Wednesday, September 17, 2008

Update blog?

Hmmm..ada jugak orang suruh saya update blog nih.. terima kasih ya cik adik. Macam pahat dengan penukul. Sekali diketuk baru buat kerja hehe.. Dalam semingu dua ini jadual saya agak padat. Saya sebenarnya sedang berkejar menyiapkan ujikaji makmal yang akan saya bentangkan pada akhir bulan Oktober ini kepada Institut Penyelidikan Perikanan dan juga penyelia saya.

Mem'purify' dan meng'karakter'kan enzim protease daripada sistem pencernaan ikan patin. Begitulah projek saya semenjak Februari lalu. Setelah menghadapi beberapa rintangan dalam menjalani projek, akhirnya saya 'ngam' dah dengan perut-perut ikan ini. Bau busuk, malas, tiada sokongan kawan-kawan, susah, tak faham metod, bahan kimia tak sampai-sampai... adalah sebahagian daripada pahit manis melakukan penyelidikan. Itulah lumrah buat 'research'. Semuanya bergantung kepada diri sendiri. Kena usaha, kena selalu bincang dengan Dr 'part' mana yang tak faham dan yang paling penting kena selalu berdoa dan baca Al-Quran supaya Allah melapangkan hati saya. Mudahlah kerja saya nanti.

Never say never! No pain no gainlah.

Nenek Meninggal


Minggu lepas juga, saya banyak kali berulang-alik dari Terengganu ke Kelantan. Nenek dari sebelah arwah ayah (yang saya panggil Mok) sudah uzur, dan baru sahaja meninggal dunia. Umpama ada satu persamaan,8 September 2008, nenek menyahut seruan ke rahmatullah. Sembilan belas tahun lepas, Isnin juga (seingat saya), sesudah Subuh, ayah kembali mengadap Ilahi. Pada waktu dan hari yang sama, mereka sama-sama meninggalkan dunia ini. Bezanya nenek pergi di bulan Ramadhan..

Pada hari tersebut, saya dalam perjalanan ke tempat kerja. Kereta yang dipandu suami sudah memasuki pagar Universiti Malaysia Terengganu. Hanya berjarak 10 meter untuk melangkah ke Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan dan 'punch in', Abe membuat pusingan U. Fikiran berubah serta-merta. Kami harus balik ke Kelantan, ke Kampung Kok Pasir sebelum mayat disempurnakan. Saya membuat 'Emergency Leave' dan membatalkan niat untuk masuk makmal, begitu juga suami yang turut terpaksa mencari pengganti bagi mengajar kelasnya pagi itu. Terima kasih Abe, sanggup korbankan masa dan tenaga..


Cukup 2 jam di jalan raya, kami sampai di rumah arwah nenek. Ramai dah orang di rumah. Mereka yang hadir bergilir-gilir membaca surah yasin di sekeliling tubuh arwah yang hanya tinggal jasad. Kamudian, saya dan kakak turut menyinsing lengan membantu memandikan arwah nenek. Tubuh nenek hanya tinggal kulit dan tulang. Sudah dimamah usia..90 tahun lebih dah.. Semua anak-anak dan suami nenek sudah pergi dahulu melainkan anak sulungnya sahaja yang masih tinggal.

Saya menggosok perlahan-lahan tubuh nenek kerana takut jasadnya masih terasa sakitnya semasa roh dicabut. Neneh tidak membantah. Tubuhnya kaku. Mulutnya tertutup rapat. Beginilah saya suatu hari nanti. Saya menggosok lagi jari-jari kaki nenek dengan kapas. Saya membelek di celah-celah jari kaki beliau, menjirus air lagi dan menyabunkan. Kami sabun beliau sungguh-sungguh. Inilah kali pertama saya melihat mayat dimandikan. Dimandikan sebersih-bersihnya untuk mengadap Tuhan. Membawa segala amalan baik dan mengheret sama keburukan-keburukan yang telah dilakukan.

Mulut kami bertasbih tanpa henti. Semuanya diam dan khusyuk. Bau wangian setanggi memenuhi ruang kamar menyentuh rongga hidung sehingga ke hati saya. Saya membantu lagi apa yang patut. Memandikan mayat kerana saya juga nanti akan dimandikan. Akhir sekali, arwah dibilas dengan air barus dan diangkat untuk dikafankan. Saya menghulurkan tangan sekali lagi. Saya balut di setiap sendi-sendi dengan kapas.

"Letak tangan itu seperti semasa kita sedang bersembahyang," Ustazah mengajarkan. Saya mengangguk. Saya lipat tangan nenek. Letak tangan kiri dan kemudian tangan kanannya di atas abdomen. Seperti sedang sembahyang. Kemudian, kami balut tubuh nenek dengan kain kapan dan ikat di beberapa bahagian agar balutan itu kemas. Kemudian ustazah menyarungkan kain telekung sembahyang. Hati saya sebak melihat nenek disarungkan telekung sembahyang. Nenek seakan sedang senyum. Cantik. Wajah beliau pucat tapi ada keserian. Saya menatap wajah nenek lagi tanpa puas.

Akhirnya kami selesai. Alhamdulillah.

"Ha, boleh kucup dah," kata ustazah sambil memandang wajah-wajah yang mengerumuni arwah." Panggil semua anak cucu naik kucup dahi buat kali terakhir," beliau mengulangi.

Saya tersentak. Saya tenung nenek lalu memandang wajah-wajah yang memenuhi ruang tersebut.


"Awak dululah. Awak duduk paling dekat." Ustazah berkata kepada saya.

Saya tersentak lagi. Saya pandang wajah nenek kemudian perlahan-lahan saya menundukkan badan. Tangan kiri saya menyentuh ubun-ubun nenek dan mengucupi dahi arwah. Ada kesayuan bermukim lama. Saya memandang wajah nenek untuk kali yang terakhir. Ya, itulah kali terakhir. "Allahummarhamha war hamna.. Allah rahmatilah beliau, dan rahmatilah kami..semadikanlah beliau dengan tenang dan jadikanlah kuburan beliau sebagai tempat untuk beristirehat. Saya juga berdoa untuk arwah ayah dan arwah adik lelaki saya. Bilakah saya akan berjumpa dengan mereka? Kerana saya sudah terlalu rindukan mereka ..

Post a Comment