Wednesday, June 27, 2007

Haji Ali Pulau Pisang-Gugurnya Bintang Yang Berkilau

Tok Kenali pernah berkata kepada muridnya, “ Kalau nak belajar nahu, pergilah kepada Haji Ali.”

Begitulah kehebatan seorang murid kesayangan Tok Kenali. Beliau mempunyai ingatan yang kuat dan warak. Beliau sentiasa bersungguh-sungguh mengislahkan ajaran agama sehingga mendapat gelaran ‘Salahuddin’.

Haji Muhammad Ali Salahuddin bin Awang adalah seorang ulama’ Kelantan yang mempunyai kemahiran yang luarbiasa dalam ilmu nahu dan saraf. Beliau diputerakan dalam keluarga miskin pada 1899 di Kg Telok Katak, Mukim Pulau Pisang, Daerah Badang, Kota Bharu, Kelantan. Bapanya, Ali bin Kali bekerja sebagai penyadap kelapa dan suka memelihara lembu jantan yang cantik. Ibunya, Wan Kalthum sudah meninggal lalu Hj Ali dipelihara oleh neneknya, Wan Jingga.

Semangat belajar yang tinggi

Semenjak tinggal bersama neneknya, beliau belajar al-Quran dari bapa saudaranya sebelah ibu, Wan Abu Bakar. Bakat menghafaz sudah terpancar pada beliau. Beliau cekap mengingat berbanding pelajar lain. Melihatkan kebolehan ini, gurunya mengesyorkan agar beliau menyambung pelajaran di pondok.

Haji Ali mendapat sokongan guru dan ibu tirinya, Che jah untuk menyambung pelajaran di Pondok Haji Abdul Malik, Sungai Pinang walaupun ayahnya membantah. Ayahnya mahukan Haji Ali membantu kerja-kerjanya. Beliau begitu tekun menuntut ilmu walaupun tidak mendapat bantuan dari bapanya. Selesai belajar di sana, beliau kemudiannya meneruskan pelajaran ke Pattani.

Di Pattani, beliau mendapat pengetahuan yang banyak. Namun, semangat untuk belajar masih berkobar-kobar yang akhirnya membawa beliau ke Pondok Haji Yusof Pulau Ubi, Geting, Tumpat, Kelantan.

Ke Mekah

Selepas beberapa tahun di sana, beliau ditawarkan oleh bapa saudaranya, Haji Pandak untuk menemani anaknya, Abdul Kadir ke Mekah. Beliau sangat bersyukur kerana dapat ke Mekah tanpa mengeluarkan belanja walau sesen pun.

Usai mengerjakan Haji, Haji Ali tidak mahu pulang. Beliau meminta izin untuk menetap di Mekah selama tiga tahun. Beliau mengerjakan haji untuk arwah ibunya. Sesudah itu beliaumengutipilmu di Mekah pula.

Melihatkan itu, bapanya berubah hati dan membantu kewangan beiau. Haji Ali sangat bersyukur kerana bapanya telah berubah. Tuhan berkuasa ke atas segala-galanya apatah lagi pada sekeping hati yang kecil.

Benarlah sebuah kata pujangga, ‘ Ada dua jenis pemburu yang tidak pernah kenyang. Iaitu pemburu harta dan pemburu ilmu.’ Begitulah, Haji Ali meneruskan impiannya menggali ilmu sedalam-dalamnya. Setelah pulang ke tanah air, beliau pergi ke Pondok Kenali pula. Di Pondok Kenali, beliau berguru dengan seorang tokoh yang paling agung di zamannya, iaitu Tok Kenali. Dengan kepercayaan bahawa beliau akan menjadi seorang ulama’ yang hebat beliau mendengar dengan taat setiap butir ilmu yang disampaikan oleh tuan gurunya.

Di lembah keapungan ilmu itu, Haji Ali memusatkan perhatian kepada ilmu feqah dan nahu. Kehebatan beliau makin menyerlah. Beliau telah menunjukkan kebolehan yang luarbiasa hingga beliau diangkat menjadi pembantu Tok Kenali dalam memberi ajaran kepada para pelajar di pondok.

Berita tentang kesantunan akhlak dan kehebatan ilmu Haji Ali harum di segenap pelusuk desa. Hinggakan ada ibu bapa yang berkenan ingin menyerahkan anak gadis mereka menjadi isteri Haji Ali. Selang beberapa tahun berada di Pondok Kenali yang amat tersohor hingga kini, Haji Ali sekali lagi ditawarkan untuk beristeri. Semasa usianya lebih tiga puluh tahun itu, beliau meminta izin gurunya untuk berkahwin dan permintaan beliau diperkenankan.

Tidak lama setelah mendirikan rumahtangga, Haji Ali kembali ke tempat kelahirannya di Mukim Pulau Pisang. Beliau mengasaskan sebuah pondok yang menjadi kunjungan orang dari pelbagai negeri seperti Banjar, Sumatera, Brunei, Kemboja, Kedah, Perak, Pattani, Negeri Sembilan dan sebagainya. Mereka membina pondok di sekitar rumah Haji Ali dan beberapa tahun sahaja berkembang menjadi seratus buah banyaknya.

Rupa-rupanya, usia Pondok Pulau Pisang tidak lama. Semasa perang Dunia Kedua, Jepun menyerang dan memerintah Kelantan. Suasana negeri Kelantan sangat sulit pada masa itu. Bahan makanan tidak mencukupi, perhubungan dengan negeri lain menjadi sukar. Keadaan yang menghimpit memaksa semua pelajar dari luar negeri Kelantan meninggalkan Pondok Pulau Pisang. Walaupun berat hati, akhirnya Pondok Pulau Pisang yang kini dikenali sebagai Madrasah AL- Falah kekosongan.

Tuan Guru Haji Ali bersedih atas apa yang menimpa. Walaupun begitu, beliau tetap meneruskan usaha mengajar penduduk kampung dan beberapa orang yang masih berbaki di pondoknya. Ada pelajar yang sanggup berulang-alik berpuluh-puluh batu dengan berjalan kaki dan menaiki perahu demi menuntut ilmu daripada beliau.

Mengajar di Masjid Muhammadi

Selain mengajar di Pondok Pulau Pisang, Tuan Guru Haji Ali turut mengajar di Masjid Muhammadi yang terletak di Kota Bharu. Masjid Muhammadi merupakan pusat pancaran agama Agama Islam ke seluruh kawasan Nusantara khasnya Malaysia.

Semasa sesi pembelajarannya, tiada seorang pun muridnya tertidur. Ini sebab cara penyampaian Tuan Guru Haji Ali kelakar dan menggelikan hati. Beliau tidak pandai marah kepada murid-muridnya. Jika terdapat seorang muridnya yang membaca dengan baris yang salah, beliau hanya akan berkata, “ Jangan baca begitulah. Tak comel..” sambil tersenyum.

Kebolehan Tuan Guru Haji Ali amat luarbiasa. Kitab Alfiah, iaitu sebuah kitab yang mempunyai seribu rangkap syair mengenai kaedah ilmu nahu, yang menjadi rujukan semua guru nahu sekolah rendah atau universiti, telah ‘cair’ baginya, umpama Sifir Dua sahaja.

Bagi memudahkan lagi pelajarnya, beliau telah mengarang sebuah buku dalam ilmu saraf, al-Durus al-Kunaliyyat al-Ibtida’iyyah bagi membantu murid-muridnya seupaya cepat dapat menguasai ilmu saraf. Buku tersebut dicetak pada Mac 1940.

Tuan Guru Haji Ali disifatkan sebagai seorang yang luarbiasa hebatnya. Beliau tidak pernah jemu mengajar. Pernah beliau menghurai tentang kalimah “ Bismillahirrahmanirrahim” selama tiga hari berturut-turut tanpa dirasa jemu oleh murid-muridnya.

Beliau sangat warak, zuhud dan tawadhu’. Hidupnya bersahaja tanpa mementingkan kemewahan. Beliau suka memberi makan anak muridnya. Beliau tidak segan bertanya sesuatu hukum daripada muridnya. Satu lagi kegemaran beliau adalah pergi berkelah bersama murid-muridnya. Beliau kerap berkelah di atas hamparan pasir di pinggiran Sungai Kelantan iaitu di hujung Pasir Pekan.

Murid-muridnya ramai dan hebat belaka. Antara murid yang terkemuka dan mempunyai kepandaian dalam pelbagai bidang adalah :

· Al-Fadhil Dato’ Hj Ismail Hj Yusof – Timb Mufti Kerajaan Kelantan.

· Dato’ Yusof Zaki Yaakub – Ketua pengarang Dian dan Pengasuh

· Hi Abdullah Abbas Nasution ( Kedah ) – penterjemah al-Quran yang handal.

· Hj Yaakub Hj Hassan – Setiausaha Jemaah Fatwa dan Pegawai Ugama, Majlis Agama Islam Kelantan.

· Hj Abdul Wahid Sungai Udang ( Melaka)- pengasas dan Guru Besar Sekolah Arab Sungai Udang

· Hj Yaakub Ishak – Pondok Berangan, Tumpat

· Ustaz Azhari, Melor dan ramai lagi guru dan lebai-lebai di Kelantan dan luar Kelantan.

Meninggal dunia

Beliau meninggal dunia akibat lumpuh yang menyerang lebih tiga tahun. Pada jam 7.05 pagi Khamis 3 Oktober 1968, seorag mujahid pemburu ilmu ini telah pulang ke rahmatullah pada usia 69 tahun. Kehilangan beliau umpama gugurnya bintang yang sekian lama menyinari hidup banyak hati yang merindu syurga.

Rujukan utama :

Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Malaysia jilid 2

Pengarang : Allahyarham Ayahanda Ismail bin Awang

Samhani Ismail

Parit Buntar Perak

No comments: