KUALA TERENGGANU - Ombak besar menghempas seluruh pantai di Kuala Terengganu. Ombak setinggi hingga 2 meter mengganas menggila menghentam tanpa puas. Di Kelantan pula, banjir gelombang kedua menenggelami lantai-lantai rumah sehingga ada yang mengatakan bah kali ini lebih hebat dari tahun lepas.
Di sini berita ombak. Di sana pula cerita bah. Cerita gelombang-gelombang yang membawa angin musim tengkujuh membasuh negeri-negeri di Pantai Timur.
Di Kuala Terengganu ini juga, sekuat ombak menentang arus, kuat lagi bahang pilihanraya yang makin meresapi tubuh-tubuh warganya. Walaupun sekarang nampak biasa tapi sudah ada petanda bahawa pilihanraya kecil pada kali ini bakal berdepan dengan kejadian-kejadian besar yang tidak tersangkakan.
Orang-orang di Wakaf Mempelam, Ladang, Batu Burok dan Losong sudah merasainya. Mereka sudah melihat begitu banyak pondok-pondok polis dibina. Begitu cepat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sudah banyak bangsal-bangsal panas didirikan baik oleh jentera PAS mahupun UMNO. Sudah ada polis-polis trafik berkonvoi ke segenap ceruk kampung hingga ke hujung jalan mati setiap hari, dan sudah ada petugas-petugas parti dari seluruh negeri di Malaysia datang ke mari.
Dengan helikopter, trak polis, bangsal panas dan muka-muka baru yang muncul, mereka sedar kawasan mereka bakal terkepung! Kuala Terengganu sekali lagi menjadi rebutan.
2 comments:
Salam Sam.
Semoga kita bersama-sama ombak besar ini memukul pantai yang penuh kekotoran, membawa pergi segalanya ke perut laut, agar bila purnama mengambang nanti, segalanya kembali indah dan menjanjikan kekhusyukan dalam perjuangan.
p/s: terima kasih kerana telah kemaskini dmpnk.com
ehem..ehem..ops terima kasih kembali..
Post a Comment