Kata pujangga
perempuan bagaikan angin
lembutnya melenakan
ributnya menggusarkan.
( petikan)
Kata Nabi pula, daripada Saad r.a,
"Empat perkara yang membawa kebahagiaan adalah wanita yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang baik." - Riwayat al-Baihaqi
Suatu ketika dahulu isu penderaan kanak-kanak dan wanita sering menjadi topik hangat di dada-dada akhbar sehingga menggamatkan negara. Lantas pelbagai akta dan tindakan diusulkan untuk menangani masalah tersebut yang kian meningkat.
Namun apabila diselidiki, ditemui punca bukan hanya pada salah si suami, isteri juga memberi saham untuk didera. Banyak rungutan dan laporan diterima daripada suami yang semakin bosan dengan telatah isteri yang kuat berleter, mengungkit sehingga suami rasa tercabar dan tak dapat mengawal perasaan, lalu terjadilah perkara tersebut.
Seperti yang diajarkan Rasulullah s.a.w dan ditunjukkan oleh para isteri teladan, seorang isteri yang bijaksana seharusnya bijak memngendali diri, walaupun di hadapan suami, sahabat yang paling rapat.
Isteri solehah lagi bijaksana bahkan akan mengatakan sesuatu yang menyenangkan yang dialaminya, dan tidak akan mengeluarkan kata-kata yang memeningkan apabila suaminya pulang ke rumah. Ia menghidang minuman dan makanan yang bisa menghalau segala kepenatan dan melayan suami sebaiknya.
Isteri yang bijaksana tidak menceritakan hal-hal yang tidak menyenangkan yang dihadapinya sepanjang hari termasuk dalam urusan rumahtangga, kenakalan anak-anak, bersangkutan dengan jiran-jiran, soal memasak, kebun-sawah, dan hal-hal yang menambahkan letih suami.
Mungkin kita seringkali dihidangkan dengan cerekarama di kaca-kaca televisyen dengan contoh-contoh yang tidak baik dalam rumah-tangga misalnya,
( Suami baru pulang dari pejabat dan melangkahkan kaki ke rumah..)
Isteri : Lewat abang balik hari ni.
Suami : Huh.. abang banyak kerjalah Sal. (kata suami sambil melabuhkan punggung ke
sofa seraya cuba melelapkan mata)
Isteri : Banyak kerja ke abang pergi jumpa perempuan lain
Suami : Hah, hah dah mulalah tu.
Isteri : Abang cakap betul-betul, abang. Nanti Sal dapat perempuan itu, Sal ganyang dia. Cakap bang, abang pergi mana? Anak kita si Hakim tu dari pagi lagi keluar tak balik-balik. Ke manalah dia pergi. Si Jen pula, merenyam dengan ‘boy friend’ dia. Saya pula bosan, tak boleh keluar. Kereta saya pancit pula hari ni. Bla..bla..
Mungkin ada suami yang pernah dan sering berhadapan dengan situasi tersebut. Bagi suami yang penyabar, mereka masih boleh berdiam diri. Tapi bagi suami yang tidak tahan dengan kerenah tersebut, mungkin akan melenting atau mencari jalan keluar..
Kalau adapun perkara buruk yang berlaku semasa ketiadaan suami di rumah, isteri perlu bijaksana memilih waktu yang sesuai untuk memberitahu suami.
Lantaran, tugas sebenar isteri adalah memberi ketenteraman kepada suami dalam makna yang sangat luas. Ketenteraman itu meliputi kedaamian, keselesaan, kepuasan, ketenangan, kebahagiaan dan lain-lain lagi.
Malah, terdapat perkara yang boleh menyebabkan suami merasa amat bahagia, boleh menghilangkan keletihannya dan memberi kepuasan kepadanya. Salah satunya adalah menyambut kepulangan suami dengan kata-kata yang lemah-lembut, penuh kasih dan kemesraan. Isteri yang menyambut suami dengan penuh kemesraan sudah pasti tidak akan mendapat penampar maut suami.
Dan sambutan yang penuh ikhlas itu akan menyemarakkan lagi keharmonian seisi keluarga.
Syamila Najman
No comments:
Post a Comment