Ketagihan; Penyakit Kronik Yang Belum Terubat
Pernahkah anda dihadapkan dengan fenomena-fenomena ini? Seorang ibu yang mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga serta anak-anak, seorang ayah yang asyik bekerja siang malam sehingga ia terpisah dari dunia sebenar, seorang yang memandu dalam keadaan mabuk lalu terlibat dalam kemalangan maut, seorang pemuda yang gian dadah, seorang lelaki yang selalu bermasturbasi dan seorang anak muda yang sering menyendiri di hadapan internet ? Inilah di antara gejala-gejala ketagihan yang sering kali melanda masyarakat kita . Saya pernah mengenali seorang lelaki berumar 25 tahun yang mengidap kanser. Beliau mula merokok semasa berumur 13 tahun dan disahkan mendapat karsinoma skuamus pada umur 17 tahun. Beliau terpaksa menjalani 30 pembedahan dan salah satunya dilakukan bagi membuang otot leher dan nodus limfa serta sebahagian lidahnya. Kini, muka beliau hanya tinggal separuh kerana yang separuh lagi telah dimakan oleh ketagihan rokok.
Menyingkap suatu fenomena yang kian membarah di era ini, ketagihan adalah penglibatan yang tidak sihat dan berterusan dengan bahan atau aktiviti yang boleh mengubah emosi. Kes-kes yang biasa kita dengar adalah ketagihan dadah, arak, alkohol, dan judi. Tidak kira siapa dan dimana, masalah ketagihan mengakibatkan kemudaratan kepada setiap pengamalnya walaupun tanpa ia sedari. Ia adalah penyakit masyarakat yang mesti dirawat dan dicegah dengan serius.
Amnya, ketagihan terbahagi kepada dua jenis iaitu ketagihan bahan dan ketagihan perilaku. Ketagih dadah, arak, alkohol, rokok, kafein dan tembakau diklasifikasikan sebagai ketagihan bahan. Manakala ketagihan seks, senaman, wang, berSMS, internet dan workaholik adalah ketagihan perilaku.
Ketagihan wang yang tidak mengenal agama, budaya, bangsa, kelas sosioekonomi dan politik ini merangkumi berjudi, meminjam wang dan membeli-belah, menghasilkan peningkatan aras emosi yang tinggi akibat sintesis neurotransmitter yang meransang rasa gembira dan bahagia. Ketagihan wang yang telah bertoleransi dengan badan menyebabkan timbulnya sindrom tarikan seperti rasa gelisah, insomnia, depression, runsing, dan perasaan marah. Individu yang mengalami ketagihan kerja dicirikan dengan sikap obsesi, terlalu mementingkan kesempurnaan, kaku, takut, bimbang yang keterlaluan, merasa tidak cukup, rendah esteem diri, dan terasing. Individu yang ketagih seks hanya tertarik kepada seks, bukan kepada pasangan dan mereka boleh merasa puas hanya dengan bermasturbasi dan beronani. Mereka mungkin terlibat dengan kegiatan seks tidak sihat seperti menonton wayang lucah, melanggan pelacur, merogol, melakukan sumbang mahram, pedofilia, mempertontonkan organ seks mereka, membaca bahan-bahan erotik dan sebagainya.
Ketagihan dan kebiasaann adalah perkara yang berbeza. Kelakuan berulang-ulang yang dibuat tanpa sedar dan jika dihentikan tidak akan menimbulkan apa-apa rasa yang tidak selesa adalah hanya kebiasaan. Sebagai contoh, perilaku menggigit kuku, memintal rambut, memicit jerawat, menarik rambut dan menggoyang kaki hanyalah kebiasaan. Berbeza dengan ketagihan, ia adalah kelakuan yang dibuat secara berulang-ulang atas dorongan nafsu yang kuat tanpa dapat dikawal perbuatan dan akibatnya. Ia mesti dilakukan. Jika dihentikan, individu akan merasa tidak selesa yang amat. Di samping itu ia menghasilkan kesan negatif seperti menyebabkan kerosakan fizikal, menimbulkan masalah kewangan, menyalahi undang-undang dan menimbulkan masalah hubungan interpersonal. Masalahnya individu tersebut sedaya upaya menafikan bahawa mereka sudah ketagih.
Teori ini dikemukakan oleh Vernon E. Johnson, yang lebih menekankan emosi. Fasa 1 dikenali sebagai fasa ‘Mendapati Emosi Bergoyang ’ Pengambilan bahan ketagihan, contohnya alkohol didapati mendatangkan keseronokan pada peringkat awalnya. Pada tahap ini emosi mereka berubah-ubah dan boleh dikawal oleh dos yang diambil. Jika mengambil dos yang tinggi, keseronokan yang teramat akan dirasai. Oleh itu mereka terus mengambil alkohol tanpa menghiraukan kesan buruk yang menanti seperti boleh mengakibatkan ‘Sindrom Bayi Alkohol’ (FAS) iaitu kecacatan pada bayi yang dikandung seperti kekurangan berat badan, saiz kepala yang terlalu kecil berbanding tubuh, masalah penyelarasan otot, keadaan muka yang rata, dan lemah sendi.
Individu terlibat meneruskan aktiviti ini untuk mencari ketenangan dan keseronokan. Ini kerana emosi melonjak seronok apabila mengambil alkohol atau bahan pengubah emosi yang lain. Fasa ke-2 ini dikenali sebagai ‘Mendapati Emosi Berubah’. Tabiat ini berterusan dan akhirnya mereka terpaksa mengambil alkohol secara eksesif. Mereka sudah menjadi manusia yang bergantung kepada alkohol dan tahap ini dipanggil Fasa-3 iaitu ‘Kebergantungan Mudarat’. Tanda-tanda murung, kurang keyakinan dan rendah harga diri mula kelihatan pada diri mereka. Mereka mula menjauhkan diri dari aktiviti sosial dan masyarakat.
Fasa ke-4 pula adalah ‘Untuk Merasa Normal’. Mereka mengalami kemurungan yang kronik dan terpaksa mengambil alkohol untuk menjadi normal. Fasa terakhir dalam proses ketagihan ini menyebabkan kemerosotan emosi dan mental pengamalnya. Gangguan yang serius berlaku menyebabkan mereka tidak dapat memainkan peranan sebaik individu normal dalam masyarakat.
Menyoroti ketagihan dari aspek fisiologi, saintis mendapati semasa sistem saraf berada dalam keadaan normal, bahan pneuropancar akan dihasilkan di dalam badan. Tetapi jika terdapat bahan atau aktiviti ‘pengubah emosi’, ia akan bersaing dengan bahan pneuropancar untuk bergabung dengan reseptor sel saraf. Emosi akan meningkat. Dalam masa yang sama, sintesis pneuropancar asli akan terhenti. Jika bahan pengubah emosi tidak diambil, tapak reseptor akan menjadi kosong. Mereka menjadi kurang selesa, murung dan resah-gelisah. Keadaan ini berterusan sehinggalah bahan pneuropancar asli dihasilkan semula atau bahan ‘pengubah emosi’ kembali diambil.
Kita mungkin melihat keadaan ini adalah sesuatu yang biasa, namun pengambilan yang kerap menyebabkan badan akan bertoleransi dengan keadaan tersebut. Sindrom tarikan akan wujud, dimana individu memerlukan dos yang lebih tinggi , kerap dan intensif untuk merasa kesan yang sama seperti pada peringkat permulaan. Jika alkohol tiada, metabolisma badan akan terganggu. Segala aktiviti akan terjejas mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan fungsinya sebagai manusia normal.
Walaupun terdapat ramai yang terlibat dengan masalah ketagihan, masyarakat sukar untuk mengenalpasti individu tersebut kerana proses ini bersifat internal. Malah individu terlibat juga tidak sedar ia sudah ketagih malah seringkali menafikan mereka bermasalah. Mereka selalu dihantui oleh dorongan yang kuat dan tidak berupaya menolak keinginan yang mendesak nafsu.
Penagih dadah amat sinonim dengan kejadian kecurian dan ragut. Apa yang menghairankan, barangan yang dicuri bukanlah bernilai jutaan ringgit, tetapi mereka sanggup menggadaikan nyawa semata-mata untuk mendapatkan kabel elektrik, besi buruk dan simen penutup longkang. Di samping itu, prestasi kerjaya atau akademik turut merudum dan seringkali mereka dibelenggu dengan masalah perhubungan inter-personal, lebih suka menyendiri dan kurang berinteraksi dengan masyarakat sekeliling malah dengan ahli keluarga. Sikap panas baran dan kasar semakin menjadi-jadi dan kesannya mereka tersisih dari keluarga dan masyarakat. Akhirnya mereka menderita dalam kesengsaraan. Inilah satu contoh fenomena yang biasa melingkari mangsa-mangsa ketagihan.
Walaupun sudah 48 tahun negara mencapai kemerdekaan, masalah ketagihan masih berada di tahap kritikal dengan pelbagai jenis ketagihan. Penagih jauh terpesong dari norma-norma kehidupan yang mulia, malah tersasar jauh dari ketenangan beragama. Adakah generasi yang terhuyung-hayang begini boleh diharap untuk membentengi negara kita ?
No comments:
Post a Comment