Sunday, June 15, 2008

DERA; Selamanyakah Isteri Menjadi Mangsa?

Di kala wanita sudah berada di puncak tertinggi kehidupan dan menjadi pencabar lelaki dalam segenap aspek dunia, masih ada yang membiarkan diri menjadi mangsa kekejaman sang suami, sama ada secara rela, secara terpaksa, atau lantaran kasih yang tak bertepi kepada suami sehingga sanggup menggadaikan diri untuk dikasari oleh insan yang paling disanjung itu.

Mereka dipukul, disimbah gulai panas, dilarang bergaul, diancam dalam tindak-tanduk, dimaki hamun sehingga menyebabkan mereka hilang rasa kepercayaan pada diri sendiri.

Namun, yang peliknya, mungkin sudah anugerah Allah kepad kaum Hawa, memiliki seketul hati yang tabah dan tahan terhadap perkara-perkara yang menyakitkan hati, mereka mampu bertahan sehingga bertahun-tahun lamanya dengan lagak si suami yang sebegitu. Hingga tiada sesiapa yang menyangka, isteri yang kelihatan ceria di tempat kerja tetapi di rumah sentiasa diburu ketakutan dan sepak terajang suami.

Beberapa kes keganasan rumah tangga telah dikemukakan oleh Puan Siti Hawa binti Ali, Pensyarah Bahagian Sosiologi USM yang telah terlibat lebih 20 tahun dalam mengendalikan kes-kes keganasan rumah-tangga semenjak beliau bertugas pada program Ceramah Kesedaran Sempena Minggu Kesedaran Undang-Undang, Jumaat lalu di Balai Armalah Dun Kijang, Kota Bharu, Kelantan.

Menurut beliau, ada pasangan yang sejak dari alam bercinta sudah mula memukul pasangan wanitanya. Dalam hal ini, beliau menyeru ibu-bapa si perempuan agar tidak membenarkan anaknya berkahwin dengan lelaki tersebut, lantaran sikap mudah naik angin sebegitu akan semakin menjadi-jadi selepas mereka sah menjadi suami isteri. Keadaan sebegitu harus diuruskan terlebih dahulu sehingga keadaan menjadi pulih.

Isteri didera dengan bermacam-macam alasan yang tidak munasabah. Masakan kurang menyelerakan, memakai baju yang suami kurang berkenan, anak menangis dan bermacam lagi. Sebenarnya itu hanyalah alasan yang dicetus oleh suami untuk mengasari isterinya. Malah ada juga suami yang baru dimarahi oleh bos, pulang ke rumah terus mencari isteri bagi melepaskan bahang amarahnya, bagaikan sengaja mahu mensasarkan penumbuknya kepada isteri.

Menurut Puan Siti Hawa lagi, terdapat satu kes keganasan yang berlaku pada seorang wanita Indonesia yang datang kepada beliau dalam keadaan cedera akibat dipukul oleh suami dengan kerusi kayu. Wanita malang itu telah cedera teruk dan dalam keadaan yang sangat cemas. Namun sebaik sahaja dia berjaya ditenangkan, dia meminta untuk pulang kepada suaminya. Apabila ditahan daripada meneruskan niatnya, beliau menjawab dan mempertahankan suaminya, “Marahnya itu mungkin seketika sahaja.”

Perkara sebegini memang biasa berlaku pada isteri-isteri yang didera oleh suami. Walaupun sakit dan takut, mereka dengan hati yang tulus akan tetap jua pulang ke rumah. Mungkin rasa hormat, sayang dan cinta melebihi segala-galanya. Itulah wanita.. keistimewaan inilah memberi ruang untuk diri mereka dikasari.

Sebenarnya mahkamah boleh memberi perintah perlindungan secara sementara ataupun penuh kepada mangsa keganasan. Bahkan di setiap hospital, terdapat satu unit khas di bawah Unit Kecemasan yang bertanggungjawab menjaga mangsa-mangsa keganasan dan mereka di tempatkan di satu tempat khas di bawah unit tersebut.

Kes penderaan antara suami-isteri seperti ini perlu diberi perhatian kerana perkara ini akan merebak kepada anak-anak. Seringkali kita jumpa, anak pun turut didera. Anak ini mungkin didera oleh ayah mereka, tetapi seringkali terjadi ibu yang begitu tertekan dengan suami dan asyik diganasi akhirnya melepaskan tekanan kepada anaknya pula.

“Selain maki hamun, pulau, dikurung, dimalukan dan didera secara fizikal, ada juga isteri menerima penderaan seksual yang lebih sukar untuk diselesaikan. Akibat suami gemar menonton filem lucah, isteri dipaksa melakukan aksi yang serupa dalam filem tersebut sehingga isteri menjadi trauma terhadap malam, tiada selera makan dan menjadi fobia. Sebab itulah sekarang sudah ada pembaharuan dalam undang-undang di mana suami tidak boleh mendera isteri secara seksual,” tambah beliau.

Namun, akhir-akhir ini terdapat beberapa kes di mana isteri yang sudah tidak sanggup didera oleh suami akhirnya membunuh suaminya ataupun anak mereka seperti kes baru-baru ini, di mana isteri mencurah asid ke tubuh suami dan satu lagi kes di mana seorang isteri menyelamkan anaknya ke tali air kerana tidak tahan dengan tekanan daripada suaminya yang merupakan seorang penagih dadah dan tidak memberi nafkah kepadanya.

Oleh itu, Puan Siti Hawa menyeru agar masyarakat bersikap prihatin dengan permasalahan ini dengan membuat laporan undang-undang jika mengetahui jiran atau keluarga terdekat diganasi atau didera sama ada secara mental, fizikal ataupun seksual. Rakyat juga boleh menggunakan khidmat guaman walau sekadar mendapatkan nasihat bagi menjernihkan suasana.
Post a Comment