Sunday, June 15, 2008

Suami Isteri Berjauhan-dari pandangan seorang Doktor

oLEH : Samhani Ismail

Keperluan hidup, tuntutan tugas dan kepuasan sering menjadi sebab untuk isteri keluar bekerja. Tambahan pula di era yang serba maju dan segalanya memerlukan wang ringgit hatta untuk seteguk air, maka kebanyakan isteri-isteri di Malaysia ini rata-ratanya bekerjaya. Lebih parah, isteri di utara, suami di selatan. Hujung minggu baru boleh berjumpa. Bahkan yang berjarak Sungai Laut China Selatan lebih memendam rasa, memendam rindu dan sengsara berbulan-bulan lamanya.

Ikuti wawancara bersama Doktor Zaliha Ismail, Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat di Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan berkenaan isu ini dari sudut kesihatan.

Apakah pandangan doktor terhadap suami isteri yang tinggal berjauhan lantaran tuntutan tugas?

Tinggal berjauhan memang sukar, ibarat kata orang, dapur menjadi dua, masalah kewangan sudah pasti akan timbul. Kerinduan terhadap keluarga, terutama jika ada anak kecil yg sedang membesar, perlukan belaian dan kasih sayang. Isteri juga pasti merasa rindu terhadap kasih sayang suami. Cuma ini mungkin sedikit sebanyak terubat melalui SMS, perbualan telefon, email dan sebagainya, tetapi ia seringkali melibatkan kos yang tinggi.

Apakah kesan isteri dan suami yang tinggal berjauhan dari sudut kesihatan mereka dan anak-anak?

Suami dan isteri saling memerlukan dari segi keperluan emosi, perasaan, hubungan lahir dan batin. Jika berjauhan, keperluan ini mungkin tidak dapat dipenuhi sepenuhnya. Tahap keseriusan masalah ini bergantung kepada sesorang itu, sejauh manakah mereka dapat mengatasi masalah seperti kerinduan dan kesunyian. Penyakit kemurungan (depression), stress mungkin boleh terjadi kepada mereka. Jika berjauhan, sudah tentu hubungan seksual sedikit sebanyak akan terjejas. Bagi sesetengah orang, masalah ini juga boleh menjejaskan kesihatan, menyebabkan sakit kepala, lemah anggota badan, migrain dan sebagainya.

Bagi anak-anak terutama yang sedang membesar, kasih sayang dan bimbingan kedua ibu dan ayah amat diperlukan. Jika kekurangan salah satu daripadanya, masalah ’parental deprivation’ akan dirasai. Anak-anak yang membesar tanpa kasih sayang yang secukupnya kemungkinan akan mengalami masalah kesihatan seperti kekurangan atau kelebihan berat badan, emosi terganggu yang mana kesan di kemudian hari yang kurang baik. Anak2 akan mencari kasih sayang dari pihak lain, mudah terpengaruh dengan kawan-kawan atau rakan sebaya. Ibubapa seharusnya menjadi rakan yang baik kepada anak-anak, tetapi jika ibu atau bapa berjauhan sudah tentu anak-anak kesunyian dan mencari orang lain.

Siapa yang perlu mengalah, demi menjaga kebahagiaan rumah tangga?

Soal siapa yang perlu mengalah bukan persoalannya. Perkara ini perlu dibawa berbincang bersama. Dalam perbincangan, banyak perkara yang perlu difikirkan, tentang pekerjaan, pendapatan, keselesaan, kebahagiaan anak-anak, masa depan dan sebagainya. Kita perlu sepakat, walaupun terpaksa bertukar jawatan. Jika itu yang boleh membawa kebahagiaan, kita perlu berkorban. Kita juga perlu ingat, semuanya ditentukan oleh Allah, tetapi kita harus berusaha, beertolak ansur dan berdoa kepadaNya.

Apakah sebenarnya perasaan suami yang tersirat apabila isteri tinggal berjauhan untuk kerjaya.

Perasaan suami yang tersirat tu susah sikit kita nak jangka. Jika suami berpangkat rendah, mungkin mempunyai perasaannya lain dengan suami yang beerpangkat dan bergaji besar. Tetapi sebagai seorang isteri kita seharusnya disamping suami. Renung seketika apakah erti dan tujuan perkahwinan kita yang sebenarnya. Jika persetujuan telah dicapai oleh suami dan isteri dan masing-masing mengizinkan untuk mengejar cita-cita bagi sesuatu tempoh yang tertentu, saya rasa ianya tidak menjadi masalah. Tetapi jika tempoh yang lama dan keadaan ini mengganggu perasaan dan emosi, cara yang terbaik berbincang dan cari jalan penyelesaiannya.

No comments: