Friday, September 26, 2008

Manajemen Qalbu @ Kalumpang Resort 19-21 Ramadhan

Manajement Qalbu - jurnal perjalanan 1

“Seorang pergi, balik cerita, rasa macam tak percaya.”

”Seorang lagi pergi, balik cerita, rasa macam tak percaya.”

”Dan bila balik, memang betul-betul tak percaya.”


Bila saya baca email ini di dalam yahoogroups Nisa’ Team, saya teruja untuk hadir ke program ini. Setelah bermesyuarat di Villa Nisa’, apabila sampai sahaja ke rumah, terus saya beritahu kepada suami, ”Abe, konform dah saya pergi Manajement Qalbu.” Suami saya terus mengangguk. ”Pergilah. Tapi di mana?” Saya menjawab, ”Kalumpang Resort, Tanjung Malim”.

Saya memulakan perjalanan pada petang Khamis 18 September. Tidak mengapa saya tidak pernah memandu sendirian sejauh itu, tapi hari ini saya nekad melakukannya. La takhaf wa la tahzan, innallaha ma’ana.. Dari UMT, singgah di rumah di Batu Rakit, terus menghala ke tempat berkumpul, UPWBS Kota Bharu, Kelantan. Alhamdulillah. Allah memudahkan segalanya dan saya sampai dalam keadaan selamat.



'Pose' di pagi Jumaat..saya berdiri di kanan sekali

Manajement Qalbu- Jurnal Perjalanan 2

6.00 petang- Sudah ramai sahabat yang datang, dan sebenarnya jumlah yang ramai ini adalah paling ramai berbanding Nisa daripada negeri-negeri lain. Tapi janganlah takjub dengan bilangan kita yang ramai. It’s not about the numbers. It’s quality, begitu kata Pak Mulyadi..

Manajement Qalbu adalah hadiah dari Nisa’ Malaysia. Sebagaimana tahun lepas, berlangsungnya pertemuan pada hari Badar Kubra di The Zon KLCC, pada tahun ini pula, kami dihadiahkan dengan suatu program besar, iaitu Manajement Qalbu. Dengan menjemput 3 orang trainer dari Daarut Tauhid, Bandung Indonesia, semua ahli Nisa’ tidak terkecuali menjadi peserta.

Kami datang ke sini lantaran suatu amanah yang mesti dilaksanakan bersama-sama. Amanah sebesar ini tidak akan terkendong di bahu seorang insan yang sifatnya serba lemah dan kekurangan. Lantas kami harus bersama-sama belajar mengenali hati supaya kami lebih berhati-hati dalam menjaga hati. Menyucikan hati agar ukhuwwah yang terbina ini tidak akan dicalari oleh kecuaian. Lalu terkelar dan terlukalah kesetiaan, lantas mengundang musibah di luar duga. Ya.... kami ingin. Qalbun Salim... Hati ini harus bersih. Hati yang mengangkat Islam dan menyebarkan agama Allah ini harus bersih tanpa karat-karat dosa.



Manajement Qalbu – Jurnal Perjalanan 3

Sukar untuk saya menulis satu persatu tentang banyaknya rantaian hikmah yang terhimpun di dalam Pelatihan Manajement Qalbu ini. Lebih sukar untuk saya mentafsirkan apakah yang dirasakan oleh sahabat-sahabat saya di sini. Namun, dari riak wajah yang mengorakkan senyuman puas, sudah cukup meyakinkankan saya, bahawa mereka ’bahagia’. Sudah terungkai simpulan-simpulan kusut yang menyesakkan dada. Pertemuan besar seluruh keluarga Nisa’ dari seluruh negeri sedari Perlis hingga ke Sabah ini menyemarakkan rasa syukur, bahawa di sana adanya sahabat-sahabat yang senantiasa setia menemani kami dengan hati nan penuh terbuka. Hati yang bersih. Hati yang tiada unsur dusta, dengki apatahlagi khianat. Kerana kami adalah satu. Kami bukan Nisa’ Kelantan. Kami bukan Nisa’ Malaysia. Kami bukan Nisa’ Wilayah Persekutuan. Kami adalah Nisa’. Ya, kami adalah Nisa’. Dan Nisa’ adalah kami. Kami turut merasakan sakit yang sama jika salah seorang daripada kami disakiti.



Sahabat.. dalam kabus ku tercari cahaya.. akhirnya kutemui sinar ceria di raut wajahmu.
Sahabat, aku ingin sepertimu dalam ketenangan dalam menghadapi hidup ini..

Manajement Qalbu - Jurnal Perjalanan 4

Angkat tangan ke kanan, letak di atas bahu kawan. Tepuk..

Cik, Cik, Cik,

Puan, Puan, Puan,

Jangan tidur ya!

Angkat tangan ke kiri, letak di atas bahu kawan. Tepuk.

Cik, Cik, Cik,

Puan, Puan, Puan,

Hari ini saya akan berusaha dan berjaya lagi!

Kamu saksinya...

Selamat... selamat...

Luarbiasa... memang MQ luarbiasa!! Soal hati adalah satu perkara yang berat untuk dibicarakan dan biasanya melibatkan pembentangan yang berat-berat. Tetapi, MQ ini berbeza sekali. Sebuah pemahaman yang tinggi tetapi dibawa dalam wacana yang ringkas dan menyeronokkan. Cukup memberi kesan. Mereka mendatangkan hikmah-hikmah Islam yang tidak terkutipkan. Kami menangis, kami terkedu, kami terpesona... kerana Islam ini sungguh indah untuk dikecapi! Tahniah Daarut Tauhid. Tahniah Pak Ustaz Mulyadi, Ustaz Nasir dan anda semua.



Kami yang sedang bertungkus-lumus


Manajement Qalbu – Jurnal perjalanan 5

Sayang sekali, esok sudah hari terakhir. Di biru langit Kalumpang Resort ini kami bersama-sama mengunyah mutiara-mutiara hikmah yang ditabur. Apa gunanya menghabiskan waktu sehingga 3 hari 2 malam kalau bukan ilmu mereka menjadi milik kami. Kami bubarkan saja keresahan dan rindu dendam terhadap keluarga di rumah dan kami serahkan mereka kepada Allah. Allahlah yang menjaga mereka. Biarkan kami meraut keindahan-keindahan Islam dan kemanisan bersahabat di sini dengan tenang, agar kami kuat di medan juang. Kami pendam igauan bersama keluarga untuk terus bertahan di sini kerana itu adalah bekalan kepada tugas kami yang tidak pernah ada kompromi.

Di malam terakhir, kami dihadiahi lagi. Hadiah yang cukup besar dan paling bermakna. Tiada yang lebih besar dari mengingati kematian. Saat mati itu adalah saat yang paling pedih. Saat ditinggalkan ataupun kita sendiri yang meninggalkan, mengheret segala amalan baik dan buruk semasa roh bersatu dengan jasad. Apabila kami membuka mata, sudah ada sebuah batu nisan yang tercatit nama kami, sekeping borang wasiat dan sehelai kain kafan. Hancur luluh hati ini mengingatkan dosa-dosa kelam yang menari-nari di tubir mata. Terigatkan ibu ayah, suami dan keluarga. Sempatkah berbakti kepada mereka? Sempatkah saya memohon ampun dari mereka? Saya mengambil kain kafan saya dan menciumnya. Air mata luruh lagi. Saya ingin membuang segala kesedihan saya terhadap dunia kerana saya harus bersiap untuk menghadapi kesedihan di akhirat sana. Kemudian, apabila lampu dipasang, kami bersalam-salaman. Salam dari air keinsafan, penyesalan dan salam ikhlas kasih sayang terhadap sahabat-sahabat seperjuangan.


Yang paling dekat dengan diri ini adalah kematian. Bersiaplah sekarang..


Saya nanar seketika. Kemudian, saya maju selangkah mencari wajah-wajah mereka yang sentiasa mekar. Saya melihat Adyani dan Kak Ti yang sedang menggenggam erat dalam tangis mendalam. Saya memeluk mereka. Saya lebih sedih sebenarnya kerana saya selalu cuai dengan amanah saya. Dan saya lebih sebak lagi kerana selepas ini, saya mungkin akan meninggalkan Nisa’ Kelantan. Rumah saya di Terengganu. Saya perlu bersiap untuk menyertai Nisa’ Terengganu, tetapi janganlah antunna membuang saya. Jangan luputkan saya dari kenangan antunna ye.. kerana hati saya ini masih tertinggal di Kota Bharu.. itu sebenarnya. Luarbiasa...


Bergambar kenangan bersama Pak Ustaz Nasir, Daarut Tauhid


Untuk melihat koleksi gambar MQ lagi, sila layari http://mynisa.multiply.com/photos/album/92

Somehoney/250908/fail 3N

Post a Comment