Wednesday, June 27, 2007

Minuman Berkafein Jejas Kesihatan

www.quaisz.blogspot.com

Minuman berkafein jejas kesihatan

Di pasaran sekarang berlaku lambakan berjenis-jenis kopi yang dikatakan mampu meningkatkan tenaga dan kecergasan. Ramai yang terpikat dengan iklan sebegini lantas menjadikan kopi sebagai amalan seharian sebelum ke tempat kerja, dewan kuliah atau melakukan sebarang rutin harian. Ramai mengamal pengambilan kopi dan mendapat kecergasan tanpa menyedari risiko akibat kandungan kafein yang terdapat di dalamnya.

Kafein adalah bahan peransang yang terkandung secara alami di dalam biji kopi, teh, biji kelapa, buah kola dan guarana. Kafein juga sealu dihasilkan secara tiruan dan digunakan sebagai bahan perasa di dalam sesetengah makanan dan minuman.

Nama kimia bagi kafein adalah trimethylxantine dengan rumus kimia C8H10N4O2 daripada keluarga metilsantina dan termasuk sebagai sejenis alkaloid. Sebenarnya bahan berbentuk serbuk putih ini amat berguna dan selalu digunakan bagi tujuan perubatan sebagai peransang kerja jantung dan meningkatkan penghasilan urin.

Kafein dikelaskan sebagai dadah kerana ia merangsang sistem saraf pusat dibadan kita. Dalam dos yang rendah sahaja, kafein mampu membangkit stamina dan menghilang rasa lelah. Ini sebab mengapa kafein digunakan dalam minuman tenaga yang dipopularkan di seluruh dunia melalui iklan-iklan di televisyen dan akhbar bercetak. Kesan pengambilan kafein bergantung kepada jumlah yang diambil. Biasanya penggemar kopi menggemari kopi pekat untuk lebih nikmat dan sedap.

Mekanisme tindakan kafein

Kafein bertindak dengan menghalang reseptor adenosin di otak yang berfungsi mengurangkan aktiviti sel saraf. Molekul kafein akan mengikat pada reseptor menyebabkan adenosine tidak dapat diambil oleh reseptor tersebut. Maka aktiviti otak meningkat mengakibatkan hormon epinefrin dirembes. Hormon ini akan meningkatkan kadar denyutan jantung, meninggikan tekanan darah, menambah penyaluran darah ke otot-otot, mengurangkan penyaluran darah ke kulit dan organ dalam serta mengeluarkan glukosa dari hati.

Minuman berkafein sebaiknya dielakkan, namun tidak salah diambil jika dalam kuantiti yang rendah. Meminun secawan kopi sehari tidaklah mengapa asal peminum berhati-hati agar tidak menjadi ketagih.

Kesan pengambilan kafein

Bagi kanak-kanak dan orang dewasa, terlebih kafein boleh menyebabkan kegelisahan, keresahan, tremor, insomnia, sakit kepala, gementar dan gugup, sukar memberi tumpuan, sukar melelapkan mata, degupan jantung meningkat, tekanan darah meningkat dan berlaku kecelaruan pemikiran. Pengambilan dos yang tinggi juga akan menyebabkan kekejangan dan mungkin diikuti dengan maut.

Kesan ke atas otak dan sistem saraf pusat

Kajian telah menunjukkan bahawa kafein memberi kesan seperti penggunaan dadah perangsang yang lain lantaran kafein juga tergolong sebagai dadah. Ia akan merangsang otak dan sistem saraf pusat kemudiannya jantung, pembuluh darah dan buah pinggang. Salah satu simtom yang biasa dilihat pada pengguna adalah berlakunya dehidrasi (pengeluaran air terlalu banyak daripada badan menyebabkan badan kekurangan air). Ini sebab kafein bertindak mempercepat proses penghadaman dan merangsang pengeluaran air kencing yang banyak menyebabkan badan akan kehilangan kalsium, potassium serta mineral lain yang mungkin mengakibatkan osteoporosis atau penyakit reput tulang. Kafein boleh menyebabkan penghidap masalah jantung dan kegagalan saraf menjadi lebih teruk, dan kebanyakan pengguna tidak sedar keadaan ini boleh berlaku ke atas mereka.

Bagi wanita mengandung, pengambilan kafein hendaklah dikurangkan atau dihentikan sama sekali kerana kafein akan meningkatkan risiko keguguran dan ketidaksuburan disebabkan kafein mengganggu sistem peredaran darah si ibu. Ada juga bukti yang menunjukkan kafein boleh mengakibatkan kecacatan bayi sewaktu dilahirkan.

Ulser

Kafein dipercayai boleh mengakibatkan ulser kerana bahan ini merangsangkan penghasilan asid dan peptin di dalam perut. Sekiranya diambil dalam jumlah yang banyak boleh mengakibatkan perut rasa tidak selesa. Seseorang yang mengalami masalah ulser ataupun gastric dinasihatkan tidak mengambil kopi, the atau mana-mana minuman berkafein kerana akan menyebabkan penyakit ulsernya menjadi lebih teruk.

Kesan ke atas perasaan

Kesan ke atas perasan berbeza mengikut persekitan kerja dan peribadi individu peminum. Secara umumnya, kafein menginduksikan perasaan cergas dan sihat, euforia dan kegembiraan. Rasa letih, bosan, hilang tumpuan dan mengantuk dilambatkan. Namun, kelebihan pengambilan kafein akibat kebergantungan untuk ceria misalnya, boleh menyebabkan peminumnya ketagih.

Ketagihan

Kafein boleh membuatkan seseorang itu menjadi ketagih. Jika individu berbabit berhenti dari meneruskan pengambilan kafein, ia akan mengalami simtom tarikan seperti sakit kepala. Simtom ini biasa dialami oleh penggemar kopi dan sakit kepala ini akan hilang dengan sendirinya dalam masa satu hingga lima hari atau ia akan sembuh semula dengan meminum kopi kembali atau mengambil ubat. Kebanyakan penggemar kopi yang cuba mengurangkan pengambilan kafein akan mengalami rasa gementar, sakit-sakit, tidak berupaya untuk bekerja, lesu, mengantuk dan sakit kepala.

Bagi membuang tabiat ketagihan kafein bukannya mudah. Cara yang berkesan adalah mengurangkan pengambilan setiap hari. Amalkan minum air kosong yang banyak serta jus buah-buahan dan susu dalam sajian harian anda.

Kesan ke atas otot skeletal

Metabolisme otot akan ditingkatkan dan ini memainkan peranan dalam meningkatkan kemampuan olahraga peminum. Sebab itu kafein selalu diambil oleh kebanyakan ahli sukan bagi meninkatkan stamina dan mengurangkan keletihan.

Sistem kardiovaskular

Kafein akan merangsang miokardium ( otot jantung ) secara langsung dan menyebabkan meningkatkan pengeluaran kardium, takikardia dan denyut ektopik dan palpitasi. Bagi pesakit jantung, anda perlu mengelakkan pengambilan bahan makanan atau minuman berkafein kerana ia boleh menyebabkan pengerasan pada sistem pembuluh darah terutamanya bagi pesakit tekanan darah tinggi. Secawan kopi berpotensi meningkatkan

tekanan darah 5-10 mm Hg, menyebabkan terjadinya serangan jantung dan stroke.

Kafein jejas kanak-kanak

Kebanyakan ibu-bapa tidak membenarkan anak-anak meminum kopi, tetapi mereka sanggup membelikan minuman ringan yang berkafein untuk anak mereka. Sungguhpun minuman ringan sedap dan manis, sebaiknya kurangkan minuman berkafein terutama jika anak anda masih kecil.

Sungguhpun tiada garis panduan di Malaysia, kerajaan Kanada menyarankan supaya kanak-kanak pra sekolah tidak meminum lebih daripada 45 mg kafein sehari. Ini bersamaan dengan purata kandungan kafein dalam setin minuman berkola seberat 355 mililiter atau empat keping coklat susu seberat 43 gram.

Minuman berkafein bukan sahaja tidak berkhasiat malah mengenepikan vitamin dan galian yang diperlukan akibat kanak-kanak kekenyangan dan tidak dapat lagi memakan makanan lain. Minum terlalu banyak minuman berkafein juga boleh meyebabkan kerosakan gigi kerana kandungan gula yang tinggi di dalamnya menyebabkan berlaku hakisan enamel gigi akibat keasidan minuman ini.

23 November 2006

Tersiar di Majalah i

No comments: