Seseorang itu gemuk bukan kerana makan lebih banyak, tetapi seseorang itu gemuk kerana dia makan lebih daripada apa yang diperlukan oleh tubuhnya.
Gemuk ialah keadaan berlakunya pengumpulan lemak berlebihan di beberapa daerah badan sehingga menyebabkan berat badannya bertambah. Pada lelaki, lemak cenderung berumpul di bahagian dada dan abdomen (perut), sedangkan pada wanita, lemak lebih tetumpu di lengan atas, punggung, pinggul dan peha.
Kalori yang berlebihan walaupun sedikit tetapi jika terkumpul saban hari akan bertimbun menjadi lemak. Jika anda memilih untuk memandu kenderaan untuk ke tempat kerja setiap hari dan bukan berjalan kaki selama 15 minit, tambahan harian sebanyak 60 kilo kalori akan menghimpun selama 4 tahun menjadi enapan lemak sebanyak 10 kilogram di dalam tubuh anda.
Kegemukan mengundang risiko untuk mendapat penyakit-penyakit kronik. Ini kerana banyak penyakit disabitkan oleh kegemukan lantaran enapan lemak yang wujud memberi tekanan kepada organ-organ penting badan untuk bekerja dengan lancar.
Masalah yang sering dikaitkan dengan kegemukan adalah :
- Hipertensi (tekanan darah tinggi)
- Diabetes mellitus jenis II (kencing manis)
- Hiperlipidemia (kelebihan aras lemak dalam darah)
- Penyakit arteri koronari (penyakit pembuluh darah di jantung)
- Penyakit degeneratif pada sendi (kerosakan sendi)
- Masalah psikososial (rasa rendah diri dan kesukaran berinteraksi)
Kegemukan juga meningkatkan risiko untuk menghadapi masalah berikut :
- Kanser kolon dan rektum (usus besar), serta kanser prostat pada lelaki
- Kanser rahim, saluran hempedu dan ovari pada wanita
- Karang hempedu
- Masalah kulit
- Risiko tinggi semasa melahirkan anak
- Risiko tinggi sekiranya menjalani pembedahan
Begitu mudah untuk menjadi gemuk, tetapi kenapa amat sukar untuk menguruskan badan? Apabila kita memakan makanan berlemak (misalnya sup tulang), sel-sel lemak iaitu adiposit yang sedia ada dalam tubuh akan bertindakbalas dan menyerap lemak-lemak tersebut serta menyimpannya. Adiposit ini mempunyai enzim pada permukaannya iaitu lipase lipoprotein, yang boleh memerangkap trigliserida (molekul lemak) ke dalam sel.di dalam lemak.
Molekul-molekul lemak yang diperangkap ini akan disusun dan diikat menjadi trigliserida agar ia tidak boleh dilarikan. Inilah sebabnya, bagi sesetengah orang, begitu susah untuk membuang lemak dari tubuhnya tetapi sebaliknya mudah sahaja untuk menjadi gemuk.
Lemak yang terbentuk dalam badan juga boleh berasal daripada gula. Apabila gula simpanan (glikogen) kita telah cukup dan permintaan sel-sel tubuh telah dipenuhi, tubuh mula bertindak menukar gula yang berlebihan kepada lemak. Lebihan gula dan lemak dikeluarkan dari hati dan dibawa ke adiposit kerana hati tidak boleh menyimpan glikogen dengan banyak. Maka, lemak akan disimpan di merata-rata dalam tubuh kita lantaran sel adiposit boleh menyimpan sebanyak mana lemak yang ditimbunkan padanya.
Bagaimana megetahui kita gemuk atau tidak ?
Antara kaedah untuk mengetahui samada kita gemuk atau tidak adalah melalui Carta Berat-Tinggi, Hitungan Berat-Tinggi Terubahsuai, Indeks Jisim Tubuh dan Pengukuran Lipatan Pada Kulit.
Indeks Jisim Tubuh (Body Mass Index atau BMI) lebih mudah digunakan sebagai petanda timbunan lemak di tubuh. BMI adalah pengukur yang terbaik buat masa kini kerana indekx ini mudah dilakukan dan terbukti tepat. Kiraan indeks ini dibuat dengan berat tubuh (dalam kilogram) dibahagikan dengan kuasa dua ketinggian anda (anda meter).
Contohnya : Berat : 56 kg
Tinggi : 1.56m
BMI : 56 / 1.562 kg/m2 : 23
Jadual Indeks Jisim Tubuh | ||
Gred | Berat / Tinggi 2 | Keterangan |
I II III IV | 19-25 26-29 30-39 40 atau lebih | Kegemukan ringan Kegemukan sederhana Kegemukan berlebihan |
Di atas adalah contoh kiraan bagi mendapat nilai BMI Saudara C. Saudara C ini mempunyai BMI 23, nilai yang menggolongkan dia kepada kategori normal iaitu risiko kematian akibat kegemukan yang rendah. Nilai BMI melebihi 25 menunjukkan bermulanya risiko kesihatan akibat kegemukan. BMI sekitar 27 menandakan bermulanya seseorang berhadapan risiko mendapat penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi. Nilai BMI 30 adalah petanda mutlak seseorang telah gemuk. Nilai 40 pula menunjukkan seseorang itu berisiko tinggi mendapat masalah kesihatan akibat kegemukan.
Gemuk disebabkan makanan?
Kajian yang dilakukan ke atas ‘tikus kantin’ menunjukkan bahawa kita makan bukan hanya disebabkan oleh isyarat lapar yang dicetuskan di dalam tubuh kita tetapi juga oleh stimulus luar yang ada masanya tidak sesuai dengan keperluan. Ini bermaksud kita bukan hanya makan disebabkan lapar, tetapi masih juga ingin menjamu selera apabila melihat makanan yang terhidang dengan banyaknya.
Pada kajian ‘tikus kantin’, tikus yang diberi makanan biasa mempunyai berat badan normal (normal untuk tikus, tentunya) tetapi jika tikus tersebut dibiarkan bebas memakan makanan yang sedap dan berkalori tinggi, tikus tersebut akan makan berlebihan dan menjadi gemuk.
Sesetengan manusia juga menunjukkan respon yang sama terhadap faktor sekitaran seperti mereka makan pada setiap waktu rehat pejabat (sarapan 7:30 pagi, minum pagi 10:30 pagi, makan tengah hari 1:00 tengah hari, minum petang 3:15 petang) dan makan bukan kerana merasa lapar tetapi sekadar memenuhi jadual makan yang ditetapkan, lebih-lebih lagi jika aktiviti ini dijadikan aktiviti sosial bersama rakan-rakan.
Tabiat makan sekarang yang jauh berbeza juga menyumbang kepada kegemukan. Makanan segera seperti cip kentang goreng, ayam goreng, biskut bercoklat, hot dog, pizza, burger, gula-gula dan puluhan jenis makanan ringan yang kaya dengan garam, gula dan lemak tetapi miskin dengan zat terdapat di mana-mana. Tidak hairanlah kanak-kanak sekarang ramai yang mengalami obesiti, penyakit kencing manis malah mempunyai masalah jantung pada usia terlalu muda.
Individu gemuk didapati cenderung memilih makanan yang manis dan sedap berbanding makanan yang tawar. Satu lagi tabiat yang menyumbang kearah obesiti adalah mereka makan kurang kerap, tetapi mengambil jumlah yang banyak setiap kali makan. Mereka juga jarang mengambil sarapan dan kebanyakannya juga makan berlebihan pada waktu malam.
Bagaimana untuk kembali langsing?
Asas kaedah menurunkan berat badan adalah mengurangkan jumlah kalori, mengubahsuai tabiat makan dan melakukan riadah.
Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengawal diri daripada kebiasaan memakan makanan yang sedap dan digemari. Godaan demi godaan sentiasa dihadapi oleh individu yang bertungkus lumus menjalani proses pendietan yang mungkin berlangsung berbulan-bulan lamanya. Oleh itu, kesempatan Ramadhan ini adalah masa terbaik untuk merebut peluang menjalani diet dengan baik. Godaan yang biasanya datang daripada persekitaran akan menurun ke tahap minima dan peluang untuk berjaya menurunkan berat badan adalah tinggi.
Bagi anda yang berazam untuk menurunkan berat badan, ikuti beberapa saranan oleh pakar pemakanan seperti berikut :
- Kurangkan memakan makanan berlemak (termasuk minyak masak dan santan) dan gula
- Makanan yang diambil setiap hari (nasi, mi, roti, kekacang, daging, ikan dan sayuran) harus mempunyai protein yang cukup, rendah lemak, mengandungi vitamin dan mineral dan penting juga ia harus cepat menyenyangkan.
- Makan makanan yang berkalori rendah. Elakkan penggunaan minyak masak yang berlebihan. Makanan yang direbus atau dikukus adalah jauh lebih sedikit nilai kalorinya berbanding makanan yang digoreng. Semasa membersihkan daging, buang segala lemak yang menempel. Elakkan membeli daging cincang. Untuk daging ayam, buang kulit dan lemaknya.
- Elakkan memakan pil diet yang tidak diketahui mutu pemakanannya yang dijual tanpa nasihat dietisian atau doktor.
- Jangan mengurangkan berat badan secara mendadak. Maksimum berat tubuh yang boleh dikurangkan ialah 2 kilogram pada minggu pertama dan 1 kilogram pada minggu kedua dan minggu-minggu seterusnya. Untuk kebanyakan orang, separuh daripada jumlah di atas pun sudah memadai.
No comments:
Post a Comment