Sunday, June 15, 2008

Pesakit Untut Melanggar Sumpahan?

www.quaisz.blogspot.com

Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM Kubang Kerian, Kelantan

Rozali, 33 (bukan nama sebenar) berjalan sambil menyeret –nyeret kakinya yang besar sebelah. Diangkatnya kakinya yang bagaikan menggelembung dan berkematu itu perlahan-lahan agar jalannya tidak kelihatan terlalu terhincut-hincut. Matanya melilau ke kedai kopi yang jaraknya cuma satu meter. Niatnya hanya satu, ingin membasahkan tekak yang kering. Letih benar dia sejak dari tadi lagi tidak ketemu dengan air.

Beberapa orang di kedai kopi merenung Rozali dengan pandangan mencemuh. Ada yang memalingkan muka ke tempat lain. Jijik benar dia melihat kaki Rozali yang berlipat-lipat dan membengkak besar. Kelihatan jijik, aneh dan memualkan.

Rozali melabuhkan punggung di sebuah bangku di suatu sudut. Dia melemparkan senyuman kepada pengunjung kedai. Seorang demi seorang yang ada di bangku berhampiran mengangkat punggung dan mengambil tempat di sudut yang semakin jauh, sambil bibir mereka menjuih. “ Huh, inilah padahnya melanggar sumpah!” Bibir mereka mengomel-omel sambil berlalu. Rozali terkasima lagi. Matanya dikesip-kesip dan dirinya terasa dibuang jauh..

Senario di atas sering berlaku bukan sahaja kepada Rozali tetapi kepada ramai lagi bahkan semua penghidap penyakit untut. Ada yang menggelarkan mereka ‘kaki gajah’. Dan ramai lagi yang masih berfikiran kuno dengan mengganggap mereka telah melanggar sumpah, atau kencing atas busut!

Untut atau dengan nama saintifiknya Filariasis Limfatik adalah sejenis penyakit akibat sumbatan salur limfa oleh cacing yang dibawa oleh nyamuk Anopheles dan Mansonia Cacing yang masih dalam peringkat larva mikrofilaria ini menjangkiti manusia apabila nyamuk menyedut darah dari seorang mangsa dan memindahkannya kepada mangsa seterusnya.

Apabila masuk ke badan mangsa, mikrofilaria cacing ini akan menuju ke sistem limfa pesakit untuk membesar dan membiak. Cacing parasit ini boleh hidup di dalam badan manusia antara enam hingga 10 tahun. Semasa proses pembiakannya, ia boleh menghasilkan beribu-ribu mikrofilaria tanpa disedari oleh mangsa sehingga membentuk satu koloni besar dalam badan pesakit.

Sepanjang cacing berbentuk seperti benang ini hidup dalam badan, ia tidak mendatangkan masalah. Jangkitannya bersifat asimtomatik. Kesannya hanya dirasai apabila cacing dewasa mati dan sisa badannya itu yang boleh menyebabkan kaki, tangan, kemaluan dan buah dada mangsa menjadi bengkak.

Mangsa biasanya tidak mengetahui bahawa ia sebenarnya sedang ‘mengandungkan’ anak-anak cacing Wuchereria Bancrofti ataupun Brugia Malayi kerana tiada sebarang tanda jangkita ditemui.

Namun, antara tanda penting penyakit ini adalah demam dan bengkak kelenjar yang berulang dalam masa seminggu. Jika ia menyerang wanita, mereka mungkin akan mengalami masalah anemia ataupun keterencatan mental.

Biasanya, penyakit ini menyerang kanak-kanak. Tetapi disebabkan cacing tersebut boleh hidup lama sehingga bertahun-tahun, maka simtomnya akan timbul apabila kanak-kanak tersebut mencecah umur 30 tahun.

Antara lain tanda jangkitan akut ialah keradangan pada kulit, nodus limfa dan salur limfa dan akhirnya limfodema kronik atau kaki gajah. Walaubagaimanpun, bukan semua manusia yang digigit nyamuk akan mengdapat untut. Perkara ini bergantung kepada jumlah cacing yang mati yang menyumbat salur limfa dan tahap imuniti badan pesakit samada mampu melawan jangkitan ataupun tidak.

Para ibu yang mendapat penyakit ini juga tidak perlu risau kerana penyakit untut tidak boleh berjangkit kepada bayi melalui salur darah ibu.

No comments: