Sunday, June 15, 2008

MAKANAN SEGERA UNDANG BAHAYA

www.quaisz.blogspot.com


Makanan segera sebenarnya sudah lama dibimbangi kesannya oleh kebanyakan ibu-bapa di Malaysia. Ramai ibu-bapa yang melarang anak-anak mereka membeli keropok segera atau dipanggil ‘ca ken dis’ oleh orang Kelantan, atau ‘jajan’ oleh sahabat saya dari Johor.

Semasa kecil, ibu saya amat bertegas dengan makanan sebegini. Keropok segera, ais krim, minuman dalam tin, makanan dalam tin, makanan jeruk, sos, maggi dan segala makanan yang dipek dan diawet adalah dilarang keras. Malah di rumah saya tidak pernah ada stok ajinomoto atau sebarang perencah makanan.

Pihak kerajaan juga sudah semakin mengambil berat akan kelimpahan makanan segera di pasaran. Menteri kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga dengan tegas mempertahankan prinsip beliau mengharamkan iklan makanan segera ini terutamanya di kaca televisyen. Tindakan beliau patut dipuji dan disokong oleh para ibu-bapa. Kanak-kanak patut dilindung daripada terus menelan bahan kimia yang bertoksik yang terdapat dalam kebanyakan bahkan semua jenis makanan segera.

Namun, berbeza pula ceritanya pada makanan segera khas untuk warga dewasa. Sekarang ini semakin banyak kedai-kedai makanan segera yang meniru syarikat gergasi dunia iaitu KFC dan Mc Donald dibuka unpama cendawan tumbuh selepas hujan. Selepas satu, satu lagi syarikat makanan segera dibuka yang beroperasi kadang-kadang hingga ke larut malam. Sambutan yang diterima pula amat menggalakkan. orang berpusu-pusu datang menikmati ayam goreng, kebab, kentang goreng dan bermacam lagi makanan ala barat ini.


Nampaknya, walaupun masyarakat sedar akan bahaya yang terkandung dalam makanan segera itu, namun tiada apa yang dapat menandingi keenakan kepingan rangupnya. Usahkan mahu menegah anak, ibu-bapa sendiri yang membawa anak-anak mereka ke restoran-restoran, KFC, IFC, AFC, dan pelbagai lagi.

Sehinggakan dari sehari ke sehari, bilangan kanak-kanak yang obes di sekolah di seluruh Malaysia semakin bertambah. Bilangan kanak-kanak yang menghidap penyakit buah pinggang dan mendapat serangan sehingga boleh menyebabkan kematian juga bertambah. Di dada-dada akhabr juga semakin bertambah ibu-bapa yang merayu masyarakat supaya menderma wang ringgit bagi menampung kos perawatan terhadap anak mereka yang terpaksa dibedah yang memerlukan puluhan ribu ringgit bahkan berjuta ringgit.

Daripada kajian Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), sebanyak dua puluh lima peratus atau suku daripada semua rakyat Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan atau gemuk, menjadikan kita bangsa yang ‘paling gemuk’ di Asia Tenggara.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, lebih 1.2 bilion orang di seluruh dunia dikelaskan sebagai mempunyai berat badan yang berlebihan sementara 250 juta lagi dikelaskan sebagai bertubuh gemuk

Tiga puluh tiga peratus rakyat Malaysia berusia tiga puluh tahun ke atas menderita akibat tekanan darah tinggi. Tiga juta atau satu per enam daripada penduduk mempunyai kadar kolesterol yang tinggi, dan kadar pesakit strok adalah ketiga terbesar sesudah kanser dan serangan jantung. Dan hampir sepuluh peratus atau dua juta rakyat Malaysia menderita kesakitan akibat penyakit kencing manis atau diabetes.

Rakyat Malaysia semakin dicabar dengan kehidupan yang serba pantas menyebabkan ramai yang mengambil langkah menghidangkan ahli keluarga dengan makanan yang serba pantas juga sehingga menyebabkan mereka mendapat penyakit dengan tiba-tiba.

Perut adalah punca penyakit. Badan kita, walapun mempunyai sistem pertahanan badan yang cangih dan kompleks, namun jika disogok dengan pelbagai bahan toksik, ia tidak mampu melawan juga. Bahkan penyakit itu berkembang dalam badan tanpa disedari oleh mangsanya.

Kegemukan, selain berpunca dari faktor keturunan atau warisan daripada ibu-bapa atau nenek-moyang, turut disebabkan oleh tabiat pemakanan. Memakan makanan yang digoreng dalam minyak yang banyak seperti kentang goreng umpamanya boleh menggemukkan anda. Kanak-kanak yang duduk di depan TV sambil memakan kentang goreng dan donut boleh menjadi gemuk dengan mudah. Antara lain faktor gemuk adalah insulin yang membolehkan tubuh menyimpan kalori tambahan sebagai lemak. Bersenam boleh membantu mngawal paras insulin.

Kegemukan mengundang banyak penyakit. Golongan yang gemuk mudah terdedah kepada penyakit-penyakit seperti diabetes, kardiovaskular dan sesetengah kanser.

Kanak-kanak yang gemuk pula menanggung risiko lebih besar menjadi orang dewasa yang gemuk. Pertambahan kanak-kanak gemuk pada masa depan akan menimbulkan masalah kesihatan di seluruh dunia. Ia akan menjejaskan ekonomi, menimbulkan penderitaan dan menyebabkan peningkatan dalam jumlah kematian awal. Keadaan ini benar-benar akan menjadi krisis penjagaan jesihatan.

Kegemukan ketika kecil adalah berpunca darpada ketidakseimbangan di antara kalori yang keluar masuk ke dalam badan. Tetapi persamaan yang mudah ini dipengaruhi oleh cara kanak-kanak itu makan, bersenam dan bermain. Maka, di sini ibu-bapalah yang paling berperanan mendidik anak-anak agar mengambil makanan yang baik dan berkhasiat sahaja. Ibu-bapa perlu mengelakkan anak-anak mereka dari membeli makanan ringan yang mengandungi khasiat yang hanya sedikit tetapi mengandungi gula dan lemak yang banyak.

Makanan ringan sebegini tidak mengenyangkan tetapi ia amat lazat lantaran penggunaan bahan penambah perisa di dalamnya. Kanak-kanak akan ketagih pada kesedapan rasanya sehingga mereka enggan menikmati nasi atau makanan lain yang berkhasiat.

Makanan ringan dan makanan segera juga mengandungi sejenis bahan kimia iaitu lemak trans. Lemak trans membuatkan makanan bertambah sedap dan enak. Antara makanan yang diadunkan bersama lemak trans adalah coklat, biskut, ayam goreng, aiskrim, kek, kentang goreng, bijirin sarapan pagi, roti dan kek. Lemak trans dikelaskan sebagai lemak tak tepu. Ia dihasilkan melalui proses penghidrogenan dalam industri. Dalam proses ini, minyak sayuran ditambahkan atom hidrogen.


Pada tahun 1994, Profesor Walter Willet, Ketua Jabatan Pemakanan HSPH, bersama-sama Dr Alberto Asvherio menulis sebuah komen tentang lemak trans yang lebih merosakkan kesihatan jantung berbanding lemak tak tepu. Lemak trans juga bertanggungjawab terhadap 30 ribu kes kematian pramatang setiap tahun di AS. Banyak persatuan pengguna yang menggesa penggunaan lemak trans ini diharamkan. Kerja keras mereka akhirnya membawa kejayaan apabila pada Oktober 2006, syarikat makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) telah mengumumkan penggantian minyak goreng yang mengandungi bahan penyumbat pembuluh darah itu kepada penggunaan minyak kekacang yang tidak mengandungi lemak trans.

Walau bagaimanapun, minyak yang mengandungi lemak tak tepu samada asid lemak poli tak tepu atau asid lemak mono tak tepu, sekiranya dipanaskan sehingga suhu tinggi semasa menggoreng ayam, akan membuatkan struktur kimianya berubah menjadi lemak trans. Ini bermakna, tidak kiralah minyak apa sekalipun, apabila dipanaskan untuk menggoreng ia boleh berubah menjadi lemak trans yang memudaratkan kesihatan manusia.

Justeru, masyarakat perlu mengambil berat tentang kesihatan tubuh badan mereka. Para ibu terutamanya, perlu menitik beratkan soal pemakanan pada keluarga mereka kerana dengan makanan inilah anak-anak akan berkembang. Makanan bisa mempengaruhi pemikiran dan perangai anak-anak. Maka pilihka makanan yang halal, dan baik untuk melihat kejayaan anak-anak samada di dunia ataupun di akhirat.

14 mei 2007

No comments: