Pinjam dari Khabar Lewat Kawat.
Saya ambil keputusan untuk singgah di masjid. Angin tengkujuh sedikit keras. Langit Terengganu terlihat lembap. Semacam di dinding gelas berisikan ais. Aroma tengkujuhnya memang terasa: suatu bau yang boleh kita tafsirkan bau yang basah. Bau basah yang enak. Bau enak yang basah. Saya jadi teringat, pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu nanti dalam sempadan tengkujuh inilah.
Meskipun saya musafir, saya ambil keputusan untuk solat jamak dan qasar di masjid. Masjidnya berwarna biru tua, jemaahnya sedang keluar.
Saya tidak bercadang untuk solat berjamaah kerana saya menunaikan solat qasar. Niat itu saya batalkan, apabila terlihatkan seorang tua yang uzur dan dhaif bersolat sendirian.
Saya letakkan beg sandang kecil berisi kamera dan pita rakaman di hadapan saya. Saya tukarkan mode henfon kepada mode gigil, lalu direbahkan di sisi beg sandang itu. Cermin mata, saya tanggalkan dan letakkan di antara longgokan barangan berharga itu. Itu barangan berharga saya dan ini bukan negara Islam. Di negara ini, pencuri tidak dipotong tangan, tetapi disumbat ke dalam penjara dan diberi makan tiga kali sehari.
Akhbar yang saya beli, saya lemparkan di sisi. Akhbar itu terlipat dua, dengan muka depannya gambar Timbalan Perdana Menteri memulangkan mock-up cek wang royalti kepada Menteri Besar. Ada juga berita kecil, yang menafikan wang royalti dipulangkan kerana pilihan raya.
Sebaik saja saya mencuit bahunya, tanda berimamkannya, baru saya sedar, orang tua itu waswas orangnya. Beberapa kali dia mengulang-ulang ayat dalam surah al-Fatihahnya. Saya terpaksa bersabar, mengelak daripada mufaraqah daripada imam yang waswas. Takbirnya juga panjang, lebih enam harakat. Entah-entah sampai 12 harakat. Tamakninahnya juga sudah lebih dua harakat, sudah jadi istirahat yang panjang.
Kerana saya sudah membuat pilihan, saya teruskan saja dengan imam itu. Sehinggalah dia memberikan salam. Saya bukan saja memberikan salam, saya juga menghela nafas lega. Malah lebih panjang daripada 12 harakat!
Pak cik tua itu pun mengangkat doanya. Saya mengaminkannya.
“Ya, Allah! Lapangkan kehidupan kami.”
Ini doa yang baik. Saya aminkan saja.
“Ya, Allah! Luaskan rezeki kami.”
Ini doa yang menguntungkan. Saya aminkan lagi.
“Ya, Allah! Lipat-gandakan rezeki kami.”
Ini doa yang mengayakan. Saya aminkan sungguh-sungguh!
“Ya, Allah! Matikanlah ahli-ahli parlimen dan Adun-adun kami satu persatu!”
Ini doa yang.... hah, gila apa orang tua ini! Saya yang separuh mengaminkan terbatuk-batuk.
“Ya, Allah! Moga-moga dengan kerapnya mati ahli parlimen, Adun kami itu, akan keraplah wang kami yang dipulangkan! Moga-moga nanti jadi lapanglah kehidupan kami, luaslah rezeki kami dan berlipat-gandalah rezeki itu.”
Kalau tadi saya hanya sempat mengAaa saja, kali ini saya terbatuk-batuk sehingga tersasul pula Minnya.
Angin tengkujuh bagaikan keras menyusup masuk ke dalam masjid. Akhbar yang saya lemparkan ke sisi yang mengandungi gambar penyerahan mock-up cek itu sedikit terkelebet, lalu hujung yang terkelebet itu bagaikan terhempas-hempas keteguran oleh angin tengkujuh.
Dalam hati, saya berdoa, moga-moga orang tua ini bukan seorang wali yang makbul doanya. Atau orang yang dizalimi yang tidak ada hijab antara doanya dengan Tuhannya. Kerana kalau makbulnya doa itu, maka kaya-rayalah negeri itu tetapi tiadalah akan ahli parimen dan Adunnya!
No comments:
Post a Comment