Biarkanlah ia berlalu ….
Tuhanku,
Aku hambaMu yang diseksa dan dihina
Akan kutanggung segala kesakitan, kusabarkan dan kutahankan
Namun, jika datang penderitaan yang lebih berat daripada yang sedang aku alami ini,
Sesungguhnya ia akan melukakan rohku dan mengikis kesabaran yang masih tersisa di hatiku ..
Fail masa lalu perlu ditutup, dilipat dan disimpan, bukan dibuka dan dipersoalkan. Ia perlu ditutup buat selama-lamanya dan dikurung di dalam penjara kelupaan, diikat dengan gari di dalam kurungan yang kuat hingga ia tidak dapat keluar. Ia adalah perkara yang sudah selesai. Maka ia tidak mungkin kembali dengan apa jua kesedihan, tidak dapat diubah dan diperbaiki dengan apa jua kedukaan, tidak dapat dihadirkan dengan apa jua kegelisahan, dan tidak akan dapat dihidupkan semula dengan apa juga kebingungan – ia adalah sesuatu yang sudah tiada.
Jangan biarkan hidupmu dihantui masa lalu, jangan biarkan dirimu sentiasa dibayang-bayangi oleh sesuatu yang sudah berlalu. Lepaskanlah dirimu dari pengaruh dan bayangan masa lampau. Adakah anda mahu mengembalikan sungai kepada sumber mata airnya, memulangkan matahari ke tempat terbitnya, mengembalikan kanak-kanak ke dalam rahim ibunya dan air mata kepada mata? Sesungguhnya meratapi masa lalu dan menangisinya akan membuatmu terbakar dalam apinya. Kembali ke pangkuan masa lalu sama sahaja meletakkan anda dalam kemelut dan tragedi yang sangat dahsyat dan menakutkan.
Hidup dengan mengungkit-ngungkit masa lalu bermakna menyia-nyiakan masa sekarang, mengoyak-ngoyakkan perjuangan, dan memporak-perandakan masa kini. Segalanya sudah selesai. Tidak ada gunanya lagi menghurai dan memanjang perjalanan sejarah. Sesungguhnya manusia tidak perlu menoleh atau berpaling ke belakang. Sebab hembusan angin sentiasa menghala ke depan, air mengalir pun menuju ke depan, kafilah berjalan pun kearah depan. Justeru, jangan
Bukan mustahil hidup anda tinggal sehari sahaja lagi – hari ini. Maka anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja, atau seolah-olah anda dilahirkan hari ini dan akan mati hari ini juga. Dengan begitu, hidup anda tidak akan koyak-rabak di antara gumpalan keresahan, kesedihan dan suka-duka serta parut masa lalu dengan bayangan hantu masa depan yang penuh dengan keraguan dan sering menakutkan.
“ Terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang ang bersyukur.”
( surah al-A’raf : 144 )
…… dan aku adalah hamba yang sengsara dan amat memerlukan, hamba yang meminta pertolongan dan yang mohon bantuan, hamba yang penakut yang minta dikasihani ....
…. Ya Allah aku mohon kepadaMu sebagaimana memintanya si miskin, dan aku berdoa kepadaMu seperti doa orang yang berdosa dan amat hina. Aku memohon kepadaMu seperti orang penakut lagi pula buta, juga seperti berdoanya orang yang menundukkan jiwanya, merendahkan raganya dan wajah serta hidungnya kepada-Mu. ….
No comments:
Post a Comment