Wednesday, June 27, 2007

Diabetes Mellitus

Penyakit kencing manis sudah menjadi biasa di Malaysia. Apabila umur mencecah 30 puluhan, pelbagai penyakit mula hinggap ke badan seolah-olah mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung adalah suatu kemestian bagi rakyat Malaysia.

Bahkan kajian terbaru Universiti Sains Malaysia pada tahun 2004 mendapati rakyat Kelantanlah yang paling ramai menghidap kencing manis iaitu seramai 78,000 orang. Kebanyakan pesakit berusia 30an. Jumlah pesakit sebenarnya telah meningkat kepada 13 peratus berbanding 10 tahun lepas yang hanya 5.3 peratus. Akibatnya begitu ramai yang terpaksa kehilangan anggota badan dan meneruskan hidup dalam perasaan serba kekurangan.

Fenomena diabetes mellitus

Kencing manis ataupun diabetes mellitus bukanlah penyakit era moden akibat peningkatan taraf hidup. Dokumentasi mengenai kehadiran penyakit ini telah ditemui seawal tahun 1550 SM di Mesir. Catatan-catatan seterusnya banyak dijumpai menerangkan simtom pesakit yang mengeluarkan air kencing semanis madu. Pada masa itu, doctor-doktor membuktikan seseorang menghidap diabetes dengan membiarkan air kencing pesakit-pesakit mereka dihurung semut atau anjing.

Pada mulanya, penyakit ini banyak dijumpai di sepanjang Sungai Nil. Oleh sebab air sungai ini manis, seorang Yahudi dari sepanyol, Moses Mainonides (1135-1924) menyatakan bahawa sungai inilah yang menjadi penyebab utama penyakit diabetes. Pendapatnya yang songsang ini telah diterima pakai sehingga akhir kurun ke-15.

Sehingga 1880-an, banyak kajian dilakukan untuk menyelidiki penyakit ini. Akhirnya, pada tahun 1889, diabetes telah dibuktikan wujud pada binatang yang dibuang pankreasnya. Penemuan ini telah mengubah pemikiran masyarakat tentang punca sebenar diabetes. Masyarakat mula mempercayai bahawa diabetes disebabkan oleh kegagalan pancreas menghasilkan hormon insulin bagi menyerap glukosa ke dalam sel-sel badan.

Mengenali Diabetes Mellitus

Diabetes mellitus adalah satu keadaan di mana paras gula sangat tinggi dalam darah . Hal ini disebabkan kegagalan hormon insulin dalam badan yang berperanan menukarkan gula kepada tenaga. Lantas gula tidak dapat memasuki sel-sel badan dan akhirnya disingkirkan melalui air kencing yang manis.

Kencing malam, sentiasa dahaga, selera makan meningkat, glikosuria, mudah letih, gatal-gatal di bahagian kemaluan adalah sebahagian daripada gelaja penyakit diabetes.

Dahaga yang bersangatan adalah disebabkan pesakit kerap kencing menyebabkan jumlah air dalam badannya berkurangan. Jumlah air yang rendah ini akan menurunkan tekanan darah dan menyebabkan pusat dahaga di otak aktif. Pengaktifan ini menimbulkan dahaga pada pesakit.

Walaupun sebenarnya kandungan gula dalam badan tinggi, ia berkitar dalam edaran darah sahaja. Ia tidak dapat memasuki sel-sel badan pesakit. Ini menyebabkan sel-sel badan mengalami keadaan seperti sedang berpuasa. Otak akan tersilap tafsir menyebabkan selera makan pesakit meningkat secara mendadak.

Glikosuria bermakna kehadiran gula dalam air kencing. Hal ini biasanya terjadi apabila kepekatan gula dalam darah terlalu tinggi. Pada zaman dahulu, doctor-doktor menentukan kehadiran gula ini dengan merasa air kencing pesakit yang manis atau membiarkannya dikerumuni semut dan anjing.

Pesakit diabetes juga selalu menderita gatal-gatal di bahagian kemaluan. Ini sebab, mereka mempunyai daya ketahanan tubuh yang sangat rendah yang memudahkan mereka terdedah kepada jangkitan kuman dan kulat. Kemaluan yang sering basah akibat berpeluh dan pengeluaran urin (air kencing ) yang manis menggalakkan pertumbuhan kulat dan bakteria di situ. Tompok-tompok putih akan kelihatan di bahagian kemaluan menyebabkan pesakit sering menderita kegatalan.

Golongan berisiko

Diabetes boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja. Tetapi ada kumpulan yang lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini. Seoang kanak-kanak yang mempunyai ibu yang berpenyakit diabetes berkemungkinan besar akan menghidap penyakit diabetes sebanyak 1-2 % lebih tinggi daripada kanak-kanak yang ibunya normal. Jika kedua-dua ibu-bapanya menhidap penyakit tersebut, dia lebih berkemungkinan mendapat penyakit diabetes. Kajian menunjukkan bahawa diabetes juga disebabkan oleh kerosakan pada gen yang mengakibatkan gangguan pada penggunaan oleh badan.

Kerap mengambil makanan manis juga memungkinkan individu mendapat diabetes di hari tua. Ini disebabkan oleh organ pankreasnya terpaksa bekerja keras semasa usia mudanya untuk menurunkan kandungan gula dalam darah. Apabila usia telah meningkat, organ pankreas sudah letih dan tidak dapat berfungsi dengan baik lagi.

Kajian epidemiologi menunjukkan banyak kejadian kencing manis yang berlaku disebabkan oleh gaya pemakanan individu. Diet tidak seimbang dengan pengambilan karbohidrat, lemak dan gula yang tinggi menjadi amalan sehingga menyebabkan individu dijangkiti penyakit kronik ini.

Untuk mengelakkan diri daripada diabetes , disarankan agar mengambil makanan yang rendah lemak dan gula serta membanyakkan sayuran dan buah-buahan. Individu yang aktif dan suka bersenam juga didapati jarang mendapat penyakit ini. Banyak aktiviti yang menyihatkan boleh dilakukan seperti bermain badminton, berenang, berjalan, berlari, mengayuh basikal dan sebagainya.

Amalan yang konsisten membantu meningkatkan tahap imuniti badan sekaligus mengelakkan diri dari mendapat diabetes yang boleh membawa maut. Sehingga kini, tiada ubat yang mampu menyembuhkannya. Yang ada hanyalah ubat dan amalan yang mampu mengawal penyakit ini dari lebih menjadi parah.

17 Mac 2007

Tersiar di dalam akhbar Sinar Harian

No comments: