Wednesday, June 27, 2007

Wajah yang Bercahaya

www.quaisz.blogspot.com

Wajah Yang Memancarkan Cahaya

Menjadi seorang gadis cantik, berwajah manis dengan bibir yang menawan diserikan dengan sepasang mata bundar dan alis nan lentik sentiasa menjadi igauan semua gadis.

Ramai wanita dan gadis berlumba-lumba membeli alat mekap, gincu bibir, dan bermacam-macam lagi untuk memuaskan hati bagi tujuan tersebut. Siapa tidak bangga berwajah cantik, sehingga ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk kelihatan anggun menawan. Ada yang sanggup bergadai dan berhabis untuk itu.

Menarik sekali jika kita memerhatikan sekeliling kita malahan di dunia yang global ini. Cantik bukanlah segalanya dalam hidup. Cantik tidak bermakna anda berjaya. Malah ramai calon peperiksaan apapun yang berwajah cantik mendapat keputusan yang mendukacitakan kerana mereka lalai dengan kecantikan tersebut. Kita berdoa agar dijauhkan Allah dari cubaan sebegitu.

Biarlah cantik menjadi sumber pahala, biarlah manis menjadi sumber ukhuwwah dan biarlah keikhlasan menjadi paksi utama persaudaraan kita.

Belajarlah untuk menghadirkan cahaya pada wajah. Kerana masalah kecantikan bukan pada bentuknya tetapi yang utama pada pancaran yang terbit dari si pemilik wajah.

Seorang ulama dari Afrika di Masjidil Haram..subhanallah.. Kulitnya tidak putih. Tetapi kala memandang wajahnya.. sejuk sekali. Senyumnya begitu tulus meresap ke relung hati yang paling dalam. Sungguh bagai disiram air sejuk di pagi hari. Menyegarkan.

Ada seorang lagi ulama yang tubuhnya hebat dan ia lumpuh semenjak kecil lagi. Namanya Syeikh Ahmad Yassin, pemimpin spiritual gerakan intifadhah di Palestin. Ia tidak punya daya, duduknya hanya di atas kerusi roda. Hanya kepalanya saja yang bergerak. Tetapi, saat menatap wajahnya, terpancar kesejukan yang luar biasa.

Beliau bukanlah seorang yang tampan. Tetapi, ternyata di sebalik kelumpuhan tersebut beliau memendam ketenteraman yang begitu dahsyat, terpancar melalui rona wajahnya saat kita memandang beliau.

Sungguh indah sekali, bukan? Seorang yang bukanlah tampan, tetapi memiliki aura yang begitu hebat. Inilah keindahan Islam.

Ambillah kelebihan dari wajah yang mententeramkan , yang menyejukkan menjadi sebahagian dari wajah kita. Buang jauh-jauh wajah yang tidak ramah, tidak mesra. Sebagai pemimpin manusia ke jalan Tuhan, kita perlu mempunyai jiwa yang tenang dan raut wajah yang memikat. Sudah tentu.

Dengan kesopanan yang memukau, di situlah terletak kunci tarikan kepada mad’u samada Islam atau bukan Islam. Alangkah bersyukurnya kita andai ramai non-muslim yang merasa nikmat bersahabat dengan kita lantaran kejujuran kita. Lantas beliau dengan senang hati menaruh kasih kepada agama slam dan mengucapkan kalimah syahadah di hadapan kita. Bukankah begitu nikmat sebegitu?

Rasulullah SAW sendiri memberikan perhatian yang luarbiasa kepada setiap orang lain. Setiap orang yang bertemu dengan beliau pasti merasa puas hati. Kenapa? Diriwayatkan bahawa baginda, bila ada orang menyapanya, baginda menganggap orang tersebut adalah orang yang paling utama.

Namun ketidak-enakan dan kegelisahan akan muncul apabila kita belum menganggap orang yang di hadapan kita adalah orang yang paling utama. Hasilnya, kita melihat orang itu separuh mata, berbicara hanya separuh perhatian. Misalnya ada orang yang datang menghampiri, kita tegur sambil membaca Al-Quran. Maka, kata-kata, cara pandang, cara bersikap itu tidak akan punya daya sentuh. Tidak memikat.

Maka wahai Nisa’, Nisa’ adalah pendokong dakwah, Nisa’ adalah satelit-satelit Islam dan duta Rasulullah. Berlatihlah menjadi orang yang mengutamakan orang lain, melayan orang lain sebaiknya dan menunjukkan wajah yang manis, bukan cemberut, bukan berkerut. Walapun hanya beberapa detik, insya Allah ia menjadi ibadah. Mungkin dengan menyayangi manusia, Allah akan lebih menyayangi kita, Allah akan memandang kita dengan pandangan rahmat dan kasihNya.

Khas untuk Nisa’ yang disayangi..

Putri…

Desa hati sang putri.. teratak Tok Janggut

Penghulu hari, 4 Mei 2007

No comments: