanlah tujuan berzikir untuk mendapat kebaikan sampingan seperti yang diterangkan di atas melainkan zikir adalah dengan niat semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan keredhaanNya. Seseorang yang rapat dengan Tuhannya, ia mendaapat lebih daripada jangkaan. Terbukalah dinding yang menutupi mata hatinya dan tersingkaplah pelbagai lagi kebesaran Tuhan yang tidak mampu dilihat oleh manusia-manusia lain yang mempunyai hati yang penuh dengan karat maksiat.

Dr Jahid menegaskan, “Tasauf itu amalan yang harus diterima dengan hati, bukan dengan fikiran. Kadang-kadang orang yang mendengar itu merasa ia lebih bijak. Untuk mempelajari tasauf ini, anda hendaklah kenal guru anda dan kena kenal juga guru kepada guru anda’. Beliau menambah lagi, dalam zikir Ismu Zat, zikir letaknya di hati. Lidah menyebut ‘Allah ! Allah !’dan jari telunjuk kanan perlu menjalankan zikir, bukan bilang tapi jalankan. Ini untuk memandu bacaan hati. Fikiran harus ditumpukan, rasa-rasa melihat Allah.’

Satu pembuktian yang tidak disengajakan, dalam ilmu perubatan, untuk merawat salah satu penyakit jantung, doktor perlu memasukkan kateter ke dalam jantung. Kateter ini dimasukkan melalui jari telunjuk kanan, ia akan sampai ke jantung. Dari sini terdapat juga laluan yang menyambungkan jari telunjuk ke otak sebagaimana pergerakan jari telunjuk kanan memandu hati berzikir dan meneguhkan fikiran kepada Allah.

Rangkaian hipotesis telah dijalinkan. Mungkin suatu hari nanti lebih banyak penyelidikan yang akan menjawab persoalan ‘ Ala bizikrillah tatmainnul qulub..’ Ar-Ra'du : 28.

11 Ogos 2005

No comments: