Sunday, June 15, 2008

Susu Ibu Adalah Yang Terbaik

Oleh : Samhani Ismail

Susu ibu adalah susu yang paling baik di dunia. Bandinglah dengan mana-mana susu sekalipun, ia tidak dapat menandingi kehebatan susu ibu. Bukan hanya pada zatnya yang banyak, tapi pada kasih sayang ibu yang turut mengalir bersama-sama dengan air susu tersebut.

Penyusuan susu badan ibu sangat digalakkan dalam agama Islam. Agama Islam sendiri menggalakkan para ibu memberi anak mereka susu dada sehingga mencapai umur enam hingga dua tahun.

Bukan saja khasiatnya amat tinggi kepada kesihatan dan perkembangan bayi, malah ia boleh menjadi penjarak kehamilan bagi ibu. Anak yang disusukan ibu akan merasa bahawa si ibunya sentiasa dekat dengannya hingga menghasilkan perasaan damai dan rasa disayangi pada si anak.

Susu ibu adalah imunisasi pertama dan paling penting kepada bayi. Ia dapat menyelamatkan bayi kerana mengandungi banyak zat yang diperlukan di samping kolostrum yang mengandungi antibodi. Selain meningkatkan IQ kanak-kanak, ia juga mengandungi docasahexanoic (DHA) iaitu lemak tak tepu rantaian panjang yang penting dalam perkembangan otak manusia.

Di samping itu, susu ibu mempunyai ramuan yang banik untuk menggalakkan tumbesaran bayi. Ia juga membantu perkembangan organ-organ lain seperti mata dan system saraf bayi, juga dapat mengelakkan bayi daripada mendapat penyakit seperti radang perut, jangkitan telinga tengah dan pneumonia.

Berdasarkan kajian ke atas bayi-bayi yang baru lahir, penggalakan kepada penyusuan susu ibu telah mengurangkan risiko kematian bayi baru lahir sebanyak empat kali ganda.

Justeru, bakal ibu terutamanya yang berkerjaya perlu bersedia untuk berdepan dengan keadaan ini. Mereka perlu mendalami pengetahuan tentang penyusuan ibu di samping bijak mengurus kesibukan bagi meluangkan masa untuk menyusu dan menyediakan stok susu perahan kepada bayi mereka.

No comments: