Sunday, June 15, 2008

Diabetes; Elakkan komplikasi jangka panjang

www.quaisz.blogspot.com

Berdasarkan laporan khas Harvard, sekiranya penyakit diabetes tidak dirawat atau menerima rawatan yang kurang sempurna, komplikasi yang serius akan timbul seperti kerosakan mata, buah pinggang dan saraf.

Hampir semua komplikasi yang timbul pada pesakit diabetes berikutan kandungan glukosa yang melampau di dalam darah dan keadaan ini berterusan sehingga beberapa tahun. Masalah ini mengganggu kedua-dua jenis pesakit diabetes jenis I dan jenis II.

Persoalan bagaimana kadar gula yang tinggi bisa merosakkan tubuh badan masih belum difahami dengan jelas, tetapi kajian menunjukkan ia melibatkan satu jangkamasa yang cukup panjang untuk merosakkan keutuhan salur darah dan jaringan sistem saraf.

Masa demi masa, glukosa yang wujud ini mengubah dinding kapilari darah menjadikannya lebih nipis dan melekit membuatkan saluran akan tersumbat seterusya mengganggu aliran darah ke seluruh organ badan yang memerlukan.

Penyakit mata

Diabetes meningkatkan risiko mendapat masalah penglihatan dan ia telah menyebabkan beberapa kes kebutaan mata pada pesakit diabetes yang berumur lingkungan 20 hinga 74 tahun. Walaupun kebanyakan masalah adalah menyebabkan kerosakan retina (retinopati), diabetes turut mengakibatkan gejala katarak dan glaukoma.

Retinopati diabetes. Diabetes memberi kesan kepada saluran darah yang menjurus ke retina, iaitu lapisan pada belakang mata di mana imej ditangkap dan direkodkan. Retina berfungsi mengubah tenaga cahaya kepada impuls elektrik dan menghantar imej visual ke otak di sepanjang saraf optik.

Lebih kurang 25 peratus pesakit diabetes menunjukkan tanda-tanda mempunyai retinopati setelah 5 tahun disahkan menghidap diabetes. Selepas 20 tahun kemudian, hampir kesemua pesakit diabetes jenis I mempunyai retinopati berbanding hanya 60 peratus penghidap diabetes jenis II. Sebahagian daripada mereka pula mempunyai simtom yang lebih serius. Ini bermaksud, penyakit ini kian kronik dan disebut sebagai retinopati proliferatif.

Pengesanan awal amatlah penting dalam mencegah kebutaan dan kehilangan pandangan. Walaubagaimanapun, tidak mudah untuk merawat retinopati kerana ia bertindak secara senyap.

Oleh itu, pesakit diabetes perlu menjalani pemeriksaan mata setiap tahun dengan pakar mata (ahli oftalmologi). Retinopati juga kerapkali wujud secara tiba-tiba pada wanita mengandung yang mempunyai diabetes. Maka mereka seharusnya menjalani pemeriksaan pada awal trimester pertama kandungan diikuti 3 hingga 6 bulan selepas kelahiran.

Katarak dan glaukoma. Individu diabetes cenderung untuk mendapat katarak, iaitu selaput putih yang terbentuk pada mata dan mengkaburkan penglihatannya. Katarak melalui proses yang perlahan dan tidak menyakitkan, tetapi anda akan menyedari pandangan anda sudah mula kabur dan ia harus diselamatkan melalui pembedahan bagi membuang katarak.

Glaucoma, iaitu gangguan akibat tekanan yang berlebihan pada bola mata juga seringkali terjadi pada pesakit diabetes. Seperti retinopati, ia sering diabaikan kerana tidak menunjukkan simtom yang ketara pada perigkat permulaannya. Jika glaukoma tidak dikesan dan dirawat, ia boleh mengkibatkan kerosakan saraf mata serta kebutaan. Dalam sesetengah kes, pembedahan laser boleh membantu meningkatkan pengaliran cecair yang menghasilkan tekanan itu tetapi kehilangan penglihatan akibat glaukoma tidak boleh diselamatkan.

Kerosakan saraf

Masalah kerosakan saraf ataupun neuropati akibat diabetes banyak berlaku dan sekali lagi kadar gula yang tinggi diletakkan dalam kandang pesalah. Apabila berlaku kerosakan saraf, jaringan saraf yang menghantar mesej dari dan kepada bahagian-bahagaina tubuh akan menjadi perlahan, seterusnya menghantar maklumat yang silap atau langsung gagal melaksanakan tugas tersebut. Setakat ini para saintis masih tercari-cari sebab mengapa keadaan ini berlaku dan mereka menjangkakan, apabila glukosa melekat pada protein saraf, ketidaksabilan kimia akan terhasil pada saraf dan menghalang darah dari mengalir ke saraf.

Sekitar 60 hingga 70 peratus pesakit diabetes menunjukkan tanda-tanda neuropati yang hanya boleh dikesan melalui pemeriksaan fizikal dan khas. Neuropati serius, terutama apabila bergabung dengan komplikasi pada sistem vaskular, boleh menyebabkan masalah ulser dan kehilangan anggota badan bahagian bawah.

Neuropati periferal. Kerosakan saraf yang sering berlaku, iaitu neuropati periferal memberi kesan kepada saraf panjang yang menyambungkan tulang belakang dengan lengan dan kaki, mengakibatkan simtom-simtom seperti kebas, mencucuk dan penurunan sensiviti pada sentuhan .

Mungkin ia tidak menjejaskan apa-apa pada pesakit. Namun, masalah besar timbul apabila pesakit kurang sensitif pada sentuhan, tekanan dan kesakitan, menghadirkan satu kecederaan yang lebih serius terutama pada kaki semasa mereka melakukan aktiviti seharian, senaman mahupun berjalan. Oleh itu, penting bagi pesakit memeriksa kaki setiap hari bagi memastikan tiada sebarang luka yang wujud. Jika terdapat luka yang tidak disedari, jangkitan kuman mungkin berlaku dan aliran darah yang perlahan menyukarkan lagi keadaan, mengakibatkan ulser yang kadangkala berbahaya dan terpaksa menjalani amputasi (dipotong).

Neuropati fokal. Kerosakan saraf yang jarang kita dengar, iaitu neuropati tumpuan yang berlaku pada set saraf tertentu, melibatkan muka, kaki, tangan atau mata menjadi lemah. Pakar beranggapan bahawa keadaan berlaku ekoran terdapat satu penghalang yang menyekat bekalan darah dari mengalir. Tangan pesakit menjadi lemah, kaki tidak dapat bergerak dan pandangan bepecah menjadi dua merupakan antara tanda-tanda neuropati fokal ini. Biasanya, ia akan pulih dalam jangka masa 2 hingga 6 bulan.

Neuropati autonomik. Kerosakan saraf ini melibatakn sistem saraf autonomik, iaitu saraf yang mengawal fungsi tubuh seperti pencernaan, perpeluhan dan penegangan. Neuropati autonomik memberi kesan yang tidak menyelesakan pesakit seperti meningkatnya degupan jantung, berpepeluh, masalah kembung, pening, mual, muntah, cirit-birit dan sembelit. Individu yang mempunyai masalah ini tidak mampu untuk mengosongkan pundi kencing mereka yang mana turut mengakibatkan jangkitan, seterusnya akan mengalami masalah impoten iaitu mati pucuk.

Post a Comment