Salim termenung jauh. Pandangannya berbalam-balam. Fikirannya melayang dan menerawang jauh. Segala yang berlaku di sekelilingnya sudah tidak diambil peduli.
Anaknya yang baru boleh berjalan merengek-rengek kelaparan. Minta disuapkan nasi. Salim masih tidak mengendahkan rengekan anaknya. Kian lama, rengeknya bertukar tangis. Namun Salim masih di alamnya, seolah ia tidak sedar apa-apa.
Semalam, pulang dari pejabat, dengan langkah longlai dia menuju ke rumah. perniagaannya muflis, keretanya sudah ditarik, dan hartanya dibekukan. Dia hilang arah. Puas ke sana ke mari mempertahankan titik peluhnya. Namun, semuanya tidak berhasil. Akhirnya dia akur. Perniagaannya jatuh ke tangan musuh ketat.
Salim pulang ke rumahnya. Ditatapnya wajah isteri dan dia dengan perit meluahkan perkara sebenar. Digenggamnya tangan isteri tersayang, minta dikuatkan semangat dan membuang kegalauan hatinya. Tapi sudahnya, mereka bertengkar. Isteri tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka sudah tiada apa-apa lagi. Semua kesalahan dituju padanya. Salim terpempan. Dia mengharapkan sokongan isteri, tapi apa yang dia dapat adalah ditinggalkan sendirian. Isterinya pergi meninggalkan rumah dan dirinya.
Baginya, gagal dalam perniagaan adalah cabaran. Turun naiknya sudah lumrah. Dia masih boleh menerima hakikat itu dan tidak menafikan mungkin ada hikmah di sebaliknya. Tetapi apabila isterinya sudah meninggalkannya di saat dia amat memerlukan sokongan dan dorongan dari insan tersayang, dia bingung.
**
Kisah di atas adalah antara banyak kisah tentang ketidaksetiaan isteri. Kesetiaan adalah satu sifat penting yang diperlukan bagi mencukupkan pakej isteri solehah. Kesetiaan si isteri sukar diukur sehinggalah datang cabaran dalam perjalanan melayari bahtera rumah-tangga.
Apabila suami diuji dengan dibuang kerja misalnya, ataupun muflis, ada isteri yang berpaling tadah dan meninggalkan suami keseorangan. Ketika suami sudah tidak memiliki apa-apa yang dapat dibanggakan maka pada saat itulah kesetiaan isteri benar-benar terzahir. Cinta suci yang didakwa sebelum ini akan benar-benar terbukti.
Isteri yang setia akan tetap mendampingi dan melayani suami dengan penuh kepatuhan sebagaimana sebelum keadaan berubah. Kerana seseorang yang setia tidak memandang rupa atau harta yang dimiliki sebaliknya menghargai jasa-jasa, kasih-sayang dan perlindungan yang diberikan oleh suami kepadanya.
Si isteri sentiasa menjadi penghibur dan penawar kepada segala keluh-kesah suami. Di kala suami ingin meluahkan masalah, dialah yang mendengar dengan setia. Di kala suami berhadapan dengan kekusutan, dia terus mendampingi dan menunjuk jalan keluar. Si isteri seolah-olah menyediakan tempat yang lapang dan nyaman untuk suami merasa tenteram dan keluar dari kemelut yang menyesakkan.
No comments:
Post a Comment