Wednesday, September 03, 2008

Puasa Menyihatkan Badan

Secara umumnya, berpuasa pada bulan Ramadhan amat menyihatkan. Pelbagai kajian telah dilakukan oleh para saintis dan hasilnya membuktikan puasa amat baik untuk badan. Ujian-ujian menujukkan puasa berjaya menurunkan paras gula dalam darah tanpa mendatangkan kemudaratan. Kadar kolesterol LDL yang dikenali sebagai kolesterol jahat menurun sebaliknya jumlah kolesterol HDL (kolesterol baik) meningkat. Paras lemak dalam darah juga secara umumnya menurun.

Kajian lain yang dilaporkan di dalam Islamic Perspectives in Medicine Trust Publications, Indianapolis turut mengatakan, puasa pada bulan Ramadhan tidak memudaratkan kesihatan. Malah puasa diperlukan oleh badan kerana merangsang metabolisma badan sekaligus mencegah badan daripada serangan penyakit-penyakit terutamanya yang berkaitan dengan kelebihan lemak dan gula.

Di dalam Annals of Nurition and Metabolisme turut melaporkan sebuah kajian yang dilakukan ke atas 32 orang lelaki yang berpuasa Ramadhan, peratus kolesterolnya menurun sebanyak 7.9 peratus dan lemak trigliserida juga menurun sebanyak 30 peratus. Pada masa yang sama, paras HDL meningkat 14.3 peratus dan paras itu berkekalan selama sebulan. Mereka turut mendapati berat badan orang yang berpuasa menurun sebanyak 2.6 peratus pada hari ke-29 Ramadhan.

Kajian-kajian ini menguatkankan hujah bahawa puasa di bulan Ramadhan sesungguhnya membawa kebaikan kepada umat Islam sehingga ia menjadi kefarduan bagi setiap yang mumayyiz.


Ref : Dr Danial Zainal Abidin, 2008, Dwan Kosmik September. m/s 8
Post a Comment