Monday, August 08, 2005

Bagaimana Tubuh Kita Menghadapi Stress


Bagaimana Tubuh Kita Menghadapi Stress

Seringkali kita mendengar tentang bagaimana cara menangani stress supaya ia tidak membarah dalam diri dan seterusnya mengakibatkan pelbagai penyakit seperti depression, tekanan darah tinggi, ulser, jantung ,impotensi dan sebagainya. Saya ingin membincangkan tentang masalah ketegangan ataupun lebih dikenali sebagi stress ini dari sudut kesihatan.

Stress ditakrifkan sebagai respons badan dalam menghadapi stressor samada secara fisiologi, mental atau fizikal. Stressor iaitu punca stress boleh mendatangi seseorang individu dalam pelbagai bentuk seperti stress fizikal, sosial ataupun psikologi yang menyebabkan tubuh kita perlu untuk melakukan penyesuaian untuk menghadapinya.

Stress dibahagikan kepada dua kategori iaitu eustress dan distress. Eustress adalah stress yang menghasilkan kesan positif dan kegembiraan kepada seperti perkahwinan, naik pangkat, mendapat ahli keluarga baru dan berpindah rumah. Manakala distress pula adalah stress yang mengakibatkan kesan negatif kepada mangsa seperti kematian, kemalangan jalan raya, mendapat penyakit dan beberapa musibah lain. Ini kerana setiap perubahan akan menyebabkan stress kerana individu perlu meneysuaikan diri dengan keadaan baru. Biasanya kita akan membicarakan tentang distress di mana kita perlu tenang menghadapinya.

Stress ini mampu memberi kesan buruk kepada kesihatan bergantung kepada personaliti mangsanya. Bagi mangsa yang terlalu sensitif, kemungkinan ia lebih terkesan dengan kehadiran stressor dan tahap kekecewaan yang dialaminya lebih serius berbanding dengan individu yang berjiwa kental. Stress boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular iaitu meningkatkan risiko penyakit jantung dan hipertensi, meningkatkan paras kolesterol dalam darah, mengubah ritma jantung dan meningkatkan tekanan darah yang akhirnya boleh menyebabkan kerosakan pada salur darah.

Di samping itu, stress juga boleh melemahkan sistem imun dalam badan kita di mana peningkatan hormon adrenalin boleh menjejaskan fungsi leukosit. Ia juga boleh menyebabkan gangguan kognitif iaitu melumpuhkan konsentrasi dan melemahkan daya ingatan mangsa. Mangsa juga akan mengalami kekacauan emosi seperti resah-gelisah dan ia akan mempamerkan tingkah laku yang ekstrim.

Dalam mengkaji tindak balas badan terhadap stress, seorang saintis, Hans Seyle telah mengemukakan satu teori tentang reaksi tubuh manusia terhadap stress. Teori ini dikenali sebagai General Adaptation Syndrome (GAS). Setiap individu yang berhadapan dengan stress akan mengalami reaksi yang sama, cuma tahapnya berbeza bergantung kepada jenis stressor seperti kematian vs kegagalan peperiksaan, dan juga personaliti individu.

Badan akan melalui tiga peringkat stress. Peringkat pertama dikenali sebagai ‘Alarm Phase’. Apabila berhadapan dengan stressor, bahagian serebral korteks akan meransang hipotalamus di otak. Ransangan ini menyebabkan sistem saraf simpatetik diaktifkan. Keadaan ini akan menguja kelenjar adrenal untuk menghasilkan lebih banyak hormon epinefrin atau adrenalin. Hormon ini akan bertindak serta-merta. Akibatnya jantung akan berdegup dengan lebih cepat, tekanan darah meningkat, kadar pernafasan bertambah, berlaku dilat bronkiol iaitu pembesaran anak mata untuk membantu penglihatan dan berlaku proses glikogenolisis iaitu proses pemecahan glikogen membentuk glukosa yang akan membekalkan banyak tenaga kepada mangsa. Di samping itu, hormon akan meningkatkan fungsi otot menjadikan otot lebih kuat dan bersedia untuk bertindak. Kesan sampingan turut terhasil iaitu mulut menjadi kering dan berasa mual. Cuba bayangkan anda dikejar anjing liar. Anda akan mampu berlari lebih kuat daripada biasa, tercungap-cungap, berdebar-debar dan jantung anda berdenyut dengan terlalu pantas. Inilah contoh mudah reaksi badan kita terhadap stressor.

Selain adrenalin, hipotalamus di otak juga akan meransang kelenjar pituitari. Kelenjar pituitari akan menghasilkan hormon Adrenokortikotrofik (ACTC) yang turut bertindak ke atas kelenjar adrenal. Hormon yang berbeza iaitu kortisol akan dirembeskan. Pengeluaran hormon ini akan membantu meningkatkan proses glikogenolisis dan jumlah glukosa akan bertambah. Badan akan dibekalkan tenaga dan bersedia untuk menghadapi stressor.

Setelah badan berhadapan dengan stressor dalam jangkamasa yang lama, berlaku perubahan dalam fisiologi badan di mana individu akan menyesuaikan diri dengan stressor . Peringkat ini dinamakan sebagai peringkat Resistance Phase. Pada fasa ini, saraf parasimpatetik yang mengatur suap balas negatif akan mengurangkan perubahan tadi dan mengawal sistem dalaman supaya kembali normal. Individu mangsa akan mampu bertoleransi dengan suasana yang menekan.

Jika stress berlarutan, tenaga dalam badan akan kehabisan menyebabkan mangsa menjadi lesu (fatigue) dan tidak mampu melakukan tugas seharian dengan baik. Dan jika stress yang datang tidak dihentikan, individu tersebut berpotensi mendapat penyakit ulser atau hipertensi.

Ogos 2005
Universiti Malaya

No comments: