Bingkisan Untuk Pemuda Islam
Al-Imam As-Syahid hassan Al-Banna
Wahai pemuda !
Setiap fikrah itu akan hanya berjaya jika apabila ia diperkuatkan dengan iman, dilengkapkan dengan ikhlas yang mendalam untuk memperjuangkannya, ditambah dengan semangat yang berkobar-kobar dan persediaan rapi untuk beramal dan berkorban dalam perlaksanaannya. Pendek kata iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan rukun-rukun khusus untuk para pemuda. Sebab asas iman ialah hati yang terang, asas ikhlas ialah jiwa yang bersih, asas semangat ialah perasaan yang mantap dan asas amal ialah azam yang kuat. Kesemua faktor ini tidak lain dan tidak bukan ialah khusus untuk para pemuda. Dari sini ternyata bahwa para pemuda di kalangan setiap umat sama ada di zaman dahulu atau sekarang merupakan tiang kebangkitan umatnya. Di dalam tiap-tiap kebangkitan itu ada rahsia kekuatannya dan di dalam tiap-tiap fikrah itu ada tandanya.
Fikrah kita adalah Islam yang tulen. Padanyalah fikrah itu bertunjang, daripada fikrah itu disumberkan. Dialah yang mesti diperjuangkan dan kearahnyalah mesti diusahakan untuk mempertinggikannya. Tidak ada keadilan melainkan Islam sebagai satu sistem. Tidak rela selain Islam sebagai ikutan dan tidak ada yang boleh ditaati selain dia sebagai hukum.
Musuh Islam telah bekerja keras untuk memadamkan riwayat Islam, menghapuskan keagungannya, menyesatkan umatnya, membantutkan batas-batasnya, melemahkan bala tenteranya, menyelewengkan segala pengajaran dan hukumnya. Bala tentera Muhammad diperkendurkan ditambah pula seluruh umatnya jatuh ke dalam cengkaman orang-orang kafir dengan penuh kehinaan dan terjajah.
Kewajipan kita yang pertama ialah menerangkan kepada manusia batas-batas dan pengertian Islam dengan cukup terang dan menyeluruh dengan tidak ada tambah atau kurang atau samar. Kita menggesanya supaya membuatnya dan kita tarik mereka supaya mengamalkannya kerana ini sebahagian daripada praktik fikrah kita.
Seruan yang pertama sekali untuk kamu ialah hendaklah kmau percaya kepada diri sendiri, hendaklah kamu mengetahui kedudukan kamu dan kamu mesti yakin bahwa kamu adalah para pemimpin dunia jika sekiranya kamu mahu musuh-musuh kamu menjadi hina. Kamu adalah guru untuk seluruh alam.
Tentukanlah wahai pemuda iman kamu, matlamat dan tujuan kamu. Kekuatan yang utama sekali ialah iman. Natijah dari iman ini ialah kesatuan, implikasi dari kesatuan lahirlah kemenangan. Dari itu berimanlah kamu, bersaudaralah kamu, bekerjalah kamu dan tunggulah selepas itu kemenangan yang pasti menjelang dan gembirakanlah seluruh orang-orang mukmin.
Seluruh dunia merasa buntu dan gelisah, seluruh sistem yang ada lemah mencari ubatnya dan tidak ada ubat untuk dunia ini melainkan Islam. Maralah wahai pemuda dengan nama Allah untuk menyelamatkannya kerana seluruh manusia menanti penyelamat dan tidak ada penyelamat melainkan risalah Islam yang kamu bawa obornya dan kamu gembirakannya.
15 Julai 2005
No comments:
Post a Comment