Sunday, June 15, 2008

Perlunya Bank Tisu dalam perubatan

Bank Tisu Negara yang telah ditubuhkan hasil kerjasama pintar antara Agensi Nuklear Malaysia dengan Universiti Sains Malaysia bersama Agensi Tenaga Atom Antarabangsa pada tahun 1990 telah menyambut ulang tahunnya yang ke-15 baru-baru ini.

Bank Tisu Negara yang merupakan satu kemudahan untuk memproses, menyedia dan membekalkan ‘tisu gantian’ yang diperlukan dalam perubatan telah mendapat pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2000 pada Mac, 2005.

Bank Tisu Negara menyediakan perkhidmatan membekalkan graf tisu dan tisu ganti bagi merawat pesakit yang menghadapi masalah tulang, lecuran kulit dan ulser kornea.

Tisu gantian yang merupakan tisu atau organ yang diderma dan diproses sebagai bahan biomaterial boleh digunakan dengan selamat. Bank Tisu berupaya mengendalikan pemilihan tisu dan pemprosesan berdasarkan prinsip ‘Amalan Pengeluaran Baik’ yang sejajar dengan keperluan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001 : 2000. Oleh sebab itu, tisu yang dibekalkan adalah bermutu tinggi dan bebas dari penyakit berjangkit.

Dengan adanya bekalan tisu gantian yang sedia diguna pada bila-bila masa, pesakit tidak lagi perlu dibedah untuk mendapatkan graf tisu yang boleh menambahkan kemudaratan dan merosakkan struktur normal badannya.

Antara kemudahan yang disediakan oleh sesebuah bank tisu ialah menjalankan aktiviti pengambilan, pemprosesan, penyimpanan serta pembekalan tisu kepada pakar bedah dan perubatan. Bahan-bahan biomaterial seperti selaput Amnion, graf tulang manusia (allograf), graf tulang haiwan (xenograf) dan graf tulang tiruan (coragraf dan hydroxyapatite) telahpun siap diproses dan ianya mula dibekalkan sehingga hari ini.

Bank Tisu Negara atau nama asalnya Bank Tisu Nasional telah dirasmikan pada November 1994 oleh Senator Dato’ Mustapa Mohamed selaku Timbalan Menteri Kewangan Malaysia ketika itu. Kini, genapnya usia Bank Tisu Negara USM 15 tahun, sebanyak 12,000 selaput amnion dan 2,000 graf tulang digunakan ke atas lebih 10,000 pesakit di 38 hospital kerajaan dan swasta yang telah menerima perkhidmatan dari Bank Tisu Negara.

Walaupun pendermaan tisu kurang diketahui umum berbanding pendermaan organ, Namun impaknya besar kerana tisu gantian diperlukan untuk mengekalkan dan meningkatkan kualiti hidup pesakit. Misalnya penggunaan selaput amnion dari uri ibu bersalin dapat merawat luka lecuran tanpa meninggalkan parut dan penggunaan graf tulang dalam menggantikan bahagian tulang yang rosak dapat mengelakkan dari amputasi pada anggota badan.

No comments: