Sunday, June 15, 2008

Guna Semula Botol Mineral Menyumbang Kanser

www.quaisz.blogspot.com

Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM Kubang Kerian, Kelantan

Air mineral merupakan air yang mempunyai kandungan mineral yang tinggi berbanding air paip yang kadangkala mempunyai banyak klorin. Air mineral bagaikan sudah sebati dengan kehidupan masyarakat sekarang dan ia umpama keperluan asas bagi rakyat Malaysia. Bahkan penggunaannya kerapkali mampu mengganti air berperisa yang lain di pasaran.

Tidak dinafikan, air mineral yang kita minum amat baik untuk kesihatan lantaran keperluan badan yang amat tinggi terhadap air sebagai medium utama tindakbalas kimia dalam badan. Malah, ibu bapa terutamanya yang mahu berjimat kadangkala agak berkira untuk membuang botol air mineral tersebut dan menggantikannya dengan yang baru. Ramai ibu bapa yang lebih selesa mengitar semula botol tersebut dan menggunakannya sebagai bekalan kepada anak-anak ke sekolah.

Tabiat ini walaupun baik dari segi berjimat cermat, tetapi mempunyai kesan yang tidak sihat kepada tubuh badan. Ini disebabkan botol air mineral dikhuatiri mudah rosak dan ia akan mengeluarkan bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser. Botol air yang diperbuat daripada plastik asalnya tidak berbahaya kerana ia diperbuat daripada rantai polimer. Walaubagaimanapun, apabila botol itu terdedah kepada panas atau tergores semasa mencucinya, ia akan melepaskan anak rantai monomernya yang bersifat karsinogenik. Karsinogenik adalah zat yang boleh menyebabkan kanser dengan mengubah DNA sehingga menyebabkan pembahagian sel yang tidak terkawal dan akhirnya tumbuhlah kanser.

Tambahan pula, berdasarkan penyelidikan oleh University of Calgary, Kanada, mendapati penggunaan semula botol plastik secara berulangkali boleh mengundang pembiakan bakteria. Pembiakan bakteria berpunca daripada tangan dan mulut yang menggunakan botol secara berulangkali tanpa membasuh dan mengeringkannya. Seperti alatan lain, daki pasti melekat pada botol sekiranya tidak dicuci dengan bersih.

No comments: