Nisa’ Games Untuk Semua
Oleh : Samhani Ismail
Nisa’ yang merupakan sebuah kelab yang menjaga kebajikan remaja dan bertujuan memberi kefahaman Islam dalam bentuk baru, ceria dan unik akan menganjurkan program Nisa’ Games Untuk Semua buat julung –julung kalinya pada tahun ini.
Program sukan berteraskan nilai-nilai murni Islam itu akan berlangsung dengan jayanya pada 17 hingga 18 Februari 2007. Nisa’ Negeri Kelantan telah dipilih untuk menjadi penganjur bagi kali ini sekaligus menjadikan Negeri Cik Siti Wan Kembang sebagai tapak berlangsungnya program yang dijangkakan akan dihadiri oleh ribuan remaja perempuan muslim dan bukan muslim dari seluruh Malaysia.
Program anjuran bersama Kerajaan Negeri Kelantan dan Nisa’ Malaysia ini adalah bagi menyahut seruan kerajaan untuk membantu para remaja dengan memberi bimbingan bagi menjalani gaya hidup sihat. Nisa’ menjadikan program Nisa’ Games ini bagi membantu kerajaan menjayakan kempen Belia Benci Dadah dan Tahun Melawat Malaysia 2007.
Nisa’ Games yang akan dirasmikan oleh YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat ini menterjemahkan kepada masyarakat bahawa gaya hidup sihat dan bersukan juga merupakan tuntutan agama Islam. Antara sukan yang akan dipertandingkan dalam temasya sukan yang terbuka kepada remaja perempuan sahaja ini adalah bowling, badminton, bola jaring, bola tampar dan futsal. Sebanyak 27 buah kontinjen dari negeri-negeri di seluruh Malaysia dijangka akan menyertai perlawanan yang turut diselaraskan oleh Unit Sukan, Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan Negeri Kelantan.
Nisa’ cuba untuk menterjemahkan gaya hidup sihat mengikut landasan yang ditetapkan oleh Islam agar pengaplikasiannya mudah difahami. Antara aspek yang akan ditekankan adalah cara berpakaian dalam sukan, cara bersukan yang sesuai untuk kaum wanita, pelaksanaan aktiviti bersukan yang selesa untuk wanita sesama wanita dan sebagainya.
Melalui program Nisa’ Games 2007 yang menghimpunkan kesemua wanita muda di seluruh Malaysia, Nisa’ Malaysia berusaha menonjolkan bahawa Islam itu mengikut fitrah dan mudah untuk diamalkan. Dengan membuka penyertaan kepada semua muslim dan bukan muslim di seluruh Negara, ia diharap dapat mempertemukan generasi muda dalam suatu temasya sukan yang berprestij dan mengikut norma Islam.
Nisa’ Games akan menampilkan Ruqaya, ratu sukan khas dari Iran. Kami mengalu-alukan keterlibatan daripada semua pihak khususnya remaja perempuan samada muslim ataupun non-muslim. Penyertaan adalah terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia terutamanya ahli kelab Nisa’ dari seluruh Malaysia.
(Tersiar di Buletin Urusetia Penerangan Negeri Kelantan)
No comments:
Post a Comment