Tuesday, August 23, 2005

KISAH DALAM RIBUT

Malam menguak antara rimbun daun-daun
Titis gerimis melalui lubang pondok usang
Dalamnnya gadis tani merangkum lutut
Kedinginan merayap ke tulang-tulang kecut

Sesekali kilat menyambar ngeri
Pondok usang dimandi hujan dinihari
Adik-adik menangis menghampiri
Manakala ayah yang tak pulang sampai ke kini ?

( Ibu tercinta telah meninggal dunia,
Ayah miskin jauh pergi membuat huma)

Petir mengamuk memancung pohon
Pondok usang remuk seperti timun
Suara jeritan sayup antara pelepah kelapa
Suluhan kilat menampakkan tiga mayat bertimpa !

Usman Awang 1955

LAGU DAN TARI

Semalam kulihat sebuah tari
Dada montok berlenggok
Nafsu jalng dan mata penuh berahi
Dengan muzik nada liar memuncak tinggi

Mata penonton berkisar melebar
Paha putih dalam nafsu menjalar

Segala terbuka dan segala mendamba
Dan berahi mematuk-matuk pada diri, meminta

Itulah lagu dengan tari pada malam panjang
Senantiasa berulang pada zaman gila perang
Sedang esok segala hati dan tulisan memuji
Inilah seni, hasil gemilang ‘seniman’ sejati

Usman Awang
1954

Monday, August 15, 2005

Sekental Sabarmu

Sekental Sabarmu

Bagai tertusuk atmaku kian gerhana
Melihatmu kaku begitu
Hari hari aku mengunjungimu
Meskipun kau masih begitu
Aku resah melihatmu
Di bilik suram tubuhmu layu
Di bawah kipas berputar sayu
Dan lenta turut tersendu..

Ku renung mata pucatmu
Di balik kelopak yang sedia bersatu
Bersama remang dingin mencucuk
Ku lihat ada manik yang bertakung
Berkemilau disapa suara mentari
Yang mengangkat semangatmu untuk berdiri

Kau pandang mata kalutku
Dengan senyuman menyebak hatiku
Kau belai kasihanku
Katamu ‘ ini ujian Tuhan buat dirimu’
Ah, sahabatku
Aku malu pada cekalmu
Dari mana kau bina gelas tabah
Sedang jaringan hidupmu luka punah
Sempatku menafsir serantai madah
Empati padamu
Tidak mampu menukar kehendak
Dia menentu tiap mahuNya
Dan aku
Hanya mampu mengangkat doa
Pada segulung air mata yang berjurai..

12 ogos 2005

Tikaman Zikir Mampu Merawat Kronik Major Depression !


Siapa kata zikir hanyalah sekadar amalan biasa umat Islam. Saya sering mendengar dan dinasihatkan agar berzikir.. mudah-mudahan hatimu tenang. Sebagaimana termaktub di dalam kitab suci al-Quran, “ sesungguhnya dengan mengingati Allah, hatimu akan menjadi tenang..” Ramainya manusia tidak tenang di zaman moden ini sehinggakan bilangan pesakit mental di negeri Johor telah mencatat 10 peratus daripada sebilangan penduduk negeri maju tersebut.

Begitu mudahkah untuk menjadi tenang ? Mungkin anda menyangkakan di saat anda berduka, di saat anda kecewa, depress dan sudah berputus asa untuk hidup, anda akan tenang setelah membaca sejuzuk ayat al-Quran atau seribu kali tasbih fatimah. Tidak disangkal, bagi mereka yang tidak mengalami gangguan emosi atau mental, zikir sebegini sudah cukup untuk memberikan anda rasa ketenangan yang mendamaikan sekaligus merasa bahagia dengan diri anda.

Namun, bagi mereka yang tertimpa dengan ujian hidup yang amat berat seperti kehilangan orang tersayang, mendapat penyakit yang sukar dirawat, lumpuh dan sebagainya sehingga menyebabkan mereka terjatuh ke lubang depresi, bukan mudah bagi mereka untuk kembali merasa tenang malah untuk beremosi seperti manusia yang normal jua amatlah jauh. Mereka yang mendapat penyakit Depression ini diselimuti dengan pelbagai gangguan emosi seperti merasa murung, resah gelisah, tidak dapat tidur, runsing, sedih yang terlalu menekan sehingga tiada selera makan dan sebagainya. Di samping itu, gangguan emosi ini mengakibatkan kesan buruk kepada mental. Pesakit Depression terlalu memendam dan tidak mampu meluahkan rasa hati mereka lantaran fikiran mereka tidak dapat menafsir apa yang terkandung di otak. Mereka akan mengambil masa yang lama untuk menjawab setiap persoalan yang ditujukan. Kadang-kadang jawapan yang mereka berikan amatlah bercelaru dan sukar difahami.

Saya merasa amat kesal apabila saya membelek buku tentang perawatan terhadap penyakit ini, tiada ubat yang baik yang saya jumpa melainkan kaedah-kawedah pengubatan ini memerlukan pesakit mengambil dadah penenang dan menukar tabiat sosial mereka. Yang lebih parah, pesakit disarankan melakukan beberapa aktiviti bagi meredakan ketegangan perasaan seperti pergi ke kelab malam dan menari sepuas hati bersama pasangan, berbogel bersama pasangan, minum arak, memakai pakaian yang menjolok mata, keluar sehingga lewat malam dan sebagainya. Namun, setiap agama di dunia ini mempunyai pandangan tersendiri tentang penyakit ini. Banyak agama menyarankan agar pesakit melakukan aktiviti yang menyeronokkan bagi mengurangkan stress seperti melakukan meditasi, senaman dan mengubah diet harian.

Melewati punca penyakit ini, secara fizikalnya, penyakit ini berpunca dari kekurangan bahan kimia pneuropancar seperti serotonin, dopamine dan monoamine. Otak manusia terdiri daripada 10,000 juta neuron. Setiap satunya mempunyai kemampuan menghasilkan caj elektrik kecil terhadap yang lain melalui tujuh atau lapan ribu silangan. Melihat kepada struktur sel neuron, ekor setiap sel berpecah kepada ribuan gentian yang mana setiap satunya diakhiri dengan pembengkakan yang dipanggil butang terminal. Caj elektrik bergerak dari kepala ke bahagian ekor. Kita akan lihat di antara butang-butang terminal ini terdapatnya suatu ruang yang dinamakan sinaps. Arus elektrik tidak boleh melepasi sinaps ini tetapi ia akan menyebabkan pertukaran pada bahan kimia pada sinaps. Pertukaran ini akan menguja arus dari kepala sel yang berikutnya. Bahan elektrik kima ini dipanggil neurotransmitter kerana mengalirkan caj elektrik secara berkesan dari sel neuron kepada neuron yang berikutnya. Namun jika dua jenis neurotransmitter ini iaitu monoamine dan katekolamin kehabisan atau berkurang, ghairah pada otak akan menurun menyebabkan individu tersebut menjadi sedih. Maka apakah ubat yang boleh merangsang kembali penghasilan bahan neuropancar ini ? Setakat ini, masih belum ada kajian mendalam yang membuktikan zikir mampu menjadi penawar yang mujarab.

Dalam menjawab persoalan yang kerap berlegar di minda saya, jawapan yang diberikan oleh Tuan Guru Dr Jahid bin Hj Sidek, Mursyid Tarekat Naqshabandiah Khalidiah membuka mata dan hati saya pada tingginya nilai ungkapan zikrullah. Betapa unggulnya lakaran sejarah, Islam kembali bangkit setelah kalah teruk dalam peperangan dengan tentera Mongol yang sungguh kejam. Kekuatan orang Islam tersembunyi di lubuk hati, berpilin dalam urat nadinya, dan urat nadi itu adalah tasawwuf dan ajaran sufi, berpaksikan zikrullah.

Manurut Dr Jahid, pesakit yang tidak sembuh melalui perawatan moden diubatkan di pusat rawatan beliau iaitu Pusat Rawatan al-Manarah, Sungai Buloh, mengikut kaedah-kaedah yang tertentu terutamanya ketukan. Kawasan ketukan utama bagi pesakit Depression adalah sekitar pelipis, dahi, dagu bagi yang stress, belakang, lengan dan punggung serta di belakang lutut. Ketukan yang menggunakan ranting kayu nona dalam lingkungan 30cm panjang dan 0.5 diameter ini menghasilkan sensasi kesakitan yang amat pada mulanya. Apabila kesan lebam muncul, kesakitan akan berkurangan menandakan penyakit sudah sembuh. Membandingkan dengan rawatan Elektrokonvulsif yang menyalurkan 100 volt tenaga elektrik di kawasan pelipis bagi meransang otak menghasilkan lebih banyak pneuropancar, ketukan di tempat tersebut meyakinkan saya ketepatan kaedah rawatan ini.

Melihat perkembangan pesakit yang mengamalkan zikir tahlil mengikut tarekat ini selama tempoh ujikaji, meyakinkan saya hebatnya tikaman kalimah ‘La Ilaha Illallah’ . Tikaman yang padu pada hati kanan dan kiri dengan kaedah tertentu disertai ingatan yang jitu bahawa ‘ Tiada yang Disembah melainkan Allah’ mengalirkan bukan sahaja keringat di dahi, bahkan semangat yang membakar di kalbu. Pesakit merasa tenaganya mengalir ke segenap saluran darah bersama momentum semangat yang meluncur laju. Perjalanan darah meningkat. Zikir menakluki hati dan segenap jasad bagaikan menghalau keluar segala kekusutan fikiran, kemalasan, kegelisahan dan segala penyakit hati yang lain. Namun, bukanlah tujuan berzikir untuk mendapat kebaikan sampingan seperti yang diterangkan di atas melainkan zikir adalah dengan niat semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan keredhaanNya. Seseorang yang rapat dengan Tuhannya, ia mendaapat lebih daripada jangkaan. Terbukalah dinding yang menutupi mata hatinya dan tersingkaplah pelbagai lagi kebesaran Tuhan yang tidak mampu dilihat oleh manusia-manusia lain yang mempunyai hati yang penuh dengan karat maksiat.

Dr Jahid menegaskan, “Tasauf itu amalan yang harus diterima dengan hati, bukan dengan fikiran. Kadang-kadang orang yang mendengar itu merasa ia lebih bijak. Untuk mempelajari tasauf ini, anda hendaklah kenal guru anda dan kena kenal juga guru kepada guru anda’. Beliau menambah lagi, dalam zikir Ismu Zat, zikir letaknya di hati. Lidah menyebut ‘Allah ! Allah !’dan jari telunjuk kanan perlu menjalankan zikir, bukan bilang tapi jalankan. Ini untuk memandu bacaan hati. Fikiran harus ditumpukan, rasa-rasa melihat Allah.’

Satu pembuktian yang tidak disengajakan, dalam ilmu perubatan, untuk merawat salah satu penyakit jantung, doktor perlu memasukkan kateter ke dalam jantung. Kateter ini dimasukkan melalui jari telunjuk kanan, ia akan sampai ke jantung. Dari sini terdapat juga laluan yang menyambungkan jari telunjuk ke otak sebagaimana pergerakan jari telunjuk kanan memandu hati berzikir dan meneguhkan fikiran kepada Allah.

Rangkaian hipotesis telah dijalinkan. Mungkin suatu hari nanti lebih banyak penyelidikan yang akan menjawab persoalan ‘ Ala bizikrillah tatmainnul qulub..’ Ar-Ra'du : 28.

11 Ogos 2005

Monday, August 08, 2005

Bagaimana Tubuh Kita Menghadapi Stress


Bagaimana Tubuh Kita Menghadapi Stress

Seringkali kita mendengar tentang bagaimana cara menangani stress supaya ia tidak membarah dalam diri dan seterusnya mengakibatkan pelbagai penyakit seperti depression, tekanan darah tinggi, ulser, jantung ,impotensi dan sebagainya. Saya ingin membincangkan tentang masalah ketegangan ataupun lebih dikenali sebagi stress ini dari sudut kesihatan.

Stress ditakrifkan sebagai respons badan dalam menghadapi stressor samada secara fisiologi, mental atau fizikal. Stressor iaitu punca stress boleh mendatangi seseorang individu dalam pelbagai bentuk seperti stress fizikal, sosial ataupun psikologi yang menyebabkan tubuh kita perlu untuk melakukan penyesuaian untuk menghadapinya.

Stress dibahagikan kepada dua kategori iaitu eustress dan distress. Eustress adalah stress yang menghasilkan kesan positif dan kegembiraan kepada seperti perkahwinan, naik pangkat, mendapat ahli keluarga baru dan berpindah rumah. Manakala distress pula adalah stress yang mengakibatkan kesan negatif kepada mangsa seperti kematian, kemalangan jalan raya, mendapat penyakit dan beberapa musibah lain. Ini kerana setiap perubahan akan menyebabkan stress kerana individu perlu meneysuaikan diri dengan keadaan baru. Biasanya kita akan membicarakan tentang distress di mana kita perlu tenang menghadapinya.

Stress ini mampu memberi kesan buruk kepada kesihatan bergantung kepada personaliti mangsanya. Bagi mangsa yang terlalu sensitif, kemungkinan ia lebih terkesan dengan kehadiran stressor dan tahap kekecewaan yang dialaminya lebih serius berbanding dengan individu yang berjiwa kental. Stress boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular iaitu meningkatkan risiko penyakit jantung dan hipertensi, meningkatkan paras kolesterol dalam darah, mengubah ritma jantung dan meningkatkan tekanan darah yang akhirnya boleh menyebabkan kerosakan pada salur darah.

Di samping itu, stress juga boleh melemahkan sistem imun dalam badan kita di mana peningkatan hormon adrenalin boleh menjejaskan fungsi leukosit. Ia juga boleh menyebabkan gangguan kognitif iaitu melumpuhkan konsentrasi dan melemahkan daya ingatan mangsa. Mangsa juga akan mengalami kekacauan emosi seperti resah-gelisah dan ia akan mempamerkan tingkah laku yang ekstrim.

Dalam mengkaji tindak balas badan terhadap stress, seorang saintis, Hans Seyle telah mengemukakan satu teori tentang reaksi tubuh manusia terhadap stress. Teori ini dikenali sebagai General Adaptation Syndrome (GAS). Setiap individu yang berhadapan dengan stress akan mengalami reaksi yang sama, cuma tahapnya berbeza bergantung kepada jenis stressor seperti kematian vs kegagalan peperiksaan, dan juga personaliti individu.

Badan akan melalui tiga peringkat stress. Peringkat pertama dikenali sebagai ‘Alarm Phase’. Apabila berhadapan dengan stressor, bahagian serebral korteks akan meransang hipotalamus di otak. Ransangan ini menyebabkan sistem saraf simpatetik diaktifkan. Keadaan ini akan menguja kelenjar adrenal untuk menghasilkan lebih banyak hormon epinefrin atau adrenalin. Hormon ini akan bertindak serta-merta. Akibatnya jantung akan berdegup dengan lebih cepat, tekanan darah meningkat, kadar pernafasan bertambah, berlaku dilat bronkiol iaitu pembesaran anak mata untuk membantu penglihatan dan berlaku proses glikogenolisis iaitu proses pemecahan glikogen membentuk glukosa yang akan membekalkan banyak tenaga kepada mangsa. Di samping itu, hormon akan meningkatkan fungsi otot menjadikan otot lebih kuat dan bersedia untuk bertindak. Kesan sampingan turut terhasil iaitu mulut menjadi kering dan berasa mual. Cuba bayangkan anda dikejar anjing liar. Anda akan mampu berlari lebih kuat daripada biasa, tercungap-cungap, berdebar-debar dan jantung anda berdenyut dengan terlalu pantas. Inilah contoh mudah reaksi badan kita terhadap stressor.

Selain adrenalin, hipotalamus di otak juga akan meransang kelenjar pituitari. Kelenjar pituitari akan menghasilkan hormon Adrenokortikotrofik (ACTC) yang turut bertindak ke atas kelenjar adrenal. Hormon yang berbeza iaitu kortisol akan dirembeskan. Pengeluaran hormon ini akan membantu meningkatkan proses glikogenolisis dan jumlah glukosa akan bertambah. Badan akan dibekalkan tenaga dan bersedia untuk menghadapi stressor.

Setelah badan berhadapan dengan stressor dalam jangkamasa yang lama, berlaku perubahan dalam fisiologi badan di mana individu akan menyesuaikan diri dengan stressor . Peringkat ini dinamakan sebagai peringkat Resistance Phase. Pada fasa ini, saraf parasimpatetik yang mengatur suap balas negatif akan mengurangkan perubahan tadi dan mengawal sistem dalaman supaya kembali normal. Individu mangsa akan mampu bertoleransi dengan suasana yang menekan.

Jika stress berlarutan, tenaga dalam badan akan kehabisan menyebabkan mangsa menjadi lesu (fatigue) dan tidak mampu melakukan tugas seharian dengan baik. Dan jika stress yang datang tidak dihentikan, individu tersebut berpotensi mendapat penyakit ulser atau hipertensi.

Ogos 2005
Universiti Malaya

Ketagihan; Penyakit Kronik Yang Belum Terubat


Bismillahirrahmanirrahim..

Saya hanya nak berkongsi sedikit ilmu kesihatan di sini, moga memberi sedikit impak yang baik..

Menyingkap suatu fenomena yang kian membarah di era ini, ketagihan adalah penglibatan yang tidak sihat dan berterusan dengan bahan atau aktiviti yang boleh mengubah mood. Kes-kes yang biasa kita dengar adalah ketagihan dadah, arak, alkohol, dan judi. Tidak kira siapa dan dimana, masalah ketagihan mengakibatkan kemudaratan kepada setiap pengamalnya walaupun tanpa ia sedari. Ia adalah penyakit masyarakat yang mesti dirawat dan dicegah dengan serius.

Amnya, ketagihan terbahagi kepada dua jenis iaitu ketagihan bahan dan ketagihan perilaku. Ketagih dadah, arak, alkohol, rokok, kafein dan tembakau diklasifikasikan sebagai ketagihan bahan. Manakala ketagihan seks, senaman, wang seperti ‘shopping’, berSMS, internet dan workaholik adalah ketagihan perilaku.

Para saintis telah melakukan banyak kajian untuk meninjau masalah ini dengan lebih mendalam. Ketagihan dilaporkan sebagai satu proses yang mengambil masa yang lama. Ia mempunyai beberapa fasa perubahan fisiologi yang akhirnya menjadikan pengamalnya ketagih.

Teori ini dikemukakan oleh Vernon E. Johnson, yang lebih menekankan emosi. Fasa 1 dikenali sebagai fasa ‘ Learns Mood Swings’ Pengambilan bahan ketagihan, contohnya alkohol didapati mendatangkan keseronokan pada peringkat awalnya. Pada tahap ini mood mereka berubah-ubah dan mood mereka boleh dikawal oleh dos yang diambil. Jika mengambil dos yang tinggi, keseronokan yang teramat akan dirasai. Oleh itu mereka terus mengambil alkohol tanpa menghiraukan kesan buruk yang menanti seperti boleh mengakibatkan ‘Fetal Alcohol Syndrome’ (FAS) iaitu kecacatan pada bayi yang dikandung seperti kekurangan berat badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding tubuh, kurang penyelarasan otot, keadaan muka yang rata, dan kelemahan sendi-sendi.

Individu terlibat meneruskan aktiviti ini untuk mencari ketenangan dan keseronokan. Ini kerana emosi melonjak seronok apabila mengambil alkohol. Fasa ke-2 ini dikenali sebagai ‘Seeks Mood changes’. Tabiat ini berterusan dan akhirnya mereka terpaksa mengambil alkohol secara eksesif. Mereka sudah menjadi manusia yang bergantung kepada alkohol dan tahap ini dipanggil Fasa-3 iaitu ‘Harmful Dependency’. Tanda-tanda murung, kurang keyakinan dan rendah harga diri mula kelihatan pada diri mereka. Mereka mula menjauhkan diri dari aktiviti sosial.

Fasa ke-4 pula adalah ‘To feel Normal’. Mereka mengalami kemurungan yang kronik dan terpaksa mengambil alkohol untuk merasa normal. Fasa terakhir dalam proses ketagihan ini menyebabkan kemerosotan emosi dan mental pengamalnya. Gangguan yang serius berlaku menyebabkan mereka tidak dapat memainkan peranan seperti individu normal dalam masyarakat.

Menyoroti ketagihan dari aspek fisiologi, saintis mendapati semasa sistem saraf berada dalam keadaan normal, bahan pneuropancar akan dihasilkan di dalam badan. Tetapi jika terdapat bahan ‘mood altering’, ia akan bersaing dengan bahan pneuropancar untuk bergabung dengan reseptor sel saraf. Emosi akan meningkat. Dalam masa yang sama, sintesis pneuropancar asli akan terhenti. Jika bahan mood altering tidak diambil, tapak reseptor akan menjadi kosong. Mereka menjadi kurang selesa, murung dan resah gelisah. Keadaan ini berterusan sehinggalah bahan pneuropancar asli dihasilkan semula atau bahan ‘mood altering’ kembali diambil.

Kita mungkin melihat keadaan ini adalah sesuatu yang biasa, namun pengambilan yang kerap menyebabkan badan akan bertoleransi dengan keadaan tersebut. Sindrom tarikan akan wujud, dimana individu memerlukan dos yang lebih tinggi , kerap dan intensif untuk merasa kesan yang sama seperti pada peringkat permulaan. Jika alkohol tiada, metabolisma badan akan terganggu. Segala aktiviti akan terjejas mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai anggota masyarakat dengan baik.

Walaupun terdapat ramai yang mengalami masalah ketagihan, masyarakat sukar untuk mengenalpasti individu tersebut kerana proses ini bersifat internal. Malah individu terlibat juga tidak sedar ia sudah ketagih. Mereka selalu dihantui oleh dorongan yang kuat dan tidak berupaya menolak keinginan yang mendesak nafsu.

Penagih dadah amat sinonim dengan kejadian kecurian dan ragut. Apa yang menghairankan, barangan yang dicuri bukanlah bernilai jutaan ringgit, tetapi mereka sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk mendapatkan kabel elektrik, besi buruk dan simen penutup longkang. Di samping itu, prestasi kerjaya atau akademik turut merudum dan seringkali mereka dibelenggu dengan masalah perhubungan inter-personal, lebih suka menyendiri dan kurang berinteraksi dengan masyarakat sekeliling malah dengan ahli keluarga. Sikap panas baran dan kasar semakin menjadi-jadi dan kesannya mereka tersisih dari keluarga dan masyarakat. Akhirnya mereka menderita dalam kesengsaraan. Inilah satu contoh fenomena yang biasa melingkari mangsa-mangsa ketagihan.

Walaupun sudah 48 tahun negara mencapai kemerdekaan, masalah ketagihan masih berada di tahap kritikal dengan pelbagai jenis ketagihan bahan dan aktiviti. Penagih jauh terpesong dari norma-norma kehidupan yang mulia, malah tersasar jauh dari ketenangan beragama. Adakah generasi yang terhuyung-hayang begini boleh diharap untuk membentengi negara kita ?

Vista Seri Angkasa..
Ogos 2005

Thursday, August 04, 2005

episod..

Aku berjalan separuh usia
Hanya kutemui pengalaman sesuku ringgit
Buat bekalan menuju destinasi
Yang pasti walau aku lupa

Aku toleh kiri dan kanan
Mengitar kenangan
Mapankah asa pada duka pengalaman
Yang memahat jati diriku
Menjadikanku tugu srikandi
Ataukah aku tersungkur
Pada kaki semangat yang mencair


1 ogos 2005
0:58 VistA Seri Angkasa KL

Hebatnya..


Hari-hari terakhir di universiti Malaya dilalui dengan semangat yang menyala-nyala. Hari ini sepatutnya menjanjikan suatu hasil yang lebih baik dan sempurna berbanding semalam. Dalam 5 bulan akan datang, saya akan bergelar graduan universiti dalam bidang sains biokesihatan. Bidang ini sungguh menarik untuk ditekuni lantaran dekatnya agenda pembelajaran dengan hukum kejadian diri.

Melihat dan menafsir diri sendiri sudah cukup menggegarkan hati lantaran ternampak garis-garis keagungan Tuhan. Sebagai contoh, jika mengkaji subjek immunologi perubatan dalam bab sistem pertahanan badan, kita akan merasa takjub melhat satu sistem badan yang cukup teratur dalam menjalankan amanah sebagai hamba Tuhan. Tangan yang terkena sesuatu yang menyakitkan akan mengeluarkan histamine iaitu sejenis hormon yang akan menyebabkan pembengkakan berlaku. Begitu pengasihnya Dia, tangan yang terkena besi panas akan segera menghantar impuls ke otak untuk ditafsirkan. Dalam masa tidak sampai sesaat, saraf motor akan mengambil peranan menghantar arahan dari otak supaya menarik tangan itu menjauhi objek panas. ini perkara biasa yang kita lalui. Dan adakah perkara biasa ini menumpulkan keyakinan kita kepada nya atau semakin menambah takwa di jiwa? Jika tiada isyarat supaya tangan ditarik serta-merta, kecederaan yang serius akan berlaku... betapa tingginya kasih Ilahi.

AIDS, Ebola, Japanese Enchephalitis ... dan banyak lagi penyakit yang menyerang manusia. AiDS tidak akan mengenai sebarang manusia melainkan mereka yang mungkar kepada Nya dan tidak mahu mengaku bahawa dia hamba. Kalau kita merenung hukum sebatan ke atas penzina bujang, bila sebatan dikenakan ke atas tulang belakang di mana sumsum tulang berada di situ, sel darah putih ataupun leukosit akan terangsang dan akan terhasil dengan banyak.sel leukosit adalah sel yang bertindak sebagai askar di dalam badan bersama-sama dengan makrofaj dll akan memakan virus-virus yang menjangkiti badan akibat hubungan 'sex intercourse' yang dilakukan dengan sebarangan orang yang 'kotor'. bagi penzina yang bujang, bilangan leukosit adalah tinggi.Tetapi bila dijangkiti virus HIV, virus itu akan mneyerang menyebabkan sel leukosit kurang dan merendahkan sistem imun badan. sebatan akan meransang penghasilan leukosit dan menyerang balik virus-virus. Sebaliknya bagi penzina yang sudah berkahwin, badannya menghasilkan hanya sedikit leukosit kerana ia menghasilkan beribu juta sperma. Maka , seseorang yang sudah berkahwin yang melakukan zina, rejam sampai mati adalah amat tepat kerana sistemn pertahanan badannya sudah tidak mampu melawan virus HIV yang begitu menggila.. inilah bala, bukan ujian, bukan cubaan. Tetapi bagi hati yang sudah tertutup dengan jerebu dosa, mereka menganggap uia adalah mainan. Bolehkah dirawat dengan jarum dan kondom ?

Tuesday, August 02, 2005

"Muslim itu ramai, mukmin itu sedikit.
Mukmin itu ramai, muhsin itu sedikit.
Muhsin itu ramai, mukhlis itu sedikit"..

Nafas Terakhir..

Hari ini dari kejauhan
ku lihat sekujur tubuhku terbaring
aku merapati tanpa rasa sangsi..

semalam
ketika angin mengorak tenang,
dan di balik kuntum bunga raya
pusar bayu bertiup harum
aku tertawa menyaingi gembira
terlupa langit yang memayung

aku semakin merapati pada tubuhku yang satu itu
rona kemerahan terlindung di balik kekakuan
dan jantung yang berdegup itu tiba-tiba terhenti
tanpa ku sempat menyelinap pada diri

angin menerobos makin perlahan
dan raungan esakan pula meninggi
mengamati dalam diam ku menafsir
melihat sanak saudara berbondong mendatang
dalam sebak nafas yang tertahan

aku terkasima
bila tubuhku yang dahulu bersalut indah
kini hanya dibalut secebis kain murah
aku membantah
tapi suaraku tidak didengari
aku mengangkat kaki untuk melepaskan diri
tapi tiada satupun sarafku yang berfungsi
aku jadi kalut

sekeping ayat suci yang dibaca
ku dengari
aku kini sedar
aku harus pergi sekarang
walaupun aku belum sempat memohon maaf dari ibuku
yang semalam aku engkari
aku belum sempat memeluk ayahku
yang semalam aku tinggalkan
aku belum sempat memanjat istighfar
pada kelam dosa di dada
segalanya aku tak sempat
aku terpaksa pergi sekarang..

panjatkan setulus doa untuk rohku wahai sahabatku