Monday, August 08, 2005

Ketagihan; Penyakit Kronik Yang Belum Terubat


Bismillahirrahmanirrahim..

Saya hanya nak berkongsi sedikit ilmu kesihatan di sini, moga memberi sedikit impak yang baik..

Menyingkap suatu fenomena yang kian membarah di era ini, ketagihan adalah penglibatan yang tidak sihat dan berterusan dengan bahan atau aktiviti yang boleh mengubah mood. Kes-kes yang biasa kita dengar adalah ketagihan dadah, arak, alkohol, dan judi. Tidak kira siapa dan dimana, masalah ketagihan mengakibatkan kemudaratan kepada setiap pengamalnya walaupun tanpa ia sedari. Ia adalah penyakit masyarakat yang mesti dirawat dan dicegah dengan serius.

Amnya, ketagihan terbahagi kepada dua jenis iaitu ketagihan bahan dan ketagihan perilaku. Ketagih dadah, arak, alkohol, rokok, kafein dan tembakau diklasifikasikan sebagai ketagihan bahan. Manakala ketagihan seks, senaman, wang seperti ‘shopping’, berSMS, internet dan workaholik adalah ketagihan perilaku.

Para saintis telah melakukan banyak kajian untuk meninjau masalah ini dengan lebih mendalam. Ketagihan dilaporkan sebagai satu proses yang mengambil masa yang lama. Ia mempunyai beberapa fasa perubahan fisiologi yang akhirnya menjadikan pengamalnya ketagih.

Teori ini dikemukakan oleh Vernon E. Johnson, yang lebih menekankan emosi. Fasa 1 dikenali sebagai fasa ‘ Learns Mood Swings’ Pengambilan bahan ketagihan, contohnya alkohol didapati mendatangkan keseronokan pada peringkat awalnya. Pada tahap ini mood mereka berubah-ubah dan mood mereka boleh dikawal oleh dos yang diambil. Jika mengambil dos yang tinggi, keseronokan yang teramat akan dirasai. Oleh itu mereka terus mengambil alkohol tanpa menghiraukan kesan buruk yang menanti seperti boleh mengakibatkan ‘Fetal Alcohol Syndrome’ (FAS) iaitu kecacatan pada bayi yang dikandung seperti kekurangan berat badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding tubuh, kurang penyelarasan otot, keadaan muka yang rata, dan kelemahan sendi-sendi.

Individu terlibat meneruskan aktiviti ini untuk mencari ketenangan dan keseronokan. Ini kerana emosi melonjak seronok apabila mengambil alkohol. Fasa ke-2 ini dikenali sebagai ‘Seeks Mood changes’. Tabiat ini berterusan dan akhirnya mereka terpaksa mengambil alkohol secara eksesif. Mereka sudah menjadi manusia yang bergantung kepada alkohol dan tahap ini dipanggil Fasa-3 iaitu ‘Harmful Dependency’. Tanda-tanda murung, kurang keyakinan dan rendah harga diri mula kelihatan pada diri mereka. Mereka mula menjauhkan diri dari aktiviti sosial.

Fasa ke-4 pula adalah ‘To feel Normal’. Mereka mengalami kemurungan yang kronik dan terpaksa mengambil alkohol untuk merasa normal. Fasa terakhir dalam proses ketagihan ini menyebabkan kemerosotan emosi dan mental pengamalnya. Gangguan yang serius berlaku menyebabkan mereka tidak dapat memainkan peranan seperti individu normal dalam masyarakat.

Menyoroti ketagihan dari aspek fisiologi, saintis mendapati semasa sistem saraf berada dalam keadaan normal, bahan pneuropancar akan dihasilkan di dalam badan. Tetapi jika terdapat bahan ‘mood altering’, ia akan bersaing dengan bahan pneuropancar untuk bergabung dengan reseptor sel saraf. Emosi akan meningkat. Dalam masa yang sama, sintesis pneuropancar asli akan terhenti. Jika bahan mood altering tidak diambil, tapak reseptor akan menjadi kosong. Mereka menjadi kurang selesa, murung dan resah gelisah. Keadaan ini berterusan sehinggalah bahan pneuropancar asli dihasilkan semula atau bahan ‘mood altering’ kembali diambil.

Kita mungkin melihat keadaan ini adalah sesuatu yang biasa, namun pengambilan yang kerap menyebabkan badan akan bertoleransi dengan keadaan tersebut. Sindrom tarikan akan wujud, dimana individu memerlukan dos yang lebih tinggi , kerap dan intensif untuk merasa kesan yang sama seperti pada peringkat permulaan. Jika alkohol tiada, metabolisma badan akan terganggu. Segala aktiviti akan terjejas mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai anggota masyarakat dengan baik.

Walaupun terdapat ramai yang mengalami masalah ketagihan, masyarakat sukar untuk mengenalpasti individu tersebut kerana proses ini bersifat internal. Malah individu terlibat juga tidak sedar ia sudah ketagih. Mereka selalu dihantui oleh dorongan yang kuat dan tidak berupaya menolak keinginan yang mendesak nafsu.

Penagih dadah amat sinonim dengan kejadian kecurian dan ragut. Apa yang menghairankan, barangan yang dicuri bukanlah bernilai jutaan ringgit, tetapi mereka sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk mendapatkan kabel elektrik, besi buruk dan simen penutup longkang. Di samping itu, prestasi kerjaya atau akademik turut merudum dan seringkali mereka dibelenggu dengan masalah perhubungan inter-personal, lebih suka menyendiri dan kurang berinteraksi dengan masyarakat sekeliling malah dengan ahli keluarga. Sikap panas baran dan kasar semakin menjadi-jadi dan kesannya mereka tersisih dari keluarga dan masyarakat. Akhirnya mereka menderita dalam kesengsaraan. Inilah satu contoh fenomena yang biasa melingkari mangsa-mangsa ketagihan.

Walaupun sudah 48 tahun negara mencapai kemerdekaan, masalah ketagihan masih berada di tahap kritikal dengan pelbagai jenis ketagihan bahan dan aktiviti. Penagih jauh terpesong dari norma-norma kehidupan yang mulia, malah tersasar jauh dari ketenangan beragama. Adakah generasi yang terhuyung-hayang begini boleh diharap untuk membentengi negara kita ?

Vista Seri Angkasa..
Ogos 2005

No comments: