Serangan Kanser, Diet dan Iman
Ramai orang merasakan kanser adalah misteri. Sedang mereka bergembira, tiba-tiba doktor mengesahkan mereka menghidap penyakit maut ini. Tiada tanda-tanda awal menunjukkan kewujudan sel kanser. Tetapi semalam doktor mengesahkan mereka mempunyai kanser dan telah kronik.
Apakah sebenarnya yang dikatakan kanser
Kanser bermula pada satu sel yang tidak mampu dilihat dengan pandangan mata kasar. Setiap sel ibarat kilang yang amat sibuk dengan beribu-ribu tindak balas kimia dan biologi pada setiap saat. Sel bekerja keras mematuhi suruhan Tuhan melaksanakan amanah. Mereka mengawal penggunaan oksigen, nutrien, menghasilkan bahan baru dan membina sel-sel baru bagi menggantikan sel yang rosak ataupun mati.
Sel normal membahagi kepada dua. Jika berlaku kesilapan pada sel, sel ini akan membahagi menghasilkan bahan yang silap. Dengan bantuan faktor lain, sel akan membahagi dengan begitu giat sehingga membentuk ketulan tumor. Pembahagian ini tidak dapat dikawal lalu bermulalah episod kanser.
Kanser mengancam seluruh dunia
Kanser peparu akibat penggunaan tembakau adalah kanser yang paling kerap ditemui di seluruh dunia. Namun, situasinya berbeza berbanding negara maju dan negara membangun.
Di Amerika Utara, Eropah dan
Selain merokok, sinaran radiasi, bahan kimia, virus, genetik dan hormon seks, diet juga merupakan faktor utama kejadian kanser. Menu harian, kaedah memasak serta penggunaan perisa tambahan telah dikenalpasti menjadi punca penyakit berbahaya ini.
Diet dan Rasulullah s.a.w
Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad s.a.w. Kita perlu sentiasa meyakini dan berpegang teguh kepada ajaran baginda.
“ Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat, dan dia banyak menyebut Allah.”
( Al-Ahzab: 21)
Kurangkan pengambilan daging. Makanan berasaskan haiwan maningkatkan kanser. Setiap gigitan daging ayam, lembu, kambing atau turkey meningkatkan lemak dari kepala hingga ke kaki anda. Ia menambah berat badan, mengganggu hormon dan membawa karsinogen ke badan anda.
Daging adalah seenak-enak lauk di dunia dan di syurga. Diriwayatkan Imam Tarmidzi, “ Daging bahagian itu sangat disukai oleh Rasulullah. Tetapi baginda tidak mempunyai daging kecuali jarang-jarang Lalu daging lengan itu disuakan kepada baginda kerana ia merupakan bahagian daging yang paling cepat dimasak.” Baginda juga menyukai daging bahagian belakang, kerana jauh dari lemak. Baginda suka makan daging tetapi hanya jarang-jarang.
Kurangkan makanan berlemak, berminyak dan manis. Lemak yang tinggi meningkatkan kadar kolesterol. Kolesterol adalah bahan pemula sintesis hormon adrenal dan hormon seks. Maka, apabila kolesterol banyak, penghasilan hormon seks estrogen, progesteron, dan testosteron semakin aktif.
Hormon amat penting bagi tubuh. Ia diperlukan dalam kuantiti sedikit. Tetapi jika jumlah hormon terlalu banyak, pembahagian sel menjadi tak terkawal. Beribu-ribu sel akan terhasil dan lama kelamaan terbentuklah kanser. Kanser yang berkait dengan hormon ini adalah kanser payudara, prostat,ovari dan uterus. Kanser hanya dapat dikesan secara klinikal apabila bilangan selnya mencecah 1000 juta. Pada jumlah begini, ia masih belum bersimtom tetapi merebak dan menyerang organ dalam badan.
Pada tahun 1970an, penyelidik Jepun mandapati pada permukaan daging dan ikan yang dipanggang mengandungi karsinogen yang poten, iaitu Amina Heterosiklik. Ia bertindak memasuki sel dan merosakkan DNA dan memulakan kanser. Karsinogen ini terhasil semasa proses memasak. Dengan keratin, asid amino dan gula dalam daging, ia dibina. Semakin tinggi suhu dan semakin lama tempoh memasak, semakin banyak karsinogen terbentuk.
Polisiklik Aromatik Hidrokarbon (PAH), suatu sebatian karsinogen yang terhasil akibat pemanasan alat pemanggang, turut mendap di permukaan daging panggang. Biasanya PAH terhasil akibat pembakaran bahan tembakau, pembakaran tidak lengkap arang dan petrol, hasil pirolisis minyak dan bahan biologikal. PAH mampu merosakkan DNA dan memulakan kanser.
Nitrosamina, sejenis bahan kimia lain terbentuk dalam daging, ikan dan ikan masin yang disalai. Ia hasil interaksi amina di persekitaran dengan bahan pengawet pada daging yang mengandungi nitrit. Nitrosamina juga terhasil di dalam tembakau dan produknya. Nitrosamina dalam tembakau dan asapnya menyebabkan kanser paru-paru dan kanser pundi, manakala suntil dan kunyahan tembakau masing-masing mengakibatkan kanser hidung dan mulut.
Kajian terbaru mendapati penggunaan minyak yang banyak semasa menggoreng boleh menghasilkan PAH. Ia akan mendap di dasar kuali atau pada daging sekiranya minyak tidak ditukar. Didapati kaedah memasak orang melayu lebih berisiko kerana menggunakan minyak yang banyak sehingga menenggelamkan daging berbanding kaum Cina yang menggunakan minyak yang sedikit.
Selain terdedah kepada bahan kimia di persekitaran, rakyat
Banyak penyelewengan berlaku dalam industri pemakanan. Lantaran, makanan yang membabitkan bahan kimia karsinogenik yang memudaratkan kesihatan mudah didapati di pasaran terbuka. Statistik menunjukkan kanser menyerang 10 juta orang dan meragut 6.3 juta nyawa setahun. Kini, kanser adalah pembunuh kedua terbesar di
Ujian yang dijalankan oleh Consumer Association of Penang (CAP) memberikan hasil yang memeranjatkan. Mereka menemui sejumlah besar bakteria kebal dan kuman penyebab penyakit dalam makanan yang diuji. Selain itu, mereka mengesan plumbum dan bahan logam toksik, asid borik, formaldehid, asid benzoik, pewarna industri yang diharamkan, racun makhluk perosak dan bahan bahaya lain di dalam sampel makanan di pasaran yang diuji. Kebanyakan bahan-bahan itu didapati boleh menyebabkan kanser.
Sistem pecegahan kanser sebenarnya amat ringkas. Berpandukan petunjuk baginda, itulah kunci kesihatan dan kebahagiaan. Mencegah itu lebih baik daripada berubat. Ajaran bagindalah sebaik-baik petua.
Amalkan cara pemakanan yang sihat kerana perut adalah punca penyakit. Banyakkan mengambil sayuran berwarna serta buah-buahan. Didalamnya terkandung serat yang tinggi yang mampu melawan sel-sel kanser. Antioksidan seperti selenium, beta-karoten, vitamin C dan vitamin E terdapat dalam sayuran.
Basuhlah tangan dan bacalah basmalah, kerana baginda Rasulullah pernah mengingatkan “ Apabila seseorang di antara kalian makan, jika lupa membaca basmalah di awalnya, hendaklah dia mengucapkan Bismillahi Awwaluhu Waakhiruhu (dengan nama Allah pada awal dan akhirnya). “
Berzikirlah kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana Rasulullah melumatkan makanan baginda dengan berzikir kepada Allah. Sebagaimana diriwayat oleh Imam Thabrani,” Lumatkanlah makanan kalian dengan zikir kepada Allah dan solat, dan jangan (langsung) tidur setelahnya kerana hatimu menjadi keras dan membatu.” Zikir memberi ketenangan kepada jiwa, ketenteraman anggota badan dan kesenangan dalam hati. Keadaan jiwa sebegini merupakan penolong terbesar bagi organ untuk berfungsi dengan baik.
Setiap individu berisiko mendapat kanser.namun amalan sehariannya menentukan. Puasalah kerana puasa membantu merehatkan organ pencernaan. Apabila organ mendapat kerehatan yang cukup, ia dapat kembali bekerja dengan penuh efisien. “ Berpuasalah kamu, nescaya kamu sihat.” Puasa mampu membuang toksik dalam badan. Kandungan toksik yang tinggi bisa merendahkan sistem imun. Apabila imuniti rendah, pelbagai penyakit akan menyerang, termasuklah kanser.
Berpadalah dalam urusan makanan. Jangan makan sampai terlalu kenyang sehingga membutakan mata hati. Saidatina Aisyah r.a pernah berkata, “ Aku teringat saat di mana Rasulullah meninggalkan dunia ini. Demi Allah, beliau tidak pernah makan roti dan daging sampai kenyang hingga dua kali dalam satu hari. “
Samhani Ismail
Tersiar Di Dewan Agama Dan Falsafah
No comments:
Post a Comment